KOTA BHARU: Seorang anggota Jabatan Pembangunan Islam (JPI) dari 
Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) cedera 
selepas diseret kereta ketika menjalankan pemeriksaan terhadap 
pasangan yang dipercayai melakukan kegiatan maksiat, semalam.

Anggota JPI berusia 46 tahun itu cedera selepas terjatuh dan diseret 
kira-kira 10 meter apabila kereta dinaiki sepasang kekasih cuba 
melarikan diri dalam pemeriksaan di kawasan perindustrian Padang 
Tembak di Pengkalan Chepa, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu, anggota JPI luka di 
beberapa badan dan terpaksa mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar 
di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Pegawai Perhubungan Awam MPKB-BRI, Azman Mohd Dahan, berkata 
sepasukan anggota JPI yang melakukan rondaan mengesan kereta Proton 
Wira di tepi jalan di kawasan gelap terbabit.

Menurutnya, sepasukan anggota JPI yang menaiki kenderaan pacuan empat 
roda kemudian membuat intipan tetapi mendapati tiada sesiapa di dalam 
kereta itu.

Katanya, seorang daripada anggota JPI itu kemudiannya menghampiri 
kereta terbabit dan mendapati ada pasangan berpelukan di dalam kereta 
berkenaan.

"Pada masa sama, anggota terbabit cuba membuka pintu kereta itu bagi 
mencabut suis tetapi disedari pasangan terbabit yang cuba melarikan 
diri.

"Bagaimanapun, anggota JPI itu sempat berpaut pada kereta itu tetapi 
lelaki dalam kereta itu sempat menghidupkan keretanya ketika 
mengundur, sekali gus mengheret anggota JPI berkenaan," katanya.

Azman berkata, akibat tindakan lelaki terbabit, anggota JPI itu 
terpaksa melepaskan pegangan tangannya dan terjatuh.

Menurut Azman, pihaknya memang sering melakukan rondaan membanteras 
maksiat di kawasan MPKB-BRI selain membantu penguat kuasa Jabatan Hal 
Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).

"Saya menasihatkan anggota JPI berhati-hati ketika menjalankan tugas 
membanteras kegiatan maksiat kerana pihak yang terbabit sanggup 
bertindak melulu tanpa memikirkan keselamatan diri dan orang lain.

"Mereka ini hanya memikirkan untuk melepaskan diri untuk mengelak 
dikenakan tindakan undang-undang," katanya. //HMetro

Kirim email ke