Kepada yg meminati sirah, satu artikel yg panjang, tapi ia tidaklah panjang 
jika anda meminati ilmu.

 
HADIS RASULLAH SAW TENTANG PEMBEBASAN CONSTANTINOPLE
Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali
Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan
tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah
sebaik-baik tentera……” 
(Hadis riwayat Imam Ahmad)
Di bawah ini adalah satu
artikel yang dikirimkan kepada saya oleh seorang rakan.  Disiarkan
semula  di sini untuk tatapan pembaca. Ditambah beberapa keping gambar
yang diambil dari Turki untuk dikongsikan.
_________________________________________________________ 
Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople
untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam
Hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan
menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1
kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman  Kerajaan
Usmaniyah.
Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan
Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary ra
telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople
di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin
dimakamkan di situ maka beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar
derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai
sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”.
Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.
Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun
kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan
Usmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya.
Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan 
tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik 
tentera” di dalam hadis tersebut.
PENGENALAN 
Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di
Adrianapolis (sempadan Turki - Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah
hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum
kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis 
tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya 
membebaskan Constantinople.
Baginda menaiki takhta ketika berusia   19 tahun dan
memerintah selama 30 tahun (1451 - 1481). Baginda merupakan seorang  
negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25
kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout.
Ada ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat diracun.  
PENDIDIKAN 
Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan
bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin
Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di
dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan,  
memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.
                                                       
Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di 
zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek,  
Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Di
dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad
II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia,
telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan
Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah  matang menangani tipu
helah musuh.
KEPERIBADIAN 
Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri
.. Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan
serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan
menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja
Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam,
berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda
sangat cintakan ulamak dan selalu berbincang dengan mereka tentang
permasalahan negara.
PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE
Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda
mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti
titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan
kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima
perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.
Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden
seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu.
Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5
batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang
paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di
tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim
dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat
Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan
Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti.
Baginda membawa bersama para ulamak dan pakar
motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya.
Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda
mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine
gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin
mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.
MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE
Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda
menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah.
Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April
1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48
hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih
teguh.
Menara Bergerak
Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara
bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan
ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut
setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.
Bantuan Dari Pope Vatican
                                       
Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang
dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn
direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada
Usmaniyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.

                                                                           
Melancarkan Kapal Perang Dari Puncak Gunung
Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya,
mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Usmaniyah di
perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda
mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula
ke perairan Teluk Golden Horn. Tektik ini diakui sebagai antara tektik 
peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat 
sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.
                                            
Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar
kerana bedilan meriam Usmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin
lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan
semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis
Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt.
Memanjat dan Melastik Dinding Kota 
Keesokan paginya tentera Usmaniyah cuba memanjat
dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik
besar. Tentangan sengit pihak Byzantin   menyebabkan ramai yang syahid..
Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan
sehingga tengahari.
Karisma Seorang Pemimpin
                                          
Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang
tanda-tanda kejayaan  telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan
keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini Baginda berucap
menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk
mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!”.
Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang
tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan
melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di
situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh.
Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan
pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.
Penawanan Constantinople
Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar 
namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) .
Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda
dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud
syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fatih” iaitu yang 
menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.
SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA
Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan,
timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan
kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di
antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat
fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana
 tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.
Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang
sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila
duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.
Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara
kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud
walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali
 Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat 
fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh
.. Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah
sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam
Hadisnya itu.

Sumber: http://satuperkongsian.wordpress.com/




      Cuba Yahoo! Messenger 9.0 terbaru. Akhirnya ia muncul! 
http://my.messenger.yahoo.com

Kirim email ke