KOTA BHARU: Bandar Baru Tunjong yang diluluskan Kerajaan Pas Kelantan sejak setahun lalu, kini sedang dibangunkan menerusi pembangunan fasa pertama yang bermula sejak Februari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Husan Musa, berkata pembangunan itu dua parcel ini meliputi kawasan seluas 12 hektar iaitu parcel 1A dan 2E, sebahagian dari Fasa 1 pembangunan. Beliau berkata, daripada keluasan tanah itu, 6.8 hektar adalah milik pemaju dan 5.2 hektar akan dimiliki Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) secara pembelian terus. "Kedua-dua parcel terbabit dimajukan secara usaha sama antara PMBK dan Naim Indah Corporation Berhad untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan seterusnya yang mana urusan pembelian terus tanah sedang dilakukan dengan bantuan Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu. "Kerajaan negeri bersetuju menempatkan Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu di Bandar Baru Tunjong di kawasan seluas 3.2 hektar, Kompleks Mahkamah Persekutuan (8 hektar) dan Kompleks Mahkamah Syariah (2 hektar) yang diselaraskan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN)," katanya. Husam berkata, lima agensi Kerajaan Persekutuan sudah membuat pengambilan tanah di kawasan itu iaitu Fama Kelantan (20 hektar), Jabatan Pelajaran Negeri (13.6 hektar), Jabatan Imigresen negeri (2.56 hektar) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan (2.8 hektar) dan LPPKN (2.4 hektar). "Pembinaan Terminal Makanan Negara (Teman) yang dibangunkan Fama Kelantan akan dimulakan pada Disember ini manakala agensi lain masih dalam peringkat perancangan. "Mengenai perkembangan Pembangunan Lembah Sireh, beliau berkata, projek pembinaan jambatan kedua merentasi Sungai Kelantan menghadapi yang sepatutnya bermula pada awal 2007 mengalami kelewatan. "Pembinaan jambatan kedua berlaku kelewatan dan kerajaan negeri mengambil langkah perlu dan segera bagi menanganinya," katanya.//BHarian
