KOTA BHARU: Kira-kira 50 penduduk sekitar Kampung Badang di sini kesal tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) merobohkan binaan tambahan rumah mereka tanpa pampasan.
Kebanyakan mereka yang terdiri nelayan dan peniaga kecil merayu kerajaan negeri membayar pampasan sebagai ganti rugi selepas sebahagian rumah mereka dirobohkan Jabatan Kerja Raya (JKR) sejak awal bulan lalu. Walaupun sedar bahagian yang dirobohkan dibina atas rizab jalan, kerajaan negeri wajar bersimpati nasib penduduk yang kerugian. Ibu tunggal, Zawiyah Yakub, 61, berkata binaan tambahan di hadapan rumahnya dijadikan gerai yang disewakan pada kadar RM250 sebulan bagi menyara hidupnya serta membayar sewa tanah tapak rumah itu iaitu Persatuan Kwangtung Kelantan. "Saya tinggal di sini sejak lebih 30 tahun dan membina gerai di depan rumah untuk disewakan bagi menyara hidup. Malangnya selepas Aidilfitri lalu, JKR memberi notis dan meroboh binaan ini. "Kami sedar binaan ini atas rezab jalan tetapi sekurang-kurangnya kerajaan negeri bersimpati terhadap penduduk miskin apabila diroboh tanpa sebarang pampasan," katanya. Peniaga kedai kopi, Mohd Nor Daud, 65, berkata arahan merobohkan binaan atas rezab jalan itu menyebabkan beliau kehilangan sumber rezeki yang diusahakan sejak 20 tahun lalu. "Saya anak jati kampung ini dan mengusahakan kedai kopi ini semata- mata menyara keluarga. Tindakan merobohkan kedai kopi ini menyebabkan sumber rezeki saya tersekat," katanya. Berdasarkan pekeliling yang diberikan oleh JKR Kota Bharu kepada penduduk di situ, mereka diarahkan meroboh semua binaan atas rezab jalan itu mengikut Seksyen 70, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta Seksyen 425, Akta 36/1965 Kanun Tanah Negara 1965. Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Dr Nik Zain Omar, berkata kerajaan negeri wajar membantu penduduk terbabit bagi memastikan sumber rezeki mereka tidak terjejas. "Kebanyakan penduduk yang terjejas terdiri golongan miskin. Sewajarnya mereka diberi pampasan bagi meringankan beban dan mencari tapak baru. "Walaupun mengambil balik tanah rezab jalan itu hak kerajaan tetapi masa sama fikirlah nasib penduduk terbabit yang miskin," katanya.//BHarian
