KOTA BHARU, 28 Nov - Kerajaan Kelantan menambah peruntukan sebanyak 100 peratus kepada Persatuan Pelancongan Negeri Kelantan (KTA), menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM20,000.
Perkara itu diumumkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Perpaduan Masyarakat, Dato' Anuar Tan Abdullah, ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Nasi 100 dan 100 jenis kuih-muih di Dewan Perkumpulan Perempuan Kelantan, di sini baru- baru ini. Menurutnya, sebelum ini kerajaan negeri hanya memperuntukkan sejumlah RM10,000 setahun di mana jumlah berkenaan telah diperolehi sejak dua tahun lalu. "Bagaimanapun, kerana keperihatinan kerajaan negeri terhadap persatuan ini yang telah banyak berusaha untuk meningkatkan imej pelancongan Kelantan, kerajaan negeri bersetuju menambahkan peruntukkan berkenaan bermula tahun hadapan,"ujarnya lagi. Menurutnya, sebelum ini KTA dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia dan Kementerian Pelancongan Malaysia telah menganjurkan pelbagai program hebat menerusi citrawarna dalam usaha untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini. Tambahnya, antaranya Persembahan Dikir Barat Perdana pada tahun 2000, Irama Gendang Perdana di samping berjaya mengumpul 104 jenis nasi yang terdapat di negeri ini. "Di mana ketiga-tiga program ini telah berjaya dicatatkan dalam Buku Rekod Malaysia pada tahun-tahun tersebut,"ujarnya lagi. Pada majlis itu juga beliau memuji kehebatan rakyat Kelantan yang kreatif dalam mereka pelbagai produk kraftangan, kesenian, masakan dan seumpamanya hingga ianya berjaya dinikmati pelancong termasuk peringkat antarabangsa. Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pelancongan Kelantan (KTA), Nik Aman Nik Mohamad mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri di atas pertambahan peruntukkan sebanyak 100 peratus itu. Menurutnya, dengan pertambahan itu akan menambahkan lagi semangat pihaknya untuk membuat yang terbaik khususnya dalam persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2007 dan Tahun Melawat Kelantan 2008. "KTA mempunyai tugas dan tanggungjawab yang berat serta besar dalam industri pelancongan negara, untuk itu insyaallah kami akan melakukan sesuatu yang terbaik untuk kepentingan bersama khususnya dalam mengharumkan nama negeri dan negara,"ujarnya lagi. Pesta Nasi 100 dan 100 jenis kuih-muih dirasmikan oleh wakil Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, iaitu Timbalan Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Dato" Che Mat Mat Daud. Sebanyak 15 agensi dan individu mengambil bahagian dalam pesta nasi 100 ini dengan mempamerkan 134 jenis nasi termasuk nasi sup, nasi air, nasi kerabu, nasi goreng, nasi ayam, nasi tumpang, nasi daun pisang, nasi berlauk dan sebagainya. Manakala sembilan agensi serta individu mengambil bahagian dalam mempamerkan kuih-muih seperti binka ubi kayu, tepung pelita, balik gelisah, che abang guling, koleh ubi, bubur, bahulu dan lain-lain lagi. Program penuh gilang gemilang ini diadakan di Dewan PPK dan Gelanggang Seni.//Hrkh
