PASIR PUTEH: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun mati selepas lehernya tersepit besi kaki meja ketika bermain pondok-pondok bersama sepupunya di tepi rumahnya, di Kampung Alor Hijau, dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, mangsa, Norafah Amalina Azmi (gambar), dikatakan bermain pondok-pondok di atas meja lipat plastik yang diterbalikkan di tepi rumahnya, bersama sepupunya berusia dua tahun, Nor Widak Akilah Azhar. Ketika mangsa bermain di atas meja yang terbalik itu, dia dikatakan menendang sebahagian kaki meja, menyebabkan salah satu besi penghadangnya terjungkit dan terkena leher mangsa. Anak keenam dari tujuh beradik dikatakan cuba menendang beberapa kali kaki meja itu untuk melepaskan diri, tetapi gagal apabila besi penghadang itu semakin menyepit lehernya sehingga dia sukar bernafas. Kejadian disedari sepupunya, Norsabrina Azhar, 8, selepas mendapati Norafah terbaring dengan memberitahu kakak mangsa, Norzahra Shafiqah, 11, yang berada di dalam rumah bersama neneknya, Che Zaharah Abdullah, 64. Che Zaharah berkata, sebaik dimaklumkan, cucunya bergegas keluar untuk menyelamatkan adiknya, tetapi gagal. "Apabila keluar, saya lihat Norafah sudah tidak bernafas dan lehernya tersangkut pada besi. Saya kemudian menariknya keluar dan meminta bantuan jiran untuk menghantar cucu saya ke Klinik Kesihatan Selising. "Sebaik tiba di klinik berkenaan, pembantu perubatan di situ mengesahkan cucu saya sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam. Difahamkan ketika kejadian, bapa mangsa, Azmi Ahmad, 50, tiada di rumah, manakala ibunya, Ramlah Ismail, 40, yang masih berpantang berada di rumah. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal, yang mengesahkan kejadian itu berkata, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut. Pada 30 Ogos tahun lalu, seorang kanak-kanak perempuan, M Intra, 6, mati selepas kepalanya tersepit pada kaki meja lipat di rumahnya di Kampung Ceti di Kulim, Kedah. Pada 6 Julai 2005, Mohd Hafizi Abu Bakar, 6, maut akibat tersepit di celah kaki meja lipat ketika bermain di pekarangan rumah keluarganya di Sungai Besar, Selangor. Mohd Hafizi yang sedang bermain dengan meja lipat yang diterbalikkan itu ditemui neneknya, Aishah Rajahan, 50, dalam keadaan lehernya terkulai akibat tersepit antara kaki meja.//BHarian
