Memastikan Kelangsungan Hidup Industri Tembakau Selepas 2010 Laporan khas oleh Kamaruzaman Yaacob
BACHOK, 22 Dis -- Meskipun tembakau bukan antara komoditi eksport negara, namun ia merupakan punca rezeki utama bagi 3,530 keluarga di daerah Bachok sejak 1978. Permintaan domestik untuk daun tembakau yang dianggarkan sebanyak 15 juta kilogram setahun telah banyak membantu dalam mengubah pemandangan sepanjang 25 km dari Bachok ke Tok Bali di Pasir Putih, dari sebuah penempatan nelayan miskin kepada sebuah kejiranan mewah. Sebanyak 2,742 hektar tanah sepanjang pesisir pantai diusahakan dengan tembakau dengan penanamnya mampu mengaut sehingga RM25,000 untuk setiap hektar. Nilai ini sebenarnya mewakili 70 peratus daripada permintaan tempatan untuk daun tembakau yang bernilai RM200 juta setahun. Tetapi ada masalahnya. Tembakau yang dihasilkan di sini tidak kos efektif serta dianggap termahal di dunia. Ketua Bahagian Daun, British American Tobacco (BAT), Ramli Hashim berkata ketika sidang akhbar baru-baru ini, harga sekilogram daun tembakau mencecah RM14 tahun lepas, tertinggi di rantau ini dan antara yang termahal di dunia. Sementara di Thailand, ia hanya berharga sekitar RM6 sekilogram, manakala di Vietnam dan Filipina sekitar RM5 sekilogram. PENGELUAR TIDAK KOMPETITIF Tetapi harga yang tinggi itu dijangka turun secara drastik menjelang 2008 dengan kemunculan Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA), dan segelintir penanam dan pengawet gusar yang tanaman tembakau tidak lagi menjanjikan pulangan yang memuaskan. Harga daun tembakau yang kini berada sekitar RM13 sekilogram dijangka turun sebanyak RM9 setiap kg dan sekiranya ini terjadi, penanaman tembakau tidak lagi menguntungkan. Bagaimanapun, kata Ramli "harga tempatan mesti turun sekiranya kita mahu bersaing di rantau ini tetapi harga itu tidak boleh berada di bawah RM6 setiap kg". Ini penting bagi menjamin masa depan industri tembakau tempatan serta menjaga periuk nasi 14,000 pekerja yang terlibat dalam penanaman komoditi itu serta 302 pengawet tembakau seluruh negara. "Sekiranya langkah ke arah itu tidak diambil, daun tembakau Malaysia tidak akan kompetitif menjelang 2008," katanya. Menurut Ramli, analisis akhir adalah lebih murah untuk mengimport daun tembakau daripada negara-negara Asean yang lain menjelang 2008. BERALIH KEPADA KOMODITI LAIN Memandangkan situasi ini, kerajaan melalui Lembaga Tembakau Negara (LTN) telah memperuntukkan RM86.6 juta untuk membantu penanam dan pengawet tembakau menghadapi cabaran yang dibawa oleh AFTA. Menurut Pengerusi LTN Mohd Zain Ismail, industri tembakau akan disusun semula bagi meningkatkan lagi faktor daya saing dengan peningkatan produktiviti dan kos pengeluaran yang rendah. Pada masa yang sama, penanam dan pengawet yang tidak mampu mencapai skala ekonomi digalakkan beralih kepada komoditi lain. Kata Mohd Zain, pengawet tembakau yang selama ini merupakan tunjang industri ini akan diberi bantuan untuk menyusun semula aktiviti mereka termasuk menggalakkan mereka menceburi penanaman tembakau. Pada masa yang sama, penanam juga akan digalakkan mengawet tembakau sendiri. Ini akan menghasilkan 3,000 hingga 4,000 individu yang menanam serta mengawet tembakau dan mereka ini yang menjadi pemangkin kepada industri tembakau di masa depan. "Mereka yang berpotensi akan diberi keutamaan dalam usaha meningkatkan kecekapan dan produktiviti manakala yang ketinggalan akan beralih kepada komoditi integrasi yang lain," katanya. PENANAMAN USAHASAMA Selain itu, LTN juga telah mencuba sebuah sistem alternatif yang dikenali sebagai Sistem Pengeluaran Usahasama (SPU). SPU diperkenalkan oleh JT International Tabacco awal tahun ini untuk mengelakkan penanam tembakau daripada terus ketinggalan dan pada masa yang sama meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos overhed melalui amalan pertanian baik. Dalam buku panduan SPU, Pengarah Bahagian Daun syarikat itu Gary Tullidge menyifatkan SPU sebagai pilihan untuk pengusaha memainkan dwi-peranan sebagai penanam dan pengawet yang secara tidak langsung akan menambahbaik kecekapan dan daya saing industri tembakau. Gary berkata melalui sistem itu, penanam dan pengawet akan menjalin perkongsian bijak dengan syarikat tembakau dengan kedua-dua pihak akan melabur, berhadapan dengan risiko dan berkongsi keuntungan yang akan didepositkan terus ke dalam akaun mereka selepas ditolak wang pendahuluan dan kos pengawetan. PENYUSUNAN SEMULA MESTI MENGAMBIL KIRA KEBAJIKAN PETANI Seorang pengusaha tembakau yang sudah menceburi bidang ini lebih 20 tahun, Ismail Awang, 60, berkata penanaman tembakau secara jangka pendek adalah sumber pendapatan utama kepada nelayan di kawasan pesisir pantai dan tanah liat di negeri itu. Ismail yang mampu menjana pendapatan lebih kurang RM70,000 untuk semusim berkata tanaman tembakau telah berjaya meningkatkan status sosio-ekonomi penduduk negeri itu dan sebarang aktiviti penyusunan semula haruslah mengambil berat kebajikan para petani.//Bernama Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com
