GUA MUSANG, 23 Jan - Biar pun masyarakat Orang Asli merupakan golongan minoriti di negeri ini, namun mereka tetap diberi perhatian kerajaan negeri.
Antara usaha yang dilakukan bagi membantu mereka termasuk mewujudkan Dataran Usahawan Orang Asli membabitkan kos RM100,000 bakal dibina di jajahan ini tidak lama lagi. Penyelia Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, Chek Hashim Sulaima berkata, dataran berkenaan yang akan didirikan di Pos Ber berhampiran tempat pelancongan yang terkenal dengan kolam air panas akan menempatkan barang-barang kraftangan masyarakat terbabit. Antaranya sumpit, bakul, tikar, cawat, tali pinggang dan lain-lain hasil kerja tangan masyarakat Orang Asli. Selain itu ubat-ubatan tradisional juga akan dipamerkan. "Dataran Usahawan khas untuk mereka wajar diwujudkan bukan sahaja untuk mengumpul produk masyarakat Orang Asli, tetapi sebagai daya tarikan kepada pelancong yang menggunakan lebuh raya Timur Barat kedua," katanya di sini. Jalan raya baru itu menghubungkan Gua Musang Simpang Pulai di Perak dan Cameron Highlands. Ia siap dibina beberapa tahun lalu. Bagaimanapun jalan raya itu belum dibuka secara rasmi memandangkan terdapat kerja-kerja pembaikan di beberapa tempat. Sepanjang jalan raya tersebut terdapat banyak penempatan dan perkampungan Orang Asli termasuk Pos Brooke yang dilengkapi dengan sekolah bertingkat. Chek Hashim berkata, produk kraftangan ciptaan mereka begitu unik yang dibuat daripada buluh, rotan, tali dan daun kelapa.//Hrkh
