KOTA BHARU: Hasrat seorang buruh kilang papan menikmati hidangan ayam 
hutan tidak kesampaian apabila beliau kini koma selepas cedera parah 
terkena peluru sesat ketika menjerat hidupan liar itu di sebuah 
ladang di Gua Musang, petang kelmarin.

Kejadian berlaku ketika mangsa, Muhamad Rafi Yusoff, 32, sedang 
memasang jerat ayam hutan di kawasan Ladang Subong, di Gua Musang 
selepas keluar menjerat kira-kira jam 1.30 petang.

Secara tiba-tiba, dia terkena tembakan peluru penabur yang dipercayai 
dilepaskan pemburu lain yang turut berada di ladang itu, menyebabkan 
mangsa cedera parah di bahagian dada, bahu serta tangan.

Mangsa yang berlumuran darah berjalan keluar dari kawasan ladang itu 
sebelum ditemui dan dibantu seorang penduduk yang menghantarnya untuk 
rawatan kecemasan di Hospital Gua Musang.

Isteri mangsa, Rohani Man, 30, berkata beliau mengetahui kejadian 
yang menimpa suaminya selepas dimaklumkan seorang anggota polis yang 
datang ke rumahnya jam 6 petang.

"Suami saya dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II pada jam 
11.30 malam tadi (kelmarin) selepas keadaannya semakin membimbangkan. 
Beliau sudah menjalani pembedahan mengeluarkan serpihan peluru.

"Suami saya bekerja sebagai buruh kilang papan tetapi sekarang musim 
hujan dan kilangnya tidak beroperasi, jadi dia buat kerja sampingan 
termasuk menjerat ayam hutan untuk hidangan keluarga," katanya ketika 
ditemui HRPZII, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Ahmad Sofian Md Yassin, 
ketika dihubungi berkata, setakat ini, polis masih mengesan pihak 
yang melepaskan tembakan. 

Beliau berkata, polis percaya pemburu terbabit yang bersenjatakan 
senapang patah, tidak menyedari mangsa yang cuba menangkap ayam hutan 
dengan pisau dan jerat turut berada di hutan berkenaan. 

"Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 
1960. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu 
diminta tampil membantu siasatan," katanya.//BHarian



Kirim email ke