GUA MUSANG: Kegagalan Kerajaan Pas Kelantan mengotakan janji membawa 
pelabur membuka pelbagai kilang di sini, menyebabkan lebih 3,000 
belia jajahan ini terpaksa berhijrah keluar mencari pekerjaan.

Ketika pelancaran 10 tahun lalu, kerajaan negeri mencanangkan 
pembinaan kilang simen terbesar di negara ini, berhampiran Ladang 
Chin Teck di sini, yang menyediakan pekerjaan kepada ribuan belia 
tempatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohamad Saufi Deraman, 
berkata namun projek kilang itu terus tertangguh hingga kini walaupun 
lokasi yang dicadangkan memang strategik.

"Kerajaan Pusat tidak boleh campur tangan dalam urusan pelabur asing 
menanam modal di negeri ini kerana usaha itu dijalankan secara 
usahasama dengan kerajaan negeri sendiri. 

"Daripada impian bekerja kilang di tempat sendiri, akhirnya anak-anak 
tempatan ini terpaksa berhijrah keluar selepas janji kerajaan negeri 
hingga kini tidak menampakkan tanda mampu dipenuhi," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan majlis 
penutup Perkhemahan Bekas Penagih Dadah yang berlangsung di Taman 
Etnobotani, dekat sini, semalam.

Seramai 100 bekas penagih dadah seluruh Kelantan menyertai 
perkhemahan anjuran Agensi Dadah Kebangsaan (ADK) Negeri Kelantan 
selama tiga hari berakhir semalam.

Mohamad Saufi berkata, kerajaan negeri patut mengambil langkah 
proaktif mengatasi pengangguran belia negeri ini yang semakin 
bertambah setiap tahun dengan menarik lebih banyak pelabur membuka 
kilang di Kelantan.

"Dengan hanya membangunkan sektor perladangan menerusi agensi 
kerajaan negeri, ia tidak upaya mengatasi pengangguran belia 
disebabkan pertanian bukan bidang yang diminati mereka.

"Lagi pun, kebanyakan pengusaha ladang kini lebih berminat mengambil 
buruh asing sebagai pekerja kerana kadar bayaran upah yang rendah," 
katanya.

Mohamad Saufi yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Gua Musang 
berkata, peluang pekerjaan yang terhad menimbulkan banyak gejala 
sosial termasuk penagihan dadah dan jenayah.

"Kalau boleh kita tidak mahu lebih ramai belia negeri ini berhijrah 
ke luar Kelantan untuk mencari peluang pekerjaan, tetapi nampaknya 
kerajaan negeri tidak memberi pembelaan ke arah mengatasi masalah 
itu," katanya.//BHarian


Kirim email ke