Pengerusi Kada kesal agensi kerajaan, swasta tidak tampil kemuka idea 
jayakan pelan RMK-9

KOTA BHARU: Agensi kerajaan dan sektor swasta negeri ini didakwa 
bersikap dingin serta tidak menyokong Pembangunan Koridor Timur yang 
dicadangkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-Sembilan (RMK-9).

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), Datuk Seri Annuar 
Musa, berkata beliau kecewa kerana tiada pihak tampil memberi idea 
dan pandangan mengenai pelan itu yang dijadual dibentang Mac tahun 
depan.

Katanya, mereka dilihat kurang memberi galakan terhadap rancangan itu 
berbanding Pembangunan Koridor Selatan dan Utara yang mendapat 
sambutan di kalangan rakyat negeri itu.

"Kita kecewa dan sedih apabila sektor swasta, kerajaan negeri dan 
pihak tertentu di negeri ini tidak memberi sokongan terhadap 
rancangan itu walaupun ia untuk kepentingan rakyat Kelantan.

"Mereka seolah-olah bersikap tunggu dan lihat mengenai Pembangunan 
Koridor Timur tanpa sebarang idea yang sepatutnya disalurkan kepada 
Majlis Kemajuan Kelantan (MKK)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Pelancaran Program Modal Insan 
Peringkat Negeri Kelantan, di sini semalam yang turut dihadiri 
Timbalan Ketua Pengarah Kemas, Mohamad Omar dan Pengarah Kemas 
negeri, Sanusi Mat Yajid.

Annuar yang Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, berkata rakyat 
di Koridor Selatan dan Utara sudah dapat melihat secara fizikalnya 
mengenai perancangan itu.

"Di sini, mereka seperti ternanti-nanti Koridor Timur seperti ada 
satu ketidaktentuan dari masyarakat yang hanya menunggu apa yang akan 
datang sementara kejayaan di Koridor Utara dan Selatan sudah terbukti.

"Saya memberi perhatian mendalam perkara ini kerana Kelantan di bawah 
pemerintahan PAS ini, maka timbul sikap tunggu dan lihat sebelum 
mereka mengkritik," katanya.

Annuar berkata, bagi mempercepat rancangan Koridor Timur, pemimpin 
Umno Kelantan akan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad 
Badawi, bagi membicangkan pelbagai isu pembangunan di negeri ini.

"Perjumpaan pada Januari depan, antara lain bagi membincangkan 
cadangan menaik taraf lapangan terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan 
Chepa menjadi lapangan terbang bertaraf antarabangsa.

"Cadangan menaik taraf lapangan terbang itu penting kerana Kelantan 
berpotensi menjadi pintu masuk kepada pelabur asing seperti yang 
diperjuangkan Barisan Nasional (BN) Kelantan," katanya.

Sementara dalam ucapan terdahulu, Annuar berkata, kakitangan Kemajuan 
Masyarakat (Kemas) adalah tenaga penggerak barisan hadapan kepada 
usaha kerajaan untuk memastikan maklumat dasar kerajaan sampai kepada 
rakyat.

"Ada kalanya maklumat dasar kerajaan yang begitu elok tidak sampai ke 
peringkat akar umbi, malah dipesongkan pihak tertentu dengan memberi 
gambaran yang sama sekali berlainan dengan yang kita harapkan.

"Gerakan memberikan gambaran yang negatif ini begitu intensif 
dimainkan menerusi ceramah sehingga ia diasak ke dalam pemikiran 
rakyat yang lama kelamaan dipercayai.

"Jika ia diratib setiap hari ia akan dipercayai, akhirnya rakyat 
memandang dingin terhadap sesuatu yang sebenarnya baik diwujudkan 
oleh Kerajaan Pusat," katanya.//BHarian


Kirim email ke