KOTA BHARU 13 Dis. – Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan Bhd. (SKMK) 
memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk meningkatkan mutu 
perkhidmatan bas yang dikendalikan syarikat tersebut di negeri ini.

Pengurus Besarnya, Basri Baharom berkata, peruntukan itu 
sebahagiannya adalah bagi membeli sebanyak 30 buah bas berhawa dingin 
yang akan digunakan bagi perkhidmatan dalam bandar bermula Mac depan.

"Untuk tujuan itu sahaja sebanyak RM15 juta disediakan manakala baki 
RM15 juta lagi diperuntukkan bagi perkhidmatan bas antara bandar dan 
bas ekspres.

"Ia bagi kegunaan fasa kedua yang akan dapat dilancarkan menjelang 
Jun tahun depan. 

"Dengan perbelanjaan yang besar ini, sudah tentu tujuan kita untuk 
memberi keselesaan terbaik kepada penumpang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas 
merasmikan bas baru bagi laluan Kota Bharu-Gua Musang di Terminal Bas 
SKMK di sini hari ini.

Selesa

Basri berkata, bagi laluan tersebut, dua buah bas berhawa dingin 
digunakan dengan kekerapan sebanyak tiga perjalanan sehari iaitu 
pukul 9 pagi, 1 tengahari dan 5 petang.

"Sebuah bas akan mengambil penumpang di Kota Bharu manakala sebuah 
lagi akan bermula di Gua Musang

"Bas ini mempunyai 44 tempat duduk dan dilengkapi dengan televisyen 
yang menjanjikan keselesaan kepada penumpang," jelasnya.

Menurut Basri, pelancaran bas baru itu bertujuan meningkatkan mutu 
perkhidmatan syarikatnya kepada orang ramai.

"Perjalanan ke Gua Musang kira-kira 200 kilometer. Jadi kita mahu 
penumpang selesa dan berpuas hati," ujarnya.

Mengenai harga tiket pula katanya, syarikat tersebut tetap 
mengekalkan harga lama iaitu RM12.40 sehala bagi setiap 
penumpang.//Utusan



Kirim email ke