KOTA BHARU, 14 Jan Kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM35 juta bagi membina dan membaik pulih jalan-jalan kampung serta jambatan di seluruh jajahan tahun ini.
Projek tersebut dilaksanakan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS ) serta Jabatan Kerja Raya (JKR). Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Alam Sekitar, Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman berkata, sebanyak RM14 juta daripada jumlah itu diperuntuk bagi pembinaan jejantas kereta api di Pasir Mas. "Projek berkenaan akan mula dibina pada akhir Februari atau Mac tahun ini," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini. Selain itu tambah beliau kerajaan negeri akan membina jambatan baru di Sungai Sat di Temangan yang menelan kos RM2.5 juta dan jambatan di Pengkalan Cina (RM1.5 juta). Manakala projek di bawah peruntukan JPS pula melibatkan pembinaan jambatan di Bukit Jering, Kuala Balah yang membabitkan kos RM100,000. Md Anizam berkata, bagi membaiki jalan-jalan kampung tahun ini kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM14 juta. "Kerajaan negeri juga bercadang menggantikan jambatan kayu kepada konkrit di beberapa tempat yang membabitkan kos RM400,000," katanya. Menurut beliau juga, sepanjang tahun lalu sebanyak 110 jambatan baru dibina di seluruh Kelantan dan tahun ini 40 lagi jambatan konkrit akan dibina untuk kemudahan rakyat.//Hrkh
