KOTA BAHARU, 14 Jan - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) bercadang melaksanakan sistem e-nikah dan memperkenalkan kad pengesahan pernikahan yang lebih berkualiti dan sukar untuk dipalsukan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Dan Dakwah negeri, Hassan Mohamood berkata usaha itu bagi membanteras kes pemalsuan sijil nikah di negeri ini walaupun kes seumpama itu masih terkawal. Beliau mengulas kes pemalsuan dokumen pernikahan sepasang suami isteri yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, tiga hari lepas. "Sebelum ini, JAHEIK mengenal pasti pemalsuan dokumen berkenaan dibuat dengan meniru cap rasmi dan juga tandatangan kadi jajahan," katanya pada persidangan akhbar di sini. Hassan berkata berikutan kes itu, JAHEIK telah mengambil langkah drastik memansuhkan cap rasmi berkenaan dan sijil nikah kini hanya akan ditandatangan oleh kadi. Katanya JAHEIK menyerahkan kes itu kepada polis kerana ia melibatkan pemalsuan dokumen agensi kerajaan.//Bharian
