Memorandum GMP kepada Yang di-Pertuan Agong




Gerakan Mansuh PPSMI 
Mon | Mar 09, 09 | 3:45:02 pm MYT
 


Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik sekalian mohon diampun.
Adapun Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) ini telah dilancarkan di Kuala Lumpur pada 
31 hari bulan Januari 2009. Alhamdulillah sejak itu sambutannya di seluruh 
negara sangat memberangsangkan.

MENGAPA KAMI SEKALIAN MEMBANTAH PPSMI
Patik sekalian membantah PPSMI dan meminta kerajaan memansuhkannya atas 
beberapa sebab utama seperti yang kami jelaskan berikut:
1. Dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu 
(iaitu Bahasa Kebangsaan Malaysia) di sekolah kebangsaan yang telah 
dilaksanakan sejak Kemerdekaan berdasarkan Ordinan Pelajaran 1957, kemudian 
Akta Pelajaran 1961 dan seterusnya Akta Pendidikan 1996, telah mencapai 
kejayaan yang luar biasa dan tidak pernah menimbulkan apa-apa masalah yang 
besar dan serius.
Banyak pelajar kita, beratus ribu banyaknya, malah lebih 3 juta (dari tahun 
1957 hingga tahun 2003) telah berjaya mempelajari ilmu sains dan matematik 
dalam bahasa mereka sendiri dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat 
institusi pengajian tinggi.
Semua orang tahu akan kejayaan dasar yang asal itu dan banyak bukti tentang 
kejayaan itu dapat kami tunjukkan tetapi kami tidaklah berhasrat untuk 
membebankan pembaca dengan datanya yang agak banyak dan panjang.
2. Tidakkah orang yang membuat keputusan yang tidak munasabah itu sedar bahawa 
hasil daripada dasar pelajaran kebangsaan yang menetapkan bahasa Melayu (Bahasa 
Kebangsaan Malaysia) sebagai bahasa pengantar utama, ratusan ribu pelajar kita 
(seperti yang tersebut di atas) pandai sains dan matematik dalam bahasa 
sendiri, dan ribuan daripada mereka berjaya menjadi profesor yang mengajar 
sains dan matematik di peringkat pengajian tinggi dalam bahasa sendiri, menjadi 
ahli sains, jurutera, pakar-pakar perubatan, pandai berbincang, mengarang buku 
sains, menerbitkan hasil-hasil kajian saintifik dalam bahasa sendiri, iaitu 
bahasa Melayu, di samping bahasa Inggeris (kalau perlu)?
Tidakkah mereka tahu bahawa sebelum tahun 2003 jumlah tesis Sarjana Sains (M. 
Sc.) dalam bidang sains dan matematik yang ditulis dalam bahasa Melayu 
berjumlah lebih 2,000 (dua ribu buah) manakala tesis Doktor Falsafah (Ph.D.) 
dalam bidang tersebut yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih kurang 
400 buah?
3. Maka kami berasa amat hairan dan terperanjat mengapa dasar yang sudah baik 
dan berjaya itu, dasar yang tidak menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan 
serius itu, tiba-tiba dimusnahkan dan digantikan dengan PPSMI?
4. Keputusan PPSMI yang dibuat dalam tahun 2003 itu dibuat dengan mengejut 
tanpa apa-apa perbincangan, tanpa apa-apa perundingan dengan pakar-pakar 
pendidikan dan bahasa, tanpa memikirkan baik buruknya terhadap bahasa Melayu 
dan terhadap pelajar dan guru yang telah cukup biasa mengajar dan belajar sains 
dan matematik dalam bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (atau dalam bahasa 
ibunda di Sekolah Jenis-Kebangsaan Cina dan Tamil) selama lebih 37 tahun!
Tiba-tiba anak-anak kita yang tidak mengetahui bahasa Inggeris sepatah pun, 
kebanyakannya dari kawasan luar bandar, dipaksa belajar sains dan matematik 
dalam bahasa yang mereka tidak tahu itu. Beberapa orang ahli bahasa di Barat 
menganggap bahawa ini adalah contoh dasar English linguistic imperialism atau 
dasar penjajahan bahasa Inggeris yang berlaku di beberapa banyak negara bekas 
jajahan British, menyebabkan kebanyakan bangsa peribumi atau negara itu tidak 
maju sains dan teknologi.
5. Antara sebab yang dikemukakan oleh pihak yang cuba mempertahankan PPSMI 
ialah: Kalau orang Melayu atau pelajar Melayu mahu pandai dan maju dalam bidang 
sains dan matematik mereka hendaklah mempelajarinya dalam bahasa Inggeris, 
tidak dalam bahasa sendiri, yakni bahasa Melayu. Mengapakah setelah lebih 37 
tahun pendapat yang salah dan karut ini digunakan untuk mengubah dasar asal dan 
menggantikannya dengan dasar PPSMI? Tidak ada bukti ilmu dan empiris yang kukuh 
untuk mempertahankan alasan itu.
Hampir semua bangsa dan negara yang maju sains dan teknologi mengajar sains di 
sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi dalam bahasa kebangsaan atau 
bahasa ibunda mereka masing-masing. Sekadar menyebut beberapa contoh, Negara 
China, Jepun, Korea, Vietnam, Thailand, Indonesia, semua negara Eropah 
(termasuk Britain), Rusia dan negara-negara Skandinavia tidak mengajar sains 
dan teknologi dalam bahasa asing.
6. Kebanyakan negara Afrika yang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa 
Perancis sebagai bahasa rasmi dan bahasa pendidikan, baik di peringkat menengah 
dan peringkat tinggi, mahupun di peringkat sekolah rendah, tidak maju sains dan 
teknologi. Negara Brunei Darussalam tidak menggunakan bahasa Melayu untuk 
mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di universiti dan kita 
tahu negara itu tidak maju sains dan teknologi, yakni negara itu tidak sama 
taraf kemajuan sains dan teknologinya dengan negara seperti Jepun, Korea dan 
negara China atau Taiwan.
Korea Utara adalah negara kuasa nuklear. Negara itu tidak mengajar sains dalam 
bahasa Inggeris. Begitu juga, di Filipina, negara berbahasa Inggeris yang 
terbesar di Asia atau Asean, tidak menggunakan bahasa Filipina untuk mengajar 
sains dan matematik di sekolah menengah dan di peringkat pengajian tinggi, dan 
kita tahun negara itu tidak merupakan negara maju sains dan teknologi.
Kebanyakan eksport Filipina, menurut seorang ahli ekonomi Filipina, ialah 
pembantu rumah dan pekerja biasa; kelebihan mereka ialah, mereka boleh bertutur 
dalam bahasa Inggeris di peringkat rendah.
7. Beberapa banyak kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar pendidikan dan 
bahasa di seluruh dunia membuat kesimpulan bahawa manusia, mulai peringkat 
kanak-kanak, lebih mampu berfikir secara kreatif dan dapat memahami 
konsep-konsep ilmu dengan lebih mudah dan cepat dalam bahasanya sendiri.
Hal ini dapat kita lihat berdasarkan hakikat bahawa semua karya besar di dunia, 
baik dalam bidang sains mahupun sastera, dihasilkan dalam bahasa ibunda atau 
bahasa asal atau bahasa kebangsaan pengarang itu.
Kebanyakan pemenang Hadiah Nobel tidak datangnya dari golongan berbahasa 
Inggeris. Yang terbaharu, Hadiah Nobel Fizik tahun 2008 ialah 3 orang ahli 
sains Jepun yang menghasilkan kajian dan karya mereka dalam bahasa Jepun.
Kajian di Amerika Syarikat, Kanada dan beberapa buah negara di Eropah dan 
Afrika dan Hong Kong menunjukkan bahawa pelajar sains dan matematik dalam 
bahasa bukan ibunda merosot prestasi mereka dan tidak pula meningkatkan 
penguasaan atau kemahiran bahasa asing mereka. Pertandingan antarabangsa sains 
dan matematik yang diadakan tiap-tiap tahun untuk pelajar sekolah dimenangi 
oleh pelajar yang belajar sains dan matematik dalam bahasa ibunda masing, tidak 
dalam bahasa asing.
8. Setelah enam tahun berjalan, PPSMI masih tidak berkesan dan banyak 
menimbulkan masalah yang kebanyakannya tidak didedahkan kepada umum. Pengumuman 
Keputusan UPSR Tahun 2008 menunjukkan hanya 31.1% (159,234) murid sahaja 
daripada 511,875 murid Tahun 6 yang menjawab Kertas Sains dalam bahasa 
Inggeris. Ini bererti sebanyak 68.9% (352,641) murid tidak menjawab dalam 
bahasa Inggeris. Ini bukti kegagalan mengajar sains dan matematik dalam bahasa 
Inggeris, walaupun dipaksakan kepada pelajar itu.
9. Dalam mata pelajaran matematik pula, 46.6% (238,153) murid daripada 511,499 
jumlah murid yang menduduki peperiksaan Matematik UPSR menjawab dalam bahasa 
Inggeris. Ini bererti 53.4% atau seramai 273,346 murid menjawab dalam BM atau 
BM/BI. Ini juga bukti kegagalan pengajaran matematik dalam bahasa Inggeris 
kepada pelajar berbahasa Melayu.
10. Kedua-dua angka yang tersebut pada para 8 dan 9 di atas menunjukkan peratus 
pelajar atau seramai 352, 641 pelajar tidak faham bahasa Inggeris untuk 
menjawab soalan dalam bahasa ini, dan seramai 273, 346 murid tidak memahami 
matematik yang diajarkan dalam bahasa Inggeris. [Catatan: ini tidak bererti 
bahawa pelajar itu tidak mempunyai "otak" atau minat untuk belajar atau 
memahami sains atau matematik; puncanya ialah, mereka tidak memahami soalan 
yang dibuat dalam bahasa Inggeris, samalah seperti kita cuba mengajar sains dan 
matematik kepada pelajar Inggeris di England dalam bahasa Melayu atau bahasa 
Jepun dan bahasa-bahasa lain yang mereka tidak faham satu patah pun].
HASIL KAJIAN
11. Hasil kajian sebenar dan bebas yang dilakukan oleh pasukan penyelidik 
seramai 50 orang pensyarah dari 7 buah Universiti (UPM, UiTM, UPSI, USM, UUM, 
UMS dan UTM) dengan selain Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) di 70 
buah sekolah menengah (pelajar Tingkatan 4) dan 90 buah Sekolah rendah di 
seluruh negara (murid darjah 5) membuat kesimpulan bahawa PPSMI telah gagal 
memberikan manfaat kepada pelajar, khususnya pelajar-pelajar Melayu di sekolah 
kebangsaan luar bandar.
Di beberapa buah negeri, misalnya Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak, 
peratusan pelajar yang gagal (markah D & E) melebihi 50%. Prestasi SPM 2007 
jelas menunjukkan bahawa bilangan pelajar Melayu yang cemerlang dari Sekolah 
Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains MARA (MPRSM) juga menunjukkan 
kemerosotan yang merudum, terutama dalam mata pelajaran Kimia dan Matematik.
12. Dua kajian lain telah dilakukan, iaitu (a) kajian yang dibuat oleh Profesor 
Emeritus Dato� Isahak Haron dari UPSI Januari 2008), terhadap 1703 murid tahun 
5 di 28 buah Sekolah rendah dan terhadap 1692 guru, dan (b) kajian yang dibuat 
oleh Profesor Datin Dr. Juriah Long (dari UKM) ke atas pelajar Tingkatan 2 di 
242 buah Sekolah Menengah di seluruh negara yang meliputi 7,236 pelajar (2004) 
dan 707 guru matematik dan 701 guru Sains. Hasil dapatan kedua-dua kajian ini 
hampir sama dengan kajian yang dibuat oleh PEMBINA.
APAKAH UKURAN YANG DIGUNAKAN UNTUK MENGABSAHKAN PPSMI?
13. Perkara yang sangat merunsingkan kami ialah, dalam percubaannya untuk 
mempertahankan PPSMI dan membuktikan bahawa dasar PPSMI itu 'sudah berjaya' 
atau 'akan berjaya', para pegawai di Kementerian Pelajaran cuba menurunkan 
markah lulus mata pelajaran sains dan matematik sehinggakan murid yang mendapat 
markah 30% dianggap sudah boleh lulus (yakni mendapat markah B dan C).
Kalau cara yang 'mengelat' ini digunakan untuk mengatakan bahawa jumlah pelajar 
yang lulus dalam sains dan matematik dalam bahasa Inggeris semakin meningkat 
alamatlah mutu pelajaran pelajar kita dalam bidang ini akan menurun, tidak 
tinggi. Sebelum tahun 2003 semasa sains dan matematik diajarkan dalam bahasa 
Melayu mutu pelajaran dalam mata pelajaran ini tidak direndahkan atau dengan 
kata lain, markah lulusnya tidak diturunkan.
GMP TIDAK FANATIK BM DAN TIDAK ANTI BAHASA INGGERIS
14. Kami tidak didorong oleh apa-apa emosi atau fikiran yang tidak rasional 
atau oleh perasaan anti-bahasa Inggeris. GMP juga bukan 'gila bahasa Melayu'. 
Kami cuma mahu mempertahankan dasar yang betul dan baik dan menolak dasar yang 
salah. Dasar yang salah, yang boleh memudaratkan bangsa kita, harus ditolak. 
Dasar yang baik harus disokong.
Pendapat yang mengatakan bahawa bangsa yang tidak menuntut ilmu sains dalam 
bahasa Inggeris, bangsa itu tidak akan maju dalam bidang sains adalah pendapat 
yang sama sekali tidak benar. Kita tidak perlu membuang masa membuat kajian 
yang panjang lebar untuk membuktikan bahawa pandangan itu sama sekali salah.
15. Hal yang sangat menghairankan kami dan orang yang berilmu di mana-mana 
sahaja ialah, 'pendapat' atau 'teori' yang mengatakan bahawa pelajar kita boleh 
menguasai bahasa Inggeris dengan baik melalui pelajaran sains dan matematik 
dalam bahasa Inggeris. Kalau pendapat ini benar, tidak perlulah pelajar kita 
belajar bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran tersendiri. Tidak pernah kita 
mendengar orang belajar bahasa asing melalui pelajaran sains dan matematik 
dalam bahasa itu.
Bahasa Inggeris seharusnya diajarkan melalui pelajaran bahasa Inggeris sebagai 
mata pelajaran yang tersendiri (mengajar nahu, membaca sastera dalam bahasa 
Inggeris, dan sebagainya), tidak melalui pelajaran sains dan matematik. Kajian 
yang disebut para perenggan 7 di atas mengesahkan perkara ini.
16. GMP telah menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan serius untuk membaiki 
pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau bahasa asing (foreign 
language) di sekolah kebangsaan untuk memastikan pelajar kita dapat menguasai 
bahasa ini dengan baik setelah mempelajarinya selama sebelas tahun dari Darjah 
I hingga Tingkatan V.
Selama ini kebanyakan pelajar kita, terutama di Sekolah Kebangsaan di luar 
bandar, tidak fasih berbahasa Inggeris walaupun bahasa ini telah diajarkan 
kepada mereka selama 11 tahun. Masalah inilah yang sepatutnya diselesaikan oleh 
kerajaan, bukan mengubah dasar yang sudah baik dan berjaya, lalu menimbulkan 
masalah yang tidak patut timbul.
17. Terakhir, bangsa Melayu hendaklah sedar bahawa bahasa Melayu adalah salah 
satu bahasa yang terbesar di dunia, diketahui oleh lebih 280 juta manusia di 
seluruh dunia, khususnya di kawasan induknya, iaitu kawasan Melayu-Indonesia.
Akhir kalam, patik sekalian, dengan penuh takzim, dengan harapan yang tinggi, 
memohon kepada Ke Bawah Duli Tuanku, Raja Yang Berdaulat dan Ketua Perlembagaan 
Negara Malaysia, sudi apalah kiranya Duli Tuanku berkenan menerima Warkah 
Memorandum ini.
Atas limpah berkenan Ke Bawah Duli Tuanku menerima perutusan patik sekalian 
menghadap Tuanku untuk mempersembahkan Memorandum ini ke bawah Duli Tuanku, 
patik sekalian menjunjung kasih yang tidak terhingga, dan berdoa ke hadrat 
Allah Subhanahu Wata'ala semoga Duli Tuanku Dilimpahi rahmat dan hidayah 
sebagai Ketua kepada Perlembagaan Negara Malaysia.
Sekianlah patik sekalian persembahkan. Wa billahi taufik wal hidayah, 
wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Patik sekalian yang berdatang sembah


      Dapatkan nama E-mel keutamaan anda! 
Kini anda boleh @ymail.com dan @rocketmail.com. 
http://mail.promotions.yahoo.com/newdomains/my/

Kirim email ke