KOTA BHARU: Pemilik pusat karaoke dan snuker haram di bandar ini 
dikesan berpakat menghubungi antara satu sama lain bagi menyalurkan 
maklumat mengenai operasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ada di antara mereka akan memberi amaran mengenai operasi PBT bagi 
membolehkan rakan lain menutup premis untuk mengelakkan pemeriksaan. 

Pengarah Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam 
(MPKB-BRI), Ramly Che Hussin, berkata pihaknya menyedari kegiatan 
berkenaan.

Menurutnya, pihaknya tidak mampu membuat pemeriksaan serentak kerana 
kekurangan anggota dan peluang itu digunakan pemilik premis memberi 
amaran kepada rakan lain.

"Kita memang memantau setiap pusat karaoke dan snuker haram di sini 
tetapi setiap kali operasi mereka dapat menghidu pergerakan kami.

"Bagaimanapun, kami tetap menjalankan operasi sambil merancang 
beberapa strategi memerangkap mereka walaupun menyedari pakatannya 
itu," katanya.

Hasilnya, dalam satu operasi yang diketuai Inspektor Roslan Yusof 
pada malam Maal Hijrah lalu, MPKB-BRI berjaya merampas beberapa 
peralatan permainan snuker apabila menyerbu sebuah pusat snuker haram 
di Taman Koperatif, dekat sini, kira-kira jam 11.20 malam.

Menurut Ramly, pusat snuker haram itu didapati beroperasi melebihi 
waktu dan dipercayai membiarkan pelanggan berjudi serta ada 
sesetengah mereka bermain hingga ke awal pagi.//HMetro 

Kirim email ke