----- Forwarded Message ----
From: alamkia <alam...@gmail.com>
To: syariah <syar...@yahoogroups.com>
Sent: Friday, 20 August 2010 9:24:09
Subject: [Syariah] Sambutan Hari Hudud Negeri Kelantan

  
Kerajaan langgar hudud Allah, rakyat hidup tanpa batas 
Nik Abdul Aziz Nik Mat    
 بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
سُورَةٌ أَنْزَلْنَاهَا وَفَرَضْنَاهَا وَأَنْزَلْنَا فِيهَا آَيَاتٍ بَيِّنَاتٍ 
لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
-النور : 1
Yang bermaksud : Ini ialah satu "surah" yang Kami turunkan dan Kami wajibkan 
hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata 
supaya kamu beringat (mengamalkannya).
Alhamdulillah, setinggi-tinggi lafaz syukur kita rakamkan ke hadrat Allah 
S.W.T. 
kerana dengan limpah rahmat dan keizinan daripadaNya, dapat kita bersama-sama 
berada di dalam Majlis perasmian sambutan Hari Hududulullah  negeri Kelantan 
darul naim untuk kali ini. Tahniah saya ucapkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal 
Agama Islam Negeri Kelantan di atas penganjuran sambutan ini. Saya difahamkan 
majlis ini telah didahului dengan seminar Hukum Sebat di Dalam Islam yang telah 
bermula semenjak pagi tadi. Sekali lagi tahniah dan syabas kepada pihak 
penganjur. Saya mulakan dengan serangkap pantun :
Papan tualang mari diukir,
buat penyeri si kayu jati,
siang malam hidup berzikir,
hidup bersendi kehendak rabbi..
Undang-undang hudud merupakan salah satu daripada undang-undang yang 
difardhukan 
oleh Allah SWT. Sebagaimana kita wajib bersolat, berpuasa dan mengeluarkan 
zakat, begitu jugalah wajib untuk kita menegakkan tuntutan melaksanakan 
undang-undang yang disediakan oleh Allah SWT. Jika kita boleh menerima bahawa 
di 
sekolah ada undang-undangnya di mana pelajar perlu mematuhi arahan guru dan 
pentadbir. Di pejabat ada undang-undangnya di mana pekerja perlu mematuhi 
arahan 
majikannya. Di dalam negara ada undang-undangnya di mana rakyat diminta taat 
patuh kepada pemimpinnya. Maka adakah manusia hidup di dunia Allah ini, tidak 
dikenakan undang-undang? Sudah tentu lebih daripada itu kerana hidup ini satu 
urusan yang terlalu sulit dan compilcated sehinggakan di luar daripada 
kemampuan 
manusia menguasainya. Siapakah yang berhak menentukan undang-undang hidup di 
dunia selain daripada pencipta dunia sendiri iaitu Allah SWT? Inilah yang 
disebut di dalam firmanNya:
إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ يَقُصُّ الْحَقَّ وَهُوَ خَيْرُ الْفَاصِلِينَ – 
سورة  الأنعام : 57
Yang bermaksud : Hanya Allah jualah yang menetapkan hukum; Dia menerangkan 
kebenaran dan Dialah sebaik-baik yang memberi keputusan.
 وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ صِدْقًا وَعَدْلًا – سورة الأنعام : 115
Kebenaran itu milik Allah, keadilan juga milik Allah SWT.
Saya dimaklumkan dalam seminar yang diadakan pagi tadi bukan sekadar kertas 
kerja ada demonstrasi  hukuman sebat di dalam Islam. Saya yakin tuan-tuan 
sekalian telah mendapat pendedahan dan maklumat yang banyak daripada seminar 
tersebut. Perlulah diingatkan bahawa hukuman sebat merupakan hukuman yang 
diturunkan oleh Allah SWT. Ayat yang saya bacakan di awal ucapaan tadi 
merupakan 
permulaan surah an-Nur. An-Nur memberi makna cahaya. Cahaya matahari, bulan, 
bintang diperlukan untuk fizikal. Cahaya al-Quran dan al-Sunnah diperlukan 
untuk 
rohani manusia:
يَوْمَ تَرَى الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ يَسْعَى نُورُهُمْ بَيْنَ 
أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ بُشْرَاكُمُ الْيَوْمَ – الحديد : 12
Yang bermaksud : (yaitu) pada hari ketika kamu melihat orang mukmin laki-laki 
dan perempuan, sedang cahaya mereka bergerak dengan cepat di hadapan dan di 
sebelah kanan mereka, (Dikatakan kepada meraka): "Pada hari Ini ada berita 
gembira untukmu
 Adapun surah an-Nur itu tadi dimulakan dengan:
سُورَةٌ أَنْزَلْنَاهَا وَفَرَضْنَاهَا وَأَنْزَلْنَا فِيهَا آَيَاتٍ بَيِّنَاتٍ 
لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
Yang bermaksud : "surah" yang Kami turunkan dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, 
serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu 
beringat 
wahai manusia.
 Perhatikanlah bagaimana Allah SWT menggunakan perkataan أَنْزَلْنَاهَا 
bermaksud Kami turunkan diikuti dengan  فَرَضْنَاهَا bermaksud  wajibkan 
hukum-hukumnya dan setusnya أَنْزَلْنَا فِيهَا آَيَاتٍ بَيِّنَاتٍ iaitu Kami 
turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata. Ketiga-tiga ini dinyatakan 
secara berturutan dan beriringan. Walaupun kita semua sudah maklum bahawa 
al-Quran memang diturunkan oleh Allah SWT, dan memang difardhukan 
hukum-hukumnya  oleh Allah SWT dan diturunkan ayat-ayatnya dengan terang dan 
jelas juga oleh Allah SWT. Bagaimanapun apabila ketiga-tiganya dinyatakan 
secara 
berturutan di dalam satu ayat, ia merupakan satu isyarat bahawa betapa 
seriusnya 
perintah yang akan dinyatakan selepasnya. Perintah itu ialah hukuman sebat yang 
merupakan salah satu daripada hukuman hudud. Justeru, diakhirkan ayat tersebut 
dengan perintah لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ yang bermaksud supaya kamu benar-benar 
beringat. Beringat ertinya sentiasa pada setiap masa kita hendaklah mengambil 
ingatan bahawa perintah-perintah yang mengandungi hukuman-hukuman tersebut 
telah 
ditetapkan oleh Allah SWT dan akan disoal olehNya di padang Mahsyar kelak.ثُمَّ 
لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ
 Allah SWT berfirman selepas ayat 1 Surah an-Nur tersebut:
الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِئَةَ جَلْدَةٍ 
وَلَا تَأْخُذْكُمْ بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ 
بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِنَ 
الْمُؤْمِنِينَ – النور أية 2
Yang bermaksud : Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu 
sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat dan janganlah kamu 
dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan 
hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan 
hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh 
sekumpulan dari orang-orang yang beriman.
Hudud bukanlah bererti hukuman sebat dan potong tangan semata-mata. Malangnya 
wajah hudud telah diberikan imej yang cukup buruk oleh media Barat dengan 
sokongan media sekular di dalam negara menjadikan  masyarakat seringkali 
tersalah anggap tentang hudud. Hakikatnya hudud bermakna batasan. Setiap apa 
yang diperintahkan atau dilarang oleh Allah SWT itulah yang dinamakan batasan. 
Melanggar batasan dengan meninggalkan apa yang disuruh atau mengerjakan apa 
yang 
dilarang itulah yang disebut sebagai melanggar hududullah. Al-Quran menyebut 
perkataan hudud bukan sahaja di dalam bab jenayah, tetapi dalam masalah 
peraturan rumahtangga dan nikah cerai. Allah SWT berfirman:
وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَنْ تَأْخُذُوا مِمَّا آَتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا إِلَّا 
أَنْ 
يَخَافَا أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ – سورة البقرة  أبة 229
 Yang bermaksud : Dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa 
yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang telah diceraikan 
itu), 
kecuali jika keduanya (suami isteri ) takut tidak dapat menegakkan hudud Allah 
yakni aturan-aturan hukum Allah.
Di dalam masalah pembahagian harta pusaka, turut disebut perkataan hudud. 
Firman 
Allah SWT:
فَإِنْ كَانُوا أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ فَهُمْ شُرَكَاءُ فِي الثُّلُثِ مِنْ بَعْدِ 
وَصِيَّةٍ يُوصَى بِهَا أَوْ دَيْنٍ غَيْرَ مُضَارٍّ وَصِيَّةً مِنَ اللَّهِ 
وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَلِيمٌ (12) تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ... –سورة النساء أية 12-13
Yang bermaksud: Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari 
seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak 
lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si 
mati dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya 
tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). Ketetapan dari Allah. Dan 
(ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar. Itulah hudud (batas-batas 
Syariat) Allah.
Hari ini negara sedang berada pada keadaan yang sangat memalukan. Kita sering 
kedengaran berlaku rasuah, penyelewengan dan pecah amanah semakin meningkat. 
Peningkatan gejala sosial pula kini sampai ke tahap sangat-sangat 
membimbangkan, 
ditambah lagi dengan purata setiap 16 minit satu kes kecurian di negara kita. 
Kes-kes buang bayi pula semakin membimbangkan di mana ia  meningkat 154%, 
dengan 
54 kes dari Januari hingga kini, berbanding hanya 42 kes pada tempoh yang sama 
tahun lalu. Begitu juga dengan peningkatan kes pembunuhan, rogol, ragut dan 
pelbagai jenayah lain.
Kenapakah undang-undang yang ada tidak mampu membendung masalah inni? Tidak 
lain 
hanyalah kerana undang-undang yang ada tiada kemampuan untuk pencegahan. 
Undang-unadang yang dicadang oleh Allah SWT itulah yang merupakan satu 
pencegahan. Firman Allah SWT:
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا 
نَكَالًا مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ – سورة  المائدة: 38
Yang bermaksud : Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri 
maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa 
yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah 
dan 
(ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Kita di Kelantan dengan dasar Membangun Bersama Islam sudah lama menyedari 
hakikat ini. Di antara maksud Membangun Bersama islam ialah :
1) Mendidik, mentarbiah qalbu manusia supaya bertaqwa kepada Allah SWT sejak 
kecil-kecil  lagi sampai ke peringkat remaja dan terus kepada meningkat dewasa.
Bayi di atas riba diperdengarkan bismillahir Rahmanir Rahim setiap kali susuan 
dilakukan. Yang terbaik lagi ibu perlu berwudhuk sebelum susuan dilakukan. Nama 
Allah, nama al-Rahman, nama al-Rahim, adalah suntikan ajaib untuk mengukir 
berkat dan qudus ke atas qalbu bayi yang baru mengenali alam dunia. Tidak ada 
doktor, tidak ada alat canggih yang boleh mengesan seni Asmaul Husna ke atas 
qalbu bayi.
2) Bila anak memasuki alam persekolahan, guru pula mencambah, membajai 
benih-benih yang telah ditabur oleh golongan ibu di rumah tadi. Dan bila mereka 
melepasi alam persekolahan dan memasuki alam pekerjaan, menjadi rakyat, 
bergerak 
dalam semua bidang hidup, pihak kerajaan pula menyambung, membimbing, dan 
melaksana segala benih yang ditabur di rumah, dan di sekolah, supaya ianya 
berubah dan mendatangkan hasil yang memenuhi kehendak : iman dan taqwa kepada 
Allah SWT. Firman Allah SWT:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آَمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ 
بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا 
كَانُوا يَكْسِبُونَ  – سورة الأعراف، أية 96
Yang bermaksud : Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, 
Pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka segala macam berkat dari langit 
dan 
bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat kami) itu, Maka kami siksa mereka 
disebabkan perbuatannya.
Adalah mendukacitakan sangat-sangat kerana kita yang pandai-pandai menolak 
pencegahan daripada Allah SWT. Bagaimana rakyat mahu menjaga batas sekiranya 
kerajaan yang berkuasa sendiri tidak mempedulikan batas hududullah sendiri? 
Bila 
kerajaan melanggar hudud Allah, dengan sendirinya rakyat hidup tanpa batas. Di 
sana sini berlaku pelanggaran terhadap hudud Allah SWT dengan 
sewenang-wenangnya.
Tersebarnya gambar-gambar dan video yang merosakkan melalui media massa maupun 
internet dan disaksikan oleh anak-anak muda kita setiap hari semakin 
mendekatkan 
mereka kepada gejala keruntuhan moral dan akhlak.  Lantas dengan kudrat yang 
ada, kekangan undang-undang dan kewangan, kita di Kelantan telah melakukan 
setakat yang termampu untuk meletakkan Islam sebagai syariah yang memerintah 
bukannya diperintah. Lahirlah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan pada 
tahun 1993 hasil sumbangan idea dan garapan beberapa tokoh undang-undang yang 
terkenal seperti Allahyarham Prof. Ahmad Ibrahim, Almarhum Prof Mahmud Saidun 
Awang Osman dan beberapa nama-nama yang lain. Namun, sekeping surat bertarikh 8 
Jun 1994 daripada Perdana Menteri Malaysia pada masa itu kepada Menteri Besar 
Kelantan telah menghalang hasrat murni kerajaan negeri Kelantan ini.
Kita tidak pernah berputus asa. Apa yang mampu untuk kita laksanakan di bawah 
bidang kuasa kerajaan negeri akan dilaksanakan. Kita membataskan penjualan 
arak, 
mengharamkan riba, melarang acara tari-menari di majlis-majlis keramaian, 
menguatkuasakan larangan menghidangkan minuman alkohol di hotel-hotel dan 
banyak 
lagi perubahan yang telah kita perkenalkan yang kesemuanya bersumberkan dari 
ajaran al-Quran.
Untuk memastikan kewajipan menutup aurat terlaksana, kita mewajibkan mana-mana 
papan iklan hanya menayangkan gambar yang menutup aurat, kita juga mewajibkan 
para peniaga beragama Islam di premis-premis perniagaan berpakaian menutup 
aurat 
selain turut mewajibkan kakitangan kerajaan yang beragama Islam menutup aurat 
dengan sempurna. Manakala bagi yang tidak beragama Islam, kita pohon supaya 
dapat berpakaian dengan baik dan sopan. Semua ini bagi memastikan suasana 
sekitar tidak tercemar dengan amalan pendedahan aurat yang menyebabkan 
berlakunya seks bebas dan zina. Apa yang mampu kita lakukan mengikut bidang 
kuasa kerajaan negeri sudah kita laksanakan. Selebihnya terletak pada bahu 
kerajaan pusat kerana kita menghormati konsep federalisme. Tepuk dada tanya 
iman.
Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak JAHEIK 
di atas kejayaan menganjurkan sambutan hari hududullah pada tahun ini. Semoga 
dengan penganjuran ini, kita sentiasa mengingatkan rakyat Kelantan khususnya 
bahawa kewajipan melaksanakan dan menjaga undang-undang Allah SWT sentiasa 
terpikul setiap masa. Semoga setiap amalan kita mendapat ganjaran di sisi Allah 
SWT.
Artikel di atas adalah teks ucapan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat 
sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Hudud Negeri Kelantan pada 9 Ramadhan 
1431H bersamaan 19 Ogos 2010 di Dewan Besar Balai Islam Lundang, Kota Bharu  

 

Kirim email ke