Sambutan Besar-besaran Pelancong Asing Di Pintu Sempadan Kelantan KOTA BAHARU, 24 Dis -- Satu rombongan 500 orang dari Thailand akan memasuki Kelantan melalui pintu masuk Kompleks Imigresen Rantau Panjang sempena pembukaan Tahun Melawat Malaysia 2007, pada 1 Jan.
Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN), Sulaiman Ismail berkata rombongan berkenaan, yang diketuai Gabenor Wilayah Narathiwat Pracha Teirat, akan berjalan kaki kira-kira 100 meter di pintu sempadan sebagai simbolik sambutan TMM 2007. "Untuk hari pertama itu, sambutan besar-besaran akan diadakan di Rantau Panjang bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang manakala selepas itu akan diadakan pula di Kompleks Imigresen, Pengkalan Kubur, Tumpat," katanya pada sidang akhbar selepas taklimat Industri Pelancongan di sini. Sulaiman berkata kedua-dua sambutan itu akan dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Malaysia Datuk Dr Victor Wee yang akan menyambut kemasukan pelancong ini. "Di Pengkalan Kubur kita akan menyambut ketibaan rombongan Pegawai Daerah Tak Bai, Weranun Pengchan seramai 300 orang menggunakan dua buah feri," katanya. Beliau berkata aturcara sambutan termasuk perarakan bunga manggar dan kalungan bunga, pembahagian bunga telur, pertunjukan seni silat, rebana ubi, dikir barat dan kertuk. Pertunjukan kebudayaan akan dipersembahkan kepada umum selama tiga hari berturut-turut di kedua-dua tempat berkenaan, katanya. Sulaiman berkata MTPN mensasarkan seramai dua juta pelancong asing melawat negeri ini tahun depan melalui tarikan keunikan budaya Kelantan yang tidak ada di negeri lain.//Bernama Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com
