KOTA BAHARU, 30 Jan - Penggiat seni dikir barat terkenal Kelantan, 
Nordin Yusoff diberi peruntukan membina sebuah rumah oleh kerajaan 
negeri Kelantan sebagai penghargaan dan pengorbanan tokoh seni itu.

Sumbangan berupa cek bernilai RM30,000 disampaikan Pengerusi 
Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Perpaduan Masyarakat Datuk 
Anuar Tan Abdullah di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata sumbangan itu diberikan sebagai mengenang jasa Nordin 
terhadap seni dan budaya Kelantan sejak lebih 20 tahun lepas.

"Inilah sumbangan pertama kerajaan negeri bagi membina sebuah rumah 
kepada penggiat seni tanah air dalam bidang dikir barat, " katanya 
kepada pemberita selepas majlis itu.

Nordin atau lebih dikenali sebagai Megat Nordin, 48, merupakan Tok 
Jogho (juara dikir) dalam seni dikir barat sejak 20 tahun lepas dan 
pernah mewakili negara dalam mengadakan persembahan di luar negara.

Nordin yang ditemui selepas itu berkata penglibatan beliau dalam seni 
dikir barat didorong oleh minat dan ingin berjasa kepada negara 
melalui persembahan dikir barat.//Bernama

Kirim email ke