Pertanian: KDNK Kelantan atasi KDNK negara  

KALAU sebelum ini kita pernah mendengar percantuman di antara bank-
bank perdagangan bagi mewujudkan satu entiti yang lebih besar 
dan `berwajah gergasi'. Penggabungan itu biar pun mewujudkan modal 
yang lebih besar, namun implikasi negetif juga tidak kurang hebatnya. 

Contohnya tercipta dalam sejarah bank kecil berupaya `menelan' bank 
besar. Mengapa ini berlaku kalau tidak gara-gara politik. Bank 
Bumiputera milik Melayu terbesar kini menjadi Bumiputera Commerce. 
Penggabungan itu juga menyebabkan ramai pekerja bank menerima skim 
pemisahan sukarela (VSS). 

Selepas berita penggabungan bank telah lama berlalu, kini syarikat 
perladangan juga dikatakan akan menjejak langkah serupa. Tiga 
syarikat perladangan milik kerajaan iaitu Golden Hope, Sime Darby dan 
Guthrie dikatakan bakal digabungkan. 

Percantuman ini akan menjadikan syarikat ini sebagai syarikat 
perladangan yang terbesar di dunia, iaitu seluas 600,000 hektar. 

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat 
melahirkan rasa bimbang arus globalisasi akan memaksa syarikat 
raksasa terbabit hanya mementingkan motif keuntungan semata-mata. 

"Kita juga bimbang percantuman ketiga-tiga syarikat ini hanya 
menguntungkan beberapa kerat orang yang berkepentingan sahaja. Kita 
berharap agar syarikat milik kerajaan, besar atau kecil, akan terus 
menjalankan tugas sosialnya (social responsibility) di samping 
mencari keuntungan semata-mata," katanya. 

Pertanian baru

Beliau menjelaskan situasi terbaru itu ketika merasmikan Seminar 
Nasional Rancangan Malaysia ke 9, : Pertanian Baru, Harapan dan 
Realiti di sebuah hotel di Kota Bharu, Disember lalu. 

Seminar itu dianjur kerajaan Kelantan dengan kerjasama Lujnah 
Pertanian, Peneroka dan Nelayan PAS Pusat. Hadir sama Pengerusi 
Jawatankuasa Pertanian dan Industri Desa, Dr Nik Mazian Nik Mohamad. 

Sebaliknya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga menegaskan Kelantan akan 
terus menjadikan pertanian sebagai sektor utama ekonomi. 

Sumbangan sektor pertanian kepada KDNK Kelantan sebanyak 17 hingga 18 
peratus. Jumlah itu lebih tinggi jika berbanding dengan sumbangan 
KDNK peringkat negara sekitar 10 dan 11 peratus. 

"Kita berhasrat untuk memperbaiki lagi kedudukan ini dengan 
meningkatkan lagi sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi negeri. 
Untuk mencapai objektif beberapa cadangan dikemukakan," katanya. 

Antaranya memberi perhatian yang serius, fokus yang tidak berbelah 
bahagi untuk meningkatkan aktiviti dan melonjak pencapaian bidang 
pertanian. 

Pertubuhan Sedunia Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) 
juga telah mengisytiharkan pada tahun lalu dunia telah berubah 
daripada Green Revolution (revolusi hijau) kepada Evergreen 
revolution (revolusi malar hijau). 

Ini bermakna seluruh dunia kini telah kembali kepada hijau. FAO telah 
menggariskan empat ciri penting di dalam revolusi ini iaitu: 

(1) Perubahan dari pertanian yang berasaskan satu jenis komoditi 
kepada pelbagai jenis tanaman. Pertanian baru tidak boleh berasaskan 
hanya satu jenis tanaman sahaja. Bentuk pertanian baru mementingkan 
integrasi di antara berbagai jenis tanaman, ternakan dan punca lain. 

(2) Perubahan dari segi pendekatan `top down' (atau berbentuk arahan 
dari pihak atasan kepada pihak bawahan) kepada pendekatan `bottom up' 
(atau mementingkan kerjasama yang erat dari golongan petani). 

Para petani bukan lagi golongan yang hanya menerima arahan. Pandangan 
mereka perlu diambil kira dan muafakat adalah penting dalam merangka 
sebarang polisi dan aktiviti pertanian. 

(3) Perubahan dari kaedah pertanian lama kepada kaedah dan teknologi 
baru. Teknologi dimaksudkan ialah bioteknologi. Teknologi ini bakal 
menjadi pemacu kepada perubahan yang diperlukan di dalam bidang 
pertanian. 

Kerajaan Kelantan kini telah melancarkan program bioteknologi dengan 
tertubuhnya syarikat Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd di bawah 
Perbadanan Menteri Besar Kelantan. 

Kelantan `Bioprocessing Center' akan dibina tidak lama lagi untuk 
menambah nilai produk-produk pertanian negeri Kelantan ke tahap yang 
lebih bermutu dan mampu bersaing di peringkat global. 

(4) Perubahan dari kaedah yang merosak dan membahayakan alam sekitar 
kepada kaedah yang mesra alam, tidak banyak bergantung kepada baja 
kimia dan kurang menggunakan racun kimia yang merbahaya. Kaedah mesra 
alam perlu kerana kita perlukan makanan yang lebih sihat, udara 
bersih dan persekitaran lebih selamat dan selesa. 

Tamadun bermula dengan pertanian

Berdasarkan perspektif Islam, pertanian adalah satu aktiviti yang 
amat penting dan mulia kerana dengan pertanianlah maka tamadun 
manusia dapat dibina. Manusia memerlukan makanan dan makanan perlu 
dihasilkan dari aktiviti pertanian. 

Di dalam al-Qur'an terdapat lebih 200 ayat-ayat yang membicarakan hal-
hal berkaitan dengan pertanian. 

Di dalam al-Qur'an juga ada menceritakan kisah dua kaum yang wujud di 
zaman sebelum Islam, yang mana aktiviti utama mereka ialah pertanian 
dan perdagangan. Kaum yang pertama ialah Kaum Saba' yang terkenal 
dengan aktiviti pertaniannya dan mempunyai teknologi yang amat 
canggih pada zaman itu. 

Dikatakan bahawa kebun buah-buahannya berbatu-batu panjangnya. Mereka 
telah mempunyai tali air yang panjang berbatu-batu untuk menyalurkan 
air ke kebun-kebun mereka dan mempunyai empangan air yang besar untuk 
menakung air di musim kemarau. 

Walaupun tamadun mereka begitu canggih dan kukuh, namun kaum ini 
telah dimusnahkan oleh Allah SWT kerana mereka enggan menerima seruan 
para Nabi-nabi yang diutuskan kepada mereka. 

Seramai 13 Nabi telah diutuskan kepada kaum ini, tetapi mereka enggan 
beriman kepada Allah. Akhirnya nasib kaum ini menemui kecelakaan 
akibat dari keangkuhan mereka. 

KDNK negara terus merosot

Malaysia sememangnya sebuah negara yang berteraskan ekonomi 
pertanian. Tetapi malangnya setelah hampir 50 tahun negara kita 
merdeka, aktiviti pertanian dan sumbangannya kepada ekonomi negara 
secara keseluruhan telah menurun. 

Pada tahun 1957 sumbangan pertanian kepada KDNK sebanyak 46 peratus. 
Peratusnya turun dengan mendadak kepada hanya 23 peratus pada 1980 
dan terus menyusut kepada hanya 7 hingga 8 peratus pada 2005. 

Akibatnya negara kini mengalami defisit imbangan perdagangan (balance 
of trade) yang serius di dalam bahan makanan. Pada tahun 1995 defisit 
ini bernilai RM3.3 bilion, dan pada 2005 meningkat kepada RM12.6 
bilion. 

Walaupun perkembangan sektor perladangan yang berteraskan tanaman 
komoditi seperti getah, kelapa sawit dan koko boleh dikatakan 
membanggakan, namun kita tidak boleh mengabaikan pertanian 
tradisional yang berasaskan makanan seperti tanaman padi, sayur-
sayuran, buah-buahan, penternakan dan perikanan. 

Kini lebih 80 peratus tanah-tanah yang bertanam (berjumlah 6.3 juta 
hektar) terdiri daripada ladang-ladang kelapa sawit dan getah. Tiada 
salahnya kita mempunyai ladang tanaman komoditi yang besar dan luas. 
Apa yang mustahak ialah kita perlu seimbangkan kegiatan pertanian 
negara. 

Kelantan pelopori perubahan

Insya Allah Kelantan akan mempelopori perubahan dalam bidang 
pertanian dengan mengambil pendekatan dan kaedah baru. Apa yang kita 
harapkan ialah bukan sekadar memperkenalkan jenis-jenis tanaman yang 
baru seperti pokok kenaf dan pohon jarak yang agak asing kepada 
petani-petani kita. 

Walaupun kita tidak menghalang usaha-usaha untuk memperkenalkan 
tanaman baru, kita merasakan perhatian sepatutnya diberikan keutamaan 
untuk meningkatkan hasil tanaman sedia ada. 

Tumpuan diberi kepada tanaman yang menjadi tradisi kepada rakyat 
Kelantan iaitu; 

Padi

Kita perlu memperkenalkan benih padi baru yang lebih banyak hasilnya. 
Kaedah penanaman yang lebih efisyen dengan skala besar. Mungkin kita 
perlu mewujudkan lebih banyak mini estet untuk menambahkan hasil 
tanaman padi. 

Di dalam bidang pemerosesan pula kita perlu mewujudkan industri 
hiliran (down stream) yang dapat menambah nilai hasil padi. Hasil 
padi bukan setakat untuk dimakan sebagai beras sahaja. Sebagai contoh 
syarikat makanan gergasi Nestle kini telah berjaya memperkenalkan 
makanan bijirin untuk bayi berasaskan beras ke seluruh dunia. 

Syarikat Yakult dari Jepun dan Woongjin dari Korea kini telah 
memperkenalkan minuman susu beras (rice milk) dan minuman manisan 
beras (rice nectar drink) ke seluruh dunia. Pasaran minuman ini telah 
mencecah USD10 juta setahun. 

Ubi kayu dan ubi keledek

Pasaran kanji atau `starch' daripada ubi kayu kini mencecah angka 
RM100 juta setahun. Mengapa kita tidak boleh mengusahakan tanaman ubi 
kayu secara komersial sedangkan penanaman ubi kayu ini telah 
diusahakan sejak zaman nenek moyang kita lagi. 

Kanji dari ubi kayu adalah sumber kabohidrat yang penting untuk 
mengeluarkan berbagai bahan, termasuklah bahan makanan, perisa 
makanan, bahan industri seperti gam, plastik dan asid. 

Selain dari itu ubi kayu dan ubi keledek juga boleh menghasilkan 
bahan bakar iaitu ethanol. Ethanol adalah bahan yang boleh dicampur 
dengan petrol untuk dijadikan minyak kenderaan. 

Negara-negara seperti Amerika Syarikat, Eropah, Brazil dan kini di 
negara jiran, Thailand telah mula menggunakan minyak petrol yang 
dicampur dengan ethanol. 

Kita jangan memandang rendah kepada hasil pertanian yang sudah lama 
kita usahakan tetapi kini tidak diberi perhatian sepenuhnya. 

Sebagai contoh ubi kayu dan ubi keledek juga mempunyai potensi yang 
besar dan pasaran yang luas di peringkat global. Apa yang perlu kita 
laksanakan ialah membuat kajian terperinci bagaimana untuk 
membangunkan industri penanaman dan pemerosesan ubi kayu dan ubi 
keledek di Kelantan. 

Kelapa

Pada suatu masa dahulu negeri Kelantan merupakan pengeluar kopra 
kelapa yang utama di Malaysia. Kini hasil dan nilai harga nuah kelapa 
telah menurun sehingga menjadi tidak ekonomik lagi untuk diusahakan 
selain untuk pasaran kelapa muda dan santan. 

Kadar kemiskinan di kawasan tanaman kelapa tradisional bukan sahaja 
ketara di Kelantan tetapi juga di kawasan lain sperti di Bagan Datoh 
dan Kuala Selangor. 

Kenapa harga kelapa jatuh mendadak? Ini adalah kerana saingan yang 
sengit dengan kelapa sawit. Sebelum timbulnya kelapa sawit, kelapa 
menjadi sumber minyak masak yang utama di negera kita. Tetapi 
Alhamdulillah dengan adanya teknologi baru seperti bioteknologi 
masalah minyak kelapa sebagai minyak masak boleh diatasi. 

Kaedah bioteknologi kini dapat menghasilkan minyak kelapa dara yang 
tidak berbau tengit dan kurang kolesterol dan mampu bersaing dengan 
minyak-minyak lain di pasaran. 

Minyak kelapa juga kini digunakan dengan meluas sebagai ramuan utama 
di dalam minyak aromaterapi yang popular di negara-negara barat. 

Matlamat akhir menjadikan Kelantan sebagai `Baldatun thayyibatun 
warabbun ghafur'. 
 
//Hrkh-M Faqih dan Wan M Izzuuddin Sulaiman 




Kirim email ke