TUMPAT: Kawasan paya dan bertanah gambut yang menjadi kolam terbiar dekat Kampung Telaga Bata dikatakan dijadikan tempat buaya bertelur sebelum beredar ke sungai.
Walaupun haiwan itu tidak pernah dilihat, ia muncul tiba-tiba di kawasan itu, terutama sejak kerja mengorek dan membersih kolam terbiar untuk dijadikan projek penternakan ikan. Penduduk kampung, Abdul Rahman Yasin, 40, berkata buaya sepanjang kira-kira enam meter itu muncul ketika kerja mengorek dan membersihkan kolam berkenaan, tiga hari lalu. Menurutnya, penduduk kampung percaya haiwan itu keluar melalui kawasan paya untuk ke sungai berhampiran. "Kerja mengorek dan membersihkan kawasan itu dilakukan, sejak dua minggu lalu. Tetapi, tiada pula buaya. "Bagaimanapun, haiwan itu tiba-tiba muncul dan menggemparkan penduduk di sekitar kampung ini, tiga hari lalu," katanya ketika ditemui di sini, semalam. Dia berkata, kawasan itu sebelum ini sawah padi terbiar milik penduduk kampung dan kerajaan sebelum dipenuhi hutan gelam. Penduduk Kampung Nechang, dekat sini, Norizan Nawi, berkata berita penemuan buaya itu diketahui selepas dimaklumkan penduduk desa berhampiran. Katanya, dia dan keluarga ke kawasan kolam berkenaan dan terkejut apabila ternampak beberapa kesan tapak kaki haiwan itu. Sementara itu, Tinjauan Harian Metro ke tempat berkenaan mendapati kerja mengorek dan membersihkan paya untuk dijadikan kolam ikan masih diteruskan. Semalam akhbar ini melaporkan penduduk di Kampung Telaga Bata dikejutkan dengan penemuan buaya di kawasan kolam yang mempunyai kedalaman kira-kira 2.7 meter itu. Difahamkan, kejadian berkenaan disedari seorang pemandu jentolak ketika dia sedang melakukan kerja mengorek di kawasan berkenaan, kira- kira jam 6 petang. //HMetro
