By Pakcu: Perakan Net
WALAUPUN tahun 2007 sudah memasuki hari ke 13, tetapi rasanya tidak 
terlambat kalau Pakcu menghulurkan salam "selamat tahun baru". Doa 
Pakcu semoga tahun 2007 akan membawa hasil yang lumayan dan 
kesejahteraan berpanjangan di samping tali iman antara kita 
diperkukuh kejapkan oleh Allah s.w.t. Paling penting anak-anak 
Kelantan di perantau akan menjadi lebat erat, sepakat dan bersemangat 
untuk membawa perubahan memajukan Kelantan di sepanjang tahun 2007 
ini.

Bunyi khabarnya, Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (Perakan) juga 
sudah diluluskan. Dengan ini kedudukan Perakan tidak perlu diragui 
lagi. Kalau sebelum ini ada orang menaruh kebimbangan dengan Perakan 
sehinggakan hendak hadir majlis hari raya pun takut kena tangkap, 
malah diberitahu pula kepada orang lain menerusi sms, kerana Perakan 
belum didaftarkan lagi, tetapi la ni kebimbangan itu sudah tidak ada 
lagi. Soal Perakan sebagai pertubuhan `haram'sudah tidak timbul. 

Pakcu ada terbaca di dalam akhbar Siasah mengatakan Perakan sudah 
diluluskan. Dalam laporan itu disertakan nombor pendaftarannya sekali 
bagi menyakinkan kepada mereka yang ragu. Dengan kelulusan itu juga 
ia merupakan cabaran baru kepada para pemuka dan penggerakan Perakan. 
Kalau sebelum ini mereka menghadkan daya usaha mereka mengatur 
aktiviti, kerana ia belum didaftarkan, sekarang alasan itu tidak ada 
lagi.

Sama-samalah kita tenguk, sejauh mana anak-anak Kelantan di 
perantauan yang berjumlah lebih 800 orang setakat ini bergabung 
tenaga dan sepakat memelihara maruah dan martabat negeri Kelantan. 
Inilah masanya untuk dibuktikan bahawa kita anak Kelantan yang sering 
diejek, ditonyen dan direndahkan oleh lain, dianggap darat 
menunjukkan kekuatan dan kebolehan kita.

Sebenarnya, tidak ada gunanya, persatuan (Perakan) itu didafar kalau 
ianya tidak dihidup dan dimanfaatkan memajukan Kelantan. Kita tidak 
mahu Perakan menjadi seperti persatuan-persatuan lain yang hanya 
hidup setakat ada nama tetapi tidak ada jasa. Ataupun hidup seperti 
rumput di tepi jalan, hidup segan mati tidak nak. Atau hidup kerana 
dikosmetikkan dengan berbagai herba!

Kita sudah ada banyak pengalaman mengenai berpersatuan ini. Dan Pakcu 
percaya setiap daripada kita pun ada menyertai berbagai-bagai 
persatuan. Kenapa persatuan yang kita sertai tidak hidup, tidak maju 
atau setengahnya mati di tengah jalan? Tentu kita semua tahu apa 
sebab musababnya.

Antara sebabnya yang selalu kita dengar ialah, kerana berlaku saling 
harap berharap di antara satu sama lain. Mu harap ke aku, aku harap 
ke mu. Kerana sifat dan sikap itulah, semua kerja tidak menjadi. 

Selain daripada itu, selalu terjadi di dalam persatuan atau 
pertubuhan ialah, banyaknya jenis pahat yang berbunyi selepas rumah 
siap. Orang-orang seperti ini tidak guna langsung. Kalau boleh 
biarlah mereka tidak dimasukan ke dalam Perakan. Mereka hadir ke 
dalam mesyuarat bukan hendak memberi idea, pandangan sebaliknya 
menanti "cerlak" nak kritik. Nak mengatakan saja. 

Sikap-sikap seperti ini kita tidak mahu ada dalam Perakan, atau cuba 
dibawa di dalam Perakan. Biarlah Perakan mencatat sebagai sebuah 
persatuan yang terhidar daripada fenomena ini. Jadikan Perakan 
sebagai persatuan contoh. Sebuah persatuan professional dan 
berkualiti. Setidak-tidaknya Perakan menjadi lebih baik daripada 
persatuan Mencari Etok atau pun Pengayuh Beca.

Kahabrnya pada 21 Janurari ini diadakan mesyuarat agung pertama 
Perakan. Dalam mesyuarat itu akan diadakan pemilihan pucuk 
pimpinannya. Menjadi harapan Pakcu, semoga ia berjalan dengan lancar 
dan teratur. Pilihlah pemimpin yang boleh dibuat berkira, tidak agah, 
dan benar-benar ikhlas untuk jadikan Perakan sebagai wadah penjalin 
anak-anak Kelantan. Jangan sesekali pilih orang yang oportunis!

Bila sebut fasal Perakan ini menjadi harapan Pakcu, agar ianya 
menjadi lebih baik daripada persatuan-persatuan seumpamanya yang juga 
turut menghimpun anak-anak Kelantan kononnya untuk membawa kemajuan 
kepada Kelantan. Biarlah Pakcu sebut terus terang, salah satu 
persatuan itu ialah Pakatan Kelantan Darulnaim (Pakatan).

Mulanya tujuan Pakatan ini ditubuhkan sangat baik, ia menjunjung 
tinggi prinsip persaudaraan dan sainsobat di kalangan anak-anak 
Kelantan. Ia berhajat menjadi pembela anak-anak Kelantan di 
perantauan. Itulah matlamat awalnya sungguh murni. Ia mendapat 
sambutan hangat, sampai Sultan Kelantan pun pernah menghadiri majlis 
makan malam suatu masa dulu.

Tetapi sayang lama kelamaan Pakatan menjadi lara' hilang punca dan 
haluannya bertukar arah. Perlahan-lahan darjatnya bertukar, dari 
persatuan untuk semua golongan jadi persatuan elit, golongan 
bangsawan, dan korporat. Dan paling menyedihkan ia secara sembrono 
digunakan oleh para pemimpin 'jangus'nya menjadi kaldai kurus bagi 
tunggangan pihak-pihak tertentu.

Jadi, keadaan atau nasib sedemikian kita tidak mahu berlaku ke atas 
Perakan. Perakan biarlah kekal sebagai persatuan orang-orang kecil, 
marhaen dan dianggotai semua peringkat. Dan kalau Perakan berhajat 
untuk menyokong mana-mana parti politik di Kelantan biarlah ia 
rasional, dan pilihlah parti yang dipimpin oleh orang yang boleh 
dipercayai. Dipimpin oleh pemimpin yang tulus, kuat berkerja, ada 
idea,pandai mencari duit untuk Kelantan dan tidak pernah terbabit 
dengan apa-apa maksiat atau pun skandal sehingga menganiayakan orang-
orang miskin.

Selamat bersidang.


Kirim email ke