Wajah Kota Bharu dan Kelantan akan segera bertukar  
 
Keluar dari dewan konvensyen Kelantan Trade Center (KTC) tengahari Khamis 2 
Ramadhan 1431 (bersamaan 12 Ogos 2010), saya seperti melihat wajah Kota Bharu 
dan Kelantan yang berbeza sekali. Wajah yang sama sekali baru. Sebuah Financial 
Hub (Hub Kewangan) baru yang bertaraf dunia, berasaskan Dinar dan Dirham 
Kelantan, sedang bermula di sini. 

Hah, apakah saya berimaginasi keterlaluan? Saya tak pasti, tapi itulah yang 
bermain di kepala saya, selepas mendengar ucapan-ucapan dari pelbagai pihak, 
termasuk beberapa orang dari luar negara, dalam majlis pelancaran Dinar dan 
Dirham Kelantan itu. 



Memang Kota Bharu (dan juga Gua Musang) sekarang pun sedang bertukar wajah 
fizikalnya disebabkan oleh projek-projek pembinaan yang sedang berjalan di sana 
sini. Rasanya dalam tempoh 20 tahun PAS mentadbir Kelantan sejak 1990 belum 
pernah negeri ini mengalami pembangunan fizikal sepesat hari ini. 

Namun saya membayangkan perubahan yang lain. Saya membayangkan perubahan yang 
di 
luar dugaan dan jangkaan sesiapa pun. Ramai orang akan terkejut dengan 
peristiwa 
yang tak dijangka ini. Dinar emas dan Dirham perak yang dikeluarkan oleh 
Kelantan, yang baru tadi dilancarkan oleh Menteri Besar Tok Guru Nik Abdul Aziz 
bin Nik Mat, dengan disaksikan oleh wakil-wakil dari beberapa negara luar 
eperti 
Sepanyol, Jerman, Switzerland, Dubai, Indonesia (Acheh) dan Filipina (Sulu), 
akan segera menarik perhatian dan kepercayaan ummah dari seluruh dunia, dan 
akan 
segera mengubah wajah Kota Bharu dan Kelantan. 

Kota Bharu dan Kelantan selepas 2 Ramadhan 1431 tidak akan sama lagi dengan 
yang 
sebelumnya. Sama sekali berbeza. Dan saya fikir proses perubahan ini tidak akan 
mengambil waktu yang lama. Inilah dia, Kelantan akan benar-benar mengubah 
Malaysia! 

Sewaktu melangkah masuk ke dewan konvensyen KTC paginya, untuk menyaksikan 
perasmian pelancaran Dinar dan Dirham tersebut, saya sama sekali tidak 
menjangka 
bahawa apa yang akan disaksikan di situ adalah sedemikian hebatnya. 

Saya fikir orang lain juga sama seperti saya, tidak menjangkanya, kecuali 
beberapa orang yang terlibat dalam usaha itu sendiri, yang diketuai oleh 
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri 
Kelantan, Datuk Hj Husam Musa; dan dua orang kuat syarikat Kelantan Golden 
Trade 
Sdn Bhd (KGT) – Prof. Umar Ibrahim Vadillo (CEO) dan Nik Mahani (Pengarah 
Eksekutif). 

KGT ialah anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), yang 
bertanggungjawab merancang dan melaksanakan projek Dinar dan Dirham Kelantan 
ini. Prof Umar (berasal Sepanyol) dan Nik Mahani (berpengalaman luas dalam 
perbankan) adalah tokoh yang telah lama bekerja keras bagi melihat Dinar dan 
Dirham kembali digunakan oleh umat Islam di dunia. (Nik Mahani juga telah 
menghasilkan beberapa buah buku yang berkaitan). 

Maka sewaktu Umar berucap memberi penerangan mengenai apa yang berlaku di 
sebalik pelancaran Dinar dan Dirham (D&D) tersebut, saya mulai menyedari bahawa 
suatu gerakan pembaharuan dalam sistem kewangan sedang terjadi. Bahawa 
pelancaran D&D Kelantan ini bukanlah suatu kejadian terpencil yang sekadar 
lanjutan daripada pelancaran Dinar Kelantan 2006 dahulu, tetapi ia adalah 
manifestasi suatu gerakan ummah yang secara kebetulan terzahir di Kelantan, 
hasil daripada suatu kepimpinan politik Islam yang berani yang dibawa oleh TG 
Nik Abdul Aziz. 

Maka apabila wakil daripada Indonesia tiba-tiba menjadi sebak dan tak dapat 
melafazkan ucapannya buat seketika di atas pentas, saya terasa bahawa kesedaran 
itu tiba-tiba membuak-buak di dewan konvensyen itu. Dengan suara yang 
tersekat-sekat dia menyatakan bahawa kebekuan ummah yang berlaku sejak 
kejatuhan 
khalifah Uthmaniyah di Turki seratus tahun lalu, kini sedang mencair semula. 

Beliau terharu kerana menyaksikan kebangkitan ummah melalui penggunaan semula 
matawang Dinar dan Dirham yang turut diusahakannya di negaranya itu, 
rupa-rupanya kini telah menjadi kenyataan di Kelantan. 

Dan secara diam-diam pula rupa-rupanya KGT telah berjaya mendapatkan 
persetujuan 
lebih daripada seribu kedai di Kelantan, yang bersedia untuk menerima dinar dan 
dirham Kelantan, dalam urusan jual-beli mereka. (Buku senarai kedai-kedai 
tersebut turut dibekalkan kepada hadirin di majlis itu). Malah Bank Islam dan 
Tabung Haji juga telah bersetuju untuk menrima D&D itu. 

Dalam majlis perasmian itu juga diumumkan sebuah syarikat di Kelantan telah 
bersetuju membeli Dinar bernilai RM sejuta, iaitu Kompleks Perkayuan Kelantan 
Berhad. Manakala dari Kuala Lumpur seorang peniaga, Hishamuddin Tan Sri 
Ubaidillah, tampil membayar zakat bernilai 15 ribu dinar, yang diterima oleh TG 
Nik Aziz. 

Dari Kuala Lumpur juga sebuah kedai menunjukkan komitmennya menerima D&D 
Kelantan dalam urusan jual-belinya, dengan melakukannya di pentas majlis itu, 
iaitu Saba Islamic Media. Dan di pentas itu juga TG Nik Aziz selaku Pengerusi 
PMBK menyampaikan bayaran gaji kepada CEO, Ir Hj Mustafa Salleh, dalam bentuk 
Dinar Kelantan. 

Demikianlah makanya sewaktu melangkah keluar dari bangunan KTC tengahari Khamis 
2 Ramadhan itu, saya bukan sahaja membayangkan wajah baru yang akan menjelma 
bagi Kota Bharu dan Kelantan tidak lama lagi, tetapi juga merasakan perubahan 
sedang berlaku dalam fikiran saya sendiri, mengenai beberapa perkara yang saya 
anggap penting dan utama dalam menilai kecemerlangan pentadbiran Islam di 
Kelantan. 

Memang ini suatu peristiwa besar yang sedang berlaku di Malaysia, yang 
kemungkinan akan sekali lagi menjadi tsunami yang membawa kesan cukup besar, 
yang nampaknya sukar untuk dikendalikan oleh para pemimpin Barisan Nasional 
yang 
diterajui Datuk Najib. Sesuatu yang sepatutnya berlaku di peringkat nasional, 
tetapi ia berlaku di peringkat negeri yang dikuasai oleh pembangkang, namun 
mempunyai impak yang bertaraf antarabangsa. 

Sesiapa yang hadir dalam majlis pelancaran itu pasti akan merasai bahawa ia 
adalah sebuah peristiwa peringkat antarabangsa, yang berlaku di Kota Bharu, 
Kelantan. Matawang Dinar dan Dirham Kelantan yang dilancarkan itu pun bukannya 
dicetak di sini, tetapi di Dubai, oleh World Islamic Mint, mengikut standard 
yang diperakui oleh World Islamic Trade Organisation (WITO). 

Maka dengan membayangkan Kota Bharu suatu hari nanti akan menjelma sebagai 
World 
Islamic Financial Hub berasaskan matawang Dinar dan Dirham itu, apakah saya 
berimaginasi keterlaluan? Saya fikir tidak, dan saya menjadi begitu yakin 
apabila mendengar Husam Musa sendiri menjawab soalan saya itu, dengan 
menceritakan perancangan masa depan Dinar dan Dirham Kelantan, sewaktu para 
tetamu telah ramai meninggalkan bangunan KTC, tengahari awal Ramadhan yang 
sangat bersejarah itu. 

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman...@yahoo.com.my atau sms 
0136362408)  

 
Mohd Noor Nawawi Muhammad 
RHB Islamic Bank 
013-623 7653 


 

Kirim email ke