KOTA BHARU, 20 Dis - Kerajaan Kelantan hari ini menyumbang sebanyak 
RM22,000 kepada Persatuan Orang Pekak Cawangan Kelantan bagi 
menerbitkan video cakera padat (VCD) mengenai peraturan menunaikan 
solat kepada ahli persatuan terbabit. 

Sumbangan berkenaan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran 
Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato' 
Husam Musa kepada presidennya, Razani Ramli di sini. 

Husam berharap dengan adanya panduan solat yang dihasilkan oleh 
Persatuan Orang Pekak Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kemajuan 
Islam Malaysia (Jakim), ia dapat memberi manfaat besar kepada 
golongan berkenaan. 

"Kita berharap mereka dapat menunaikan solat dengan penuh khusyuk 
sebagaimana insan normal yang lain kerana mereka tidak memahami 
bacaan ketika solat," ujarnya. 

Menurutnya, sebelum ini golongan catat pendengaran sukar diajar cara-
cara menunaikan solat dengan betul kerana masalah komunikasi. 

Razani mengucap terima kasih kepada kerajaan Kelantan kerana sentiasa 
membantu persatuan itu termasuk sumbangan untuk menerbitkan vcd solat 
bagi kegunaan ahli-ahli persatuannya. 

Katanya, sebelum ini golongan catat pendengaran hanya menunaikan 
ibadat solat sekadar meniru apa dilakukan orang lain. "Kalau orang 
lain rukuk maka macam itulah kami lakukan tanpa membaca sebarang 
bacaan," ujarnya.//Hrkh
 


Kirim email ke