TUMPAT, 16 Jan Kerajaan negeri Kelantan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang telah membina benteng di hadapan Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru untuk menahan hakisan sungai sepanjang 130 meter tahun lalu telah menyelamatkan sekolah.
Walau pun tanggungjawab sekolah terbabit di bawah kerajaan pusat, kerajaan negeri tanpa soal politik telah membina benteng untuk mengatasi masalah hakisan. Menurut penduduk sekiranya benteng penahan hakisan tidak dibina segera tahun lepas, pagar dan kantin sekolah terbabit sudah runtuh dan menjadi sebahagian Sungai Kelantan sekarang. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Alam Sekitar, Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman berkata, bagi mengelakkan bangunan sekolah terbabit runtuh ke dalam sungai, kerajaan negeri membina benteng melibatkan kos RM200,000. Menurutnya, kerajaan negeri mengambil langkah segera membina benteng konkrit bagi menghalang hakisan daripada terus berlaku di kawasan itu yang terletak di Pulau Seratus. "Walaupun sekolah berkenaan di bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan, namun demi menjaga kepentingan rakyat kerajaan negeri mengambil tanggungjawab membina segera benteng. "Jika benteng tidak dibina segera kemungkinan sebahagian pagar dan kantin sekolah sudah runtuh ke dalam sungai memandangkan kedudukannya begitu kritikal sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas melawat projek tersebut petang semalam. Turut sama pada lawatan tersebut Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob dan Pengarah JPS Kelantan, Ir Lim Chow Hock. Pulau Seratus hanya boleh dihubungi melalui sungai dengan menyunsur Sungai Kelantan. Sebelum ini dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar Annuar yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan mendakwa kerajaan Kelantan lemah dalam membuat perancangan berkesan dan pentadbiran negeri tidak terurus. Bagaimanapun langkah segera dilakukan kerajaan negeri membina benteng hakisan di Pulau Seratus secara tidak langsung dapat menolak dakwaan pemimpin terbabit. Malah sebelum ini kerajaan negeri membina jambatan konkrit yang menghubungkan Pulau Beluru dengan Teluk Renjuna membabitkan kos RM400,000 bagi menggantikan jambatan dibina Jabatan Pembangunan Persekutuan yang runtuh akibat banjir. Md Anizam juga berkata, kerajaan negeri membina benteng di tebing Kuala Sungai di Pulau Teluk Renjuna bagi mengatasi masalah hakisan yang berlaku setiap kali musim tengkujuh. "Pembinaan benteng hakisan di Teluk Renjuna fasa pertama sepanjang 130 meter yang melibatkan kos sebanyak RM200,000 siap November tahun lalu. Dengan siapnya benteng tersebut berjaya menyelamatkan beberapa rumah penduduk daripada hakisan. "Hakisan di kawasan itu melibatkan sepanjang dua kilometer dan 50 meter ke darat, di mana sebelum ini dua rumah penduduk telah tenggelam ke dalam sungai," katanya. Sementara itu, ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini, beliau berkata, kerajaan negeri turut prihatin terhadap masalah hakisan pantai yang berlaku di negeri ini sekarang. Katanya, kerajaan negeri mengakui mempunyai tanggungjawab yang sama, namun projek pembinaan benteng hakisan memerlukan kos tinggi dan perlu disalurkan kerajaan Pusat. Menurutnya, kerajaan Pusat mempunyai peruntukan yang lebih besar bagi mengatasi masalah tersebut. "Bagaimanapun kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan khas bagi tujuan itu di mana tahun lepas sejumlah RM500,000 telah dibelanjakan bagi mengatasi masalah hakisan," ujarnya.//Hrkh
