Teks sekolah tak senarai karya SN

KUALA LUMPUR: Tiada karya Sasterawan Negara tersenarai sebagai antara buku
yang dicadangkan untuk teks baru Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran
Bahasa Melayu (Komsas) bagi sekolah menengah yang disemak semula dan
dijangka digunakan pada 2010.

Turut tidak tersenarai ialah puisi, cerpen, novel dan drama penerima
Anugerah Penulisan Sea dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia
(HSPM), hadiah sastera peringkat negeri dan swasta baik bertema Islam
mahupun kemerdekaan, meskipun diberi perhatian panel pemilih.

Sumber memberitahu Berita Harian, tindakan tidak menyenaraikan karya SN
dan penerima serta pemenang anugerah untuk buku teks yang baru kerana
Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Kementerian Pelajaran, mendapati
sebahagian teks sedia ada berat dan tidak sesuai untuk pelajar.

“PKK yang menyelenggara Jawatankuasa Pemilih Buku Teks Komsas mengatakan
karya SN berat dan sarat dengan pemikiran sehingga sukar difahami pelajar.
Justeru mereka mencari penulis popular dan teks yang mendapat sambutan
pelajar dalam usaha menarik minat mereka dalam Komsas,” katanya.

Sumber itu berkata, tidak wajar SN yang mendapat pengiktirafan negara,
karyanya dinafikan daripada turut disenaraikan dalam cadangan teks baru
untuk Komsas kerana masih ada jalan menghormati mereka iaitu dengan
memilih karya mudah agar memenuhi selera remaja.

Berita Harian difahamkan antara penulis yang karya mereka termasuk dalam
senarai cadangan ialah Ahadiat Akashah, Sharifah Abu Salem dan Mohamad
Yazid Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai Zaid Akhtar.

“Hanya novel Zaid Akhtar pernah memenangi hadiah sastera. Pendekatan baru
PKK ini akan merugikan pelajar kerana pemikiran dan penggunaan bahasa
penulis karya popular boleh dipersoalkan, di samping tidak menepati
matlamat asal Komsas,” kata sumber itu lagi.

Sumber itu turut memberitahu, PPK tidak lagi melantik sarjana sastera dan
pengarang sebagai ahli Jawatankuasa Pemilih Buku Teks Komsas, sebaliknya
melantik Guru Pakar Bahasa Melayu dan Guru Pakar Sastera untuk
mengeluarkan senarai pendek teks untuk penilaian akhir.



-- 
Ediramle Ismail



Kirim email ke