KOTA BHARU: Penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) 
merampas pelbagai peralatan snuker dan karaoke bernilai RM75,000 
dalam serbuan di empat lokasi malam kelmarin.

Serbuan dilakukan mulai jam 11 malam membabitkan sasaran di Taman 
Koperatif, Taman Desa Kemumin, Jalan Pengkalan Chepa dan Pasir Tumboh 
dekat sini.

Ketua Penguat Kuasa MPKB, Ramly Che Hussin, berkata dalam serbuan di 
Taman Koperatif, pihaknya mengesan sebuah rumah dijadikan lokasi 
permainan snuker membabitkan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

"Kita menyita empat meja snuker yang sedang digunakan sekumpulan 
kanak-kanak berusia 12 tahun, manakala di Taman Desa Kemumin pula 
menyita tujuh komputer bersama peralatan yang digunakan untuk 
permainan komputer.

"Dalam gerakan di Pengkalan Chepa dan Pasir Tumboh, kita merampas 
peralatan karaoke termasuk televisyen, pembesar suara, cakera padat 
video (VCD) kerana kegiatan tanpa lesen," katanya semalam.

Ramly berkata, operasi itu dilancar selepas menerima maklumat orang 
awam mengenai kegiatan beberapa premis dijadikan lokasi karaoke, 
siber cafe dan pusat snuker haram.

Katanya, tindakan menyita itu adalah berdasarkan Undang-Undang Kecil 
Trade Perniagaan, Perindustrian MPKB (Pindaan 2002) yang boleh 
membawa hukuman denda minimum RM500 dengan harta milik mereka disita.

"Kami percaya masih banyak premis seumpama itu beroperasi tanpa lesen 
terutama permainan snuker dan siber kafe serta karaoke yang dibuka di 
rumah persendirian bagi mengelak dikenakan tindakan.

"Kita akan meminta kerjasama polis memantau premis yang 
menyalahgunakan lesen sedia ada untuk tujuan tertentu terutama 
membabitkan remaja sekolah," katanya.//BHarian


Kirim email ke