KOTA BHARU, 20 Dis – Jumlah hasil Kerajaan negeri pada tahun ini 
meningkat 25 peratus hasil kerjasama semua pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, 
Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato' Husam Musa berkata, antara 
agensi Pusat yang telah menjelaskan tunggakan hasil kepada kerajaan 
negeri setakat ini iaitu Felda. Difahamkan sebanyak RM80 juta sudah 
dijelaskan tunggakan hasil bagi ladang seluas 68,000 ekar yang 
diusahakan sejak 20 tahun lalu. 

Manakala tunggakan hasil bagi agensi-agensi pembangunan tanah lain 
termasuk Kesedar dan Felcra masih di peringkat perundingan. 

Husam juga berkata, kerajaan negeri menjangka dapat meningkatkan 
jumlah hasil melalui peningkatan kadar cukai tanah bagi ladang-ladang 
komersial yang mempunyai keluasan melebihi 40 hektar iaitu RM100 
seekar mulai tahun depan. 

Beliau juga memberitahu hutang tertunggak Kelantan kepada kerajaan 
Persekutuan adalah kedua terendah selepas Sarawak iaitu sebanyak 
RM1.83 juta. 

"Bagi tahun 2005 berbanding 2004, ada empat negeri sahaja di Malaysia 
yang telah berjaya mengurangkan jumlah tunggakan kutipan hasil negeri 
iaitu Kelantan sebanyak 31 peratus, Sabah 11.5 peratus, Pahang 8.02 
peratus dan Perak 3.39 peratus. 

Menurutnya juga kerajaan negeri akan mewujudkan Pusat Khidmat Islam 
Negeri bagi menempatkan belia-belia yang terbabit dengan dadah untuk 
diberi rawatan menggunakan kaedah Islam. 

Sementara itu, kerajaan negeri mengenal pasti tanah seluas 2,400 ekar 
di Kuala Krai telah diteroka secara haram oleh pihak tertentu sejak 
sekian lama. 

Manakala tanah seluas 58 ekar lagi juga di jajahan yang sama dikenal 
pasti diteroka secara haram oleh seorang pemimpin Umno. 

Husam berkata, maklumat mengenai perkara itu terbongkar selepas 
diselidiki di kawasan terbabit. 

Oleh itu katanya, kerajaan negeri memerlukan maklumat daripada wakil-
wakil rakyat dan penghulu untuk memastikan tiada penerokaan tanah 
secara haram dilakukan. 

"Sekiranya tanah-tanah yang diteroka secara haram dapat diselesaikan 
secepat mungkin, ia secara tidak langsung akan dapat meningkatkan 
hasil negeri," katanya pada satu program di sini, baru-baru ini. 

Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob pula berkata, jumlah Bajet 
Kelantan 2007 meningkat lebih RM100 juta berbanding belanjawan tahun 
ini. 

"Ini menggambarkan kesungguhan kerajaan negeri untuk meningkatkan 
kesejahteraan hidup rakyat melalui pelbagai program yang dirancang," 
katanya. 

Program pembangunan insan yang dirancang tahun depan termasuk Dana 
Belia Niaga diperuntukan sebanyak RM1 juta, Dana Teroka Multimedia 
(RM1 juta), Dana Siswazah Tani (RM750,000), projek khas siswazah (RM1 
juta), projek biotek (RM500,000) dan pembangunan infrastruktur 
usahawan (RM500,000). 

Bagi program kebajikan pula disedia peruntukan untuk orang kurang 
upaya sebanyak RM1 juta, bantuan pesakit kronik (RM1 juta), bantuan 
armalah (RM2 juta) dan bantuan anak yatim (RM2 juta). 

Ahmad berkata, banyak program baru dirancang bagi meningkatkan lagi 
pembangunan insan kepada golongan rakyat yang kurang bernasib baik. 

Manakala anggaran hasil pula berlaku peningkatan lebih RM90 juta 
berbanding belanjawan tahun ini. 

Katanya, pusat itu akan diurus Akademi Keluarga Bahagia (AKB). 

Selain itu AKB akan membeli lima kereta jenazah untuk diagih kepada 
pusat khidmat Dun tertentu tahun depan. 
 


Kirim email ke