Note: forwarded message attached.
       
---------------------------------
Looking for last minute shopping deals?  Find them fast with Yahoo! Search.
--- Begin Message ---
Artikel yg informatif dari saifulislam.com....
   
  Sepatutnya 39 tahun lebih dewasa
   
  “Tak menyesal ke undi DAP?”, tanya kawan saya.
  “Tidak”, saya tidak teragak-agak menjawabnya.
  Jika DAP tidak diundi, PAS atau PKR tidak akan mencapai jumlah kerusi yang 
mencukupkan mereka untuk menumbangkan BN. PAS atau PKR untuk bergerak atas 
kapasiti masing-masing di dalam Dewan Undangan Negeri yang masih diterajui oleh 
BN tidak memberi apa-apa makna yang besar.
  “Mengapa tidak undi BN sahaja?”, tanya rakan saya lagi.
  “11 penggal BN memerintah, mahu tambahan 5 tahun lagi? Udah-udah le”, saya 
menjawab. 
  JENAYAH UMNO-BN
  Jika mahu bercakap soal Melayu, Muslim dan hero-hero pembelanya, jawablah 
soalan ini…
  Siapakah yang menyekat kewangan pusat kepada kerajaan ‘Melayu’ dan ‘Muslim’ 
di Terengganu dan Kelantan? BN, UMNO.
  Siapakah yang menggadaikan tanah rezab orang Melayu? BN, UMNO.
  Siapakah yang meminggirkan Bahasa Melayu dan sastera Melayu? BN, UMNO.
  Siapakah yang menyekat ilmuan Melayu, ilmuan Muslim dengan segala ancaman, 
ugutan, hingga masjid dan surau lebih baik dibiarkan sepi daripada makmur 
dengan pengajian yang tidak serasi dengan kehendak politik? BN, UMNO.
  Siapakah yang gagal melaksanakan DEB yang diformulakan sendiri oleh mereka 
untuk kononnya membantu orang Melayu? BN, UMNO.
  Siapakah yang memerintah ketika Melayu Muslim Pulau Pinang terpinggir dan 
akhirnya merempat di tanah sendiri? BN,, UMNO, Gerakan…
  Kita kehilangan segala-galanya di bawah Barisan Nasional, di bawah UMNO. 
Mengapa harus ada kepercayaan bahawa BN masih relevan sebagai tempat meletak 
harapan? Bukan sepenggal, tetapi 50 tahun. Semakin lama UMNO dan BN berkuasa, 
semakin mereka lupa. Usahkan mahu membantu mengatasi kemiskinan Cina dan India, 
bangsa sendiri pun mereka lupa.
  UMNO adalah masalah Melayu. Mereka juga masalah Cina dan India, serta kaum 
lain yang menghuni Malaysia.
  Peluang untuk UMNO dan BN sudah tamat. Untuk menamatkannya, hanya strategi 1 
lawan 1 sahaja yang mampu menundukkannya. Di mana-mana kawasan BN berdepan 
dengan DAP, maka DAP itulah yang perlu dipilih.
  Tidak mengundi adalah keputus asaan.
  Mengundi BN adalah suatu kebodohan.
  Maka DAP adalah pilihan yang tinggal untuk menundukkan keangkuhan BN.
  Lainlah kalau Melayu mahu belajar mendengar dan memahami tentang PAS. Namun 
apa yang berlaku, sebut sahaja PAS, jika tidak jebik, gamlah yang dipalit. 
Apabila hak orang Melayu terusik, tiba-tiba pula BN mahu menampilkan diri 
menjadi juara membela bangsa.
  PAS GABUNG DENGAN BN?
  “Kenapa tidak PAS Perak bergabung sahaja dengan BN?”, tanya sahabat yang 
seorang lagi. Banyak benar sembang politik sehari dua ini.
  “PAS sudah pun bergabung dengan BN pada tahun 1972. Alasan pun tidak banyak 
beza. Mahu menyelamatkan politik Melayu Muslim, ekoran peristiwa 1969. Tetapi 
apa yang berlaku kepada PAS?”, saya cuba memanggil kembali ingatan kepada 
sejarah.
  “Apa yang berlaku?”, tanya kawan saya lagi.
  “UMNO menipu PAS. Setelah kuat, mereka kembali angkuh. PAS disekat daripada 
berkembang. MB Kelantan mahu dilantik oleh Kerajaan Pusat biar pun PAS 
memenangi kerusi terbanyak dalam pilihanraya di Kelantan. Akhirnya PAS yang 
tertekan, kehilangan sokongan dan Kelantan jatuh ke tangan BN hasil 
pengisytiharan MAGERAN pada tahun 1978″, itu kata sejarah.
  “Yang angkuh suka bermusuh”, ulas teman saya tadi.
  “Haa.. tahu pun”, saya menambah.
  “Tetapi DAP pun nampaknya angkuh!”, kata teman saya.
  “Menarik!”, saya bersetuju.
  Di Perak, masalah yang dihadapi oleh DAP bukannya PAS atau PKR atau Barisan 
Nasional. Tetapi masalah DAP ialah Undang-undang Tubuh Negeri, dan Sultan 
selaku pemerintah tertinggi Negeri. Ujian pertama bagi DAP ialah sejauh mana 
mereka mampu bergerak mengikut lunas undang-undang. Play with the rule.
  Undang-undang Tubuh Negeri itu, atau Dasar Ekonomi Baru, atau apa sahaja 
peruntukan yang dianggap bersalahan dengan prinsip keadilan yang diterjemahkan 
oleh DAP, haruslah dilihat kembali di dalam konteks sejarah. Kesemua peruntukan 
yang dianggap menghalang itu, muncul sebagai reaksi kepada kegagalan kaum Cina 
pada tahun 1969 mengendalikan kemenangan mereka.
  Kemenangan mana-mana parti yang bertanding, adalah amanah untuk mentadbir 
masyarakat secara menyeluruh. Tetapi kemenangan besar-besaran pada masa itu, 
diterjemahkan sebagai kejayaan satu kaum ke atas satu kaum yang lain. Mereka 
pada tahun 1969 telah gagal menunjukkan keikhlasan mereka untuk berlaku adil 
kepada kaum yang menang dan kaum yang kalah.
  Sejauh manakah benarnya penafsiran saya terhadap insiden 13 Mei 1969 itu? Ia 
tidak penting kerana itulah persepsi yang membelenggu orang Melayu hingga ke 
hari ini. UMNO pula suka memperalatkan peristiwa itu untuk menjadi modal divide 
and rule mereka. Takutkan orang Melayu dengan 13 Mei 1969 agar dalam ketakutan 
itu, mereka terpaksa memilih yang SATU itu. Biar sejahat mana sekali pun yang 
SATU itu.
  MEMENANGI HATI RAKYAT
  DAP seharusnya berusaha untuk membina keyakinan rakyat yang bakal ditadbirnya 
bahawa mereka itu people oriented, dan bukannya party oriented. Mereka harus 
memenangi hati pengundi yang telah mengundi mereka. Sebagaimana ramai kaum Cina 
dan India mengundi PAS dan PKR, DAP juga harus sedar bahawa generasi Melayu 
2008 ramai yang terbuka untuk mengundi mereka, dengan kepercayaan bahawa DAP 
sudah 39 tahun lebih dewasa dari 1969.
  Apakah DAP tidak terfikir, bahawa sikap mereka di Pulau Pinang yang 
tergesa-gesa menghapuskan DEB, mempengaruhi pula imej mereka di Perak? Apakah 
DEB itu yang menjadi masalah teragung di Pulau Pinang hingga tanpa menanti 24 
jam, itu yang segera dicanangkan? Tiadakah sebarang usaha untuk membina imej 
yang boleh dipercayai oleh rakyat berbilang kaum di Pulau Pinang dan Perak?
  ORGANISASI HARUS BELAJAR
  Mana-mana sahaja organisasi sama ada organisasi politik atau perniagaan, 
kunci kepada keupayaannya untuk bertahan dan berkembang ialah dengan adanya 
proses learning and growth. Jika ada usaha untuk belajar, maka barulah 
kematangan itu datang dan organisasi akan berkembang. Itu asasnya.
  Lihat kepada PAS.
  Sejarah PAS yang panjang telah melihat bagaimana idea politik Islam PAS 
berkembang dari satu tahap ke satu tahap. Prinsip Islam yang dipegang oleh PAS 
memberikan kepadanya konsistensi dan keterbukaan untuk mencuba pelbagai 
pendekatan selagi mana ia boleh dijustifikasikan oleh agama.
  Keterbukaan PAS, membolehkan mereka bersepakat dengan UMNO pada tahun 1972. 
Suatu percubaan yang amat berharga. Namun prinsip yang dipegang oleh PAS 
menjadikannya konsisten dengan perjuangan, lantas PAS mengambil tindakan keluar 
meninggalkan Barisan Nasional selepas pengkhianatan BN mengorbankan Kelantan 
pada tahun 1978.
  Keterbukaan PAS itu jugalah membuka ruang untuk PAS mencuba pendekatan yang 
paling kontroversi pada pilihanraya tahun 1999 apabila PAS mengambil langkah 
drastik bekerjasama dengan DAP. Segala isu era penggarisan Islam dan Jahiliyyah 
di sepanjang tahun 80an dan 90an diuzurkan dengan keterbukaan PAS untuk 
memfokuskan kepada satu matlamat yang dikongsi bersama, iaitu menentang 
kezaliman BN. Tindakan PAS itu bukan sahaja bermanfaat untuk negara buat 
seketika, malah ia menjadi pelajaran yang amat berharga buat gerakan-gerakan 
Islam sedunia yang mahu belajar dari pengalaman PAS yang susah dan payah itu.
  Apabila berada di posisi kuasa, PAS terpaksa menerima hakikat yang DAP tidak 
dapat mencari titik temu kepada pertembungan ideologi mereka, lantas DAP 
meninggalkan Barisan Alternatif pada 2001. Ia bukan hanya menjadi isu DAP, 
malah PAS sendiri terus belajar dan mengkaji.
  Islamism, terma yang diguna pakai oleh penulis Barat untuk merujuk kepada 
ideologi politik Islam, telah melalui fasa yang pelbagai. Pengalaman FIS di 
Algeria, Ikhwan di Mesir, begitu juga dengan Refah hingga ke Saadet dan AKP di 
Turki, memperlihatkan betapa dinamiknya Islam yang menjadi teras perjuangan 
parti politik Islam ini.
  Apakah DAP sebagai sebuah parti yang bercita-cita untuk berkuasa di sebuah 
negara majmuk ini mengkaji dan peduli kepada perkembangan idea Islamism? Apakah 
DAP belajar tentang asas dinamiknya AKP Turki hingga berjaya memenuhi segala 
ketetapan Kesatuan Eropah dalam soal demokrasi dan hak asasi manusia, tanpa 
tercabut akar Islam mereka?
  Saya lihat, hanya dua kelompok sahaja yang gagal belajar iaitu golongan 
sekularis pelampau di Turki, dan hari ini Lim Kit Siang membuktikannya di Perak.
  Beliau gagal membaca perubahan besar yang berlaku di dalam PAS. Beliau gagal 
melihat betapa banjiran golongan profesional dan ulama kontemporari yang 
mewarnai rentak semasa PAS, telah membawa PAS ke suatu tahap yang amat baru 
tetapi semakin menepati realiti Malaysia. Jika PAS sudah belajar dan membesar 
dewasa, apakah Lim Kit Siang mahu membuktikan sebaliknya untuk DAP?
  SIFIR TIDAK PERNAH BERUBAH
  Jika Lim Kit Siang dan DAP membawa sikap yang sama seperti BN, pada 
keangkuhan dan self centered yang pekat itu, sifir yang menimpa BN tidak akan 
pergi jauh dari DAP.
  Tuhan akan menghukum DAP dengan kuasa rakyat yang lebih cintakan tanah air 
ini daripada politik kepartian yang sempit tanpa rasional.
  Blog Lim Kit Siang yang memaparkan pendiriannya untuk memboikot Majlis 
Mengangkat Sumpah 13 Mac 2008, telah dibantah oleh majoriti pemberi komen yang 
kebanyakannya terdiri daripada penyokong DAP sendiri. Ia sudah menjadi suatu 
permulaan yang tidak baik.
  Kegagalan DAP tidak berpunca dari PAS, PKR, Undang-undang Tubuh Negeri, hatta 
Sultan dan DEB. Tetapi ia berpunca dari kegagalan DAP sendiri. Kegagalannya 
untuk berkomunasi secara baik dengan realiti Malaysia yang jauh dari 
intepretasi sempit yang masih dipertahankan.
  ISLAM ITU TINGGI
  Firman Allah SWT:
   
  “Dan janganlah kamu merasa lemah, dan janganlah kamu berdukacita, padahal 
kamulah orang-orang yang tertinggi jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) 
beriman” (Aal Imraan 3 : 136)
  PAS sebagai parti yang merujuk prinsip dan moralnya kepada al-Quran dan 
Sunnah Nabi SAW tidak harus menari dengan rentak perkauman atau kepartian yang 
sedang diserulingkan oleh DAP dan BN. Islam yang dijunjung itu haruslah 
menjadikan PAS sebagai pemenang sebenar.
  Bukan kerana MB dilantik daripada PAS, tetapi kerana ketinggian moral dan 
keterbukaannya untuk bersahabat dengan lawan, dan bertenang dalam kegelisahan.
  Lihatlah DAP sebagai mad’u yang perlu didampingi. Mungkin kerana sentimen 
1999 dan 2001 mereka telah gagal mendekati dan memahami perkembangan yang 
berlaku di dalam PAS. Maka gunakanlah kesempatan ini untuk membuktikan bahawa 
PAS sudah jauh berkembang meninggalkan persepsi lama semua pihak.
  PAS semakin bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang komited 
dengan keadilan.
  Dan kerana itu, dalam kemelut sehari dua ini, BN harus tutup mulut dan 
banyakkan muhasabah diri.
  ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
  
If you think that this entry deserves a cup of coffee, I praise Allah for your 
generosity. Thank you. 
   
   
  
--------------------------------------------------------------------------------
  
© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2007)
  Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com 
dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas 
menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat 
Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. 
Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian 
daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran 
atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, 
mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM 
terlebih dahulu.
  “Erti Hidup Pada Memberi”
  ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

       
---------------------------------
Be a better friend, newshound, and know-it-all with Yahoo! Mobile.  Try it now.

--- End Message ---

Kirim email ke