TUMPAT, 21 Jan - Kelantan meletakkan beberapa syarat sekiranya kerajaan pusat berhasrat untuk mengambil alih pentadbiran Sekolah- sekolah Agama Rakyat (SAR) dalam negeri, termasuk mengikuti kurikulum pembelajaran yang sudah ditetapkan dan pengambilan guru-guru dari Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata sekiranya syarat tersebut tidak dipersetujui, kerajaan negeri mungkin tidak akan bersetuju untuk menyerahkan SAR kepada Kementerian Pelajaran. "Ini syarat dia (jika mahu ambil SAR), dan kita (kerajaan negeri) tidak boleh terima bulat-bulat apa yang dimahukan kerajaan Pusat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian asrama baru Madrasah ar-Rahmaniah di Kampung Neting di sini yang berharga lebih RM150,000 sumbangan Takaful Nasional Sdn Bhd, hari Ahad. Kerajaan Pusat sebelum ini meminta Kelantan supaya menyerahkan semua sekolah agama bantuan kerajaan negeri untuk ditadbir oleh Kementerian Pelajaran kerana mendakwa banyak kelemahan berlaku di bawah pentadbiran kerajaan negeri, termasuk kelemahan guru serta kegagalan pelajar mengikuti sukatan pelajaran yang dikehendaki. Semua SAR di Kelantan ketika ini ditadbir oleh YIK dengan bantuan disalurkan sepenuhnya dari kerajaan negeri setiap tahun. Nik Aziz berkata rundingan serta kajian menyeluruh antara pihak kerajaan pusat dan kerajaan negeri mengenai perkara itu masih sedang berlangsung, dan sehingga kini belum ada sebarang keputusan muktamad mengenainya. Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Nasional Sdn Bhd, Mohd Tarmidzi berkata sebelum menghulurkan sebarang bantuan, pihaknya melaksanakan perancangan dengan teliti, di samping melawat pelbagai institusi, asrama dan rumah-rumah kebajikan, yang mungkin memerlukan pelbagai bentuk bantuan. "Takaful Nasional juga akan melaksanakan beberapa projek bantuan di Perak, Johor, Terengganu dan Sabah selepas ini," katanya. Projek pembinaan asrama Madrasah ar-Rahmaniah itu adalah yang ketiga dalam negara dan yang pertama di Kelantan sumbangan Takaful Nasional.//Bernama
