dipetik dari... Malaysia Today

Rakyat perlu mengawasi penggabungan raksasa Sime Darby Berhad, Golden
Hope Plantations Berhad dan Kumpulan Guthrie Berhad serta anak-anak
syarikat ketiga-tiganya demi memastikan penggabungan itu "tidak
dilarikan" oleh pihak-pihak yang berkepentingan peribadi, kata bekas
Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) Dato' A
Kadir Jasin.


Mengulas penggabungan itu dalam blognya, beliau berkata, dalam masa
terdekat, sebarang tindakan yang membawa kepada pembuangan pekerja,
penjualan atau penswastaan aset dan perlantikan ahli lembaga atau
pengurusan kanan dari kalangan "orang yang disyaki" akan menyebabkan
motif kerajaan dan PNB dicurigai.


Perkara-perkara tersebut, katanya, wajib dipastikan tidak terjadi
kerana sejak akhir-akhir berlaku urusniaga yang menimbulkan syak
wasangka dan kontroversi yang membabitkan watak-watak yang dikaitkan
dengan kerajaan, khasnya dengan Perdana Menteri.


"Justeru itu, sambil kita memberi keyakinan kepada kerajaan dan PNB
untuk melaksanakan penstrukturan korporat yang penting ini, kita perlu
menjadi mata dan telinga agar projek raksasa ini "tidak dilarikan"
(hijacked) oleh pihak-pihak yang berkepentingan peribadi," katanya.

Wajib berjaya


Bagi PNB, katanya lagi, penyusunan semula yang diamanahkan kepada
kumpulan perbankan CIMB dengan menggunakan sebuah syarikat yang
diwujudkan khas bernama Synergy Drive Sdn Bhd adalah permulaan kepada
suatu usaha raksasa yang wajib berjaya.


"Tiada ruang untuk gagal di sini," kata beliau. 


Kadir memetik CIMB yang menyatakan, apabila selesai dilaksanakan pada
suku keempat tahun hadapan (2007), penggabungan itu akan mewujudkan
sebuah syarikat raksaksa yang kelima terbesar di Bursa Malaysia dengan
modal pasaran dianggarkan sebanyak RM31.4 bilion, pekerja seramai
107,000 orang, ladang seluas 600,000 hektar.


"Ini akan menjadi syarikat raksaksa itu pemilik ladang terbesar di
dunia yang diniagakan di pasaran saham. Cabaran terbesar ialah
mempertingkatkan produktiviti ladang kelapa sawitnya yang kini masih
terkebelakang berbanding dengan beberapa buah syarikat perladangan lain
di negara ini," katanya.

Tidak semua berjaya


Menurut Kadir, cabaran jangka panjang terbesar ialah menjamin agar
syarikat gergasi ini tidak rebah kerana berat badannya sendiri.


"Kebimbangan ini tidak boleh ditolak bulat-bulat kerana tidak semua
penggabungan mega di dunia berjaya menghasilkan syarikat yang berdaya
maju," katanya.


Kesimpulannya, kata beliau, kerajaan dan PNB menanggung risiko politik
dan ekonomi yang tinggi melaksanakan penggabungan raksaksa ini.


Bagaimanapun, Kadir menyifatkannya sebagai risiko yang boleh dan perlu
dihadapi demi menjamin kesinambungan sebuah gagasan besar yang bermula
dengan pelancaran DEB pada tahun 1970.















 
regards, eReen 


MalaysiaPal




 
____________________________________________________________________________________
Cheap talk?
Check out Yahoo! Messenger's low PC-to-Phone call rates.
http://voice.yahoo.com

Kirim email ke