KOTA BAHARU, 30 Jan - Penduduk termiskin di Kelantan kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan persekutuan memperuntukkan sejumlah RM373,492 sebagai bayaran sewa rumah untuk golongan itu.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Annuar Musa berkata peruntukan besar oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu adalah untuk diagihkan mengikut kadar sewaan rumah yang ditanggung golongan terbabit. "Kita harap peruntukan itu disalurkan kepada semua masyarakat yang berhak menerimanya bukan dipilih dari kalangan tertentu sahaja," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian Bantuan Sewa Rumah di Bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di sini, hari ini. Peruntukan kepada Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB), Majlis Daerah Ketereh dan Majlis Daerah Machang itu diserahkan kepada Ketua Bahagian Pembangunan Insan MPKB, Ibrahim Mat yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Aiseri Alias. Annuar berkata wang itu akan diagihkan kepada golongan termiskin yang tinggal di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan kadar antara RM960 dan RM2,070 setahun sebagai bayaran sewa rumah mereka. Annuar berkata berdasarkan bancian awal bilangan golongan termiskin di MPKB ialah 139 keluarga dan jumlah peruntukan yang diberikan ialah RM176,668, Ketereh seramai 54 keluarga (RM71,496), Bachok (13 keluarga; RM13,440), Machang (15 keluarga; RM21,696), Pasir Mas (18 keluarga; RM24,144), Tumpat (41 keluarga; RM49,800) dan Kuala Krai (13 keluarga; RM16,248). Beliau berkata pemilihan dibuat berdasarkan penilaian Jabatan Perangkaan dengan sokongan ketua kampung setelah borang dikeluarkan secara terbuka. "Saya harap tidak berlaku ketidakadilan dalam memberikan peruntukan yang dikeluarkan oleh kerajaan itu," katanya.//Bernama
