---------------------------- Original Message ----------------------------
Subject: [KEMSAS] Saya tidak mahu lagi bergelar Sasterawan Negara - A.
Samad Said
From: "Hasyuda Abadi" <[EMAIL PROTECTED]>
Date: Thu, January 24, 2008 4:44 pm
To: [EMAIL PROTECTED]
--------------------------------------------------------------------------
Saya tidak mahu lagi bergelar Sasterawan Negara - A. Samad Said
A. Samad Said.
---------------------------------
SAYA kini mantan Sasterawan Negara dan tidak mahu lagi menggunakan
gelaran tersebut. Saya juga tidak akan menerima sebarang jemputan
ceramah atau program berkaitan Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran
Bahasa Melayu (Komsas).
Mungkin saya lebih selesa bergerak atas nama individu dalam
kegiatan-kegiatan sastera dan jika ada jemputan, lebih baik atas nama
peribadi, kata Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.
Beliau menegaskan, tindakan tersebut merupakan aksi demi masa depan
generasi sastera dan dunia kreatif di negara ini yang kelihatan semakin
terpinggir.
Ia berkaitan dengan desas-desus terbaru bahawa karya-karya Sasterawan
Negara dan penerima Anugerah Penulisan SEA (SEA Write Award) tidak akan
tersenarai sebagai buku yang dicadangkan untuk teks baru Komsas bagi
sekolah menengah yang disemak semula dan dijangka digunakan pada 2010.
Selain itu, semakan tersebut juga tidak menyenaraikan puisi, cerpen,
novel dan drama dari pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM),
hadiah sastera peringkat negeri dan swasta.
Kementerian Pelajaran telah mengumumkan baru-baru ini untuk menukar teks
sastera sekolah dengan novel-novel remaja popular seperti karya Ahadiat
Akashah.
Antara alasan yang dikemukakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK),
Kementerian Pelajaran ialah sebahagian teks sedia ada terlalu berat dan
tidak sesuai untuk pelajar di peringkat sekolah menengah.
Sebaliknya, karya-karya popular yang banyak beredar di pasaran tempatan
hari ini dapat mengurangkan tekanan dan kebosanan yang dihadapi oleh
pelajar.
Hingga kini antara pengarang karya popular yang disenaraikan ialah
Ahadiat Akashah, Zaid Akhtar (Mohamad Yazid Abdul Majid) dan Sharifah
Abu Salem.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kata, perkara ini (tidak menyenaraikan
karya Sasterawan Negara) belum diputuskan dan belum muktamad lagi tapi
ia telah tersebar.
Sebagai tindak balas (tidak menyenaraikan karya Sasterawan Negara),
saya ada aksi dan tindakan sendiri. Saya tidak akan benarkan ia berlaku
begitu sahaja, demi masa depan sastera tanah air, tambah beliau.
Ketika meluahkan perkara tersebut di majlis baca puisi dan naskhah Kata
Suara di Galeri RA, Kuala Lumpur baru-baru ini, A. Samad turut
menegaskan para pengarang mesti berani mempertahankan hak mereka.
Dalam erti kata lain, seseorang pengarang tidak hanya tahu menulis
tetapi juga berani bersuara tentang masa depan bangsa serta negaranya
sama ada melalui karya kreatif atau sebaliknya.
Beliau sebagai pengarang yang lebih empat dekad bergelumang dengan dunia
kreatif berpendapat, pemilihan karya-karya picisan sebagai sesuatu yang
cukup berbahaya kepada pembentukan generasi baru.
Di satu sisi, penggunaan bahasa Melayu yang bersifat rojak (di
selang-seli dengan bahasa Inggeris) dan beberapa istilah bahasa pasar
dikhuatiri bakal meminggirkan bahasa itu.
Di sisi lain, mesej-mesej `remaja yang dimuatkan dalam karya-karya
tersebut mungkin akan memberi impak negatif kepada para pelajar sekolah.
Kita tidak tahu, sejauh mana merajuknya A. Samad tentang peminggiran
karya Sasterawan Negara, penerima SEA Write Award dan pemenang HSPM
tersebut. Namun, nada suara kecewa dan sedih yang dilontarkan pada
majlis tersebut cukup untuk menjawabnya.
Sementara itu, program sulung Kata Suara tersebut menghadirkan penyair,
penyanyi lagu puisi dan penulis blog daripada pelbagai kaum serta latar
belakang kerjaya.
Seperti yang diungkapkan oleh Pengarah Galeri RA, program bulanan
tersebut bertujuan memberi peluang untuk semua penulis menonjolkan
kebolehan masing-masing.
Pada majlis tersebut, penulis Fazli Ibrahim membaca eseinya yang
mengisahkan pengembaraan ke Kaherah, Mesir yang turut menemukan
jejak-jejak kepengarangan pengarang besar negara itu, Naquib Mahfouz.
Patricia Low pula membaca puisi dan naskhah monolog Durian yang
mengutarakan kritikan sosial terhadap pihak tertentu yang terlalu
memikirkan nama dan status.
Dalam pada itu, Rahmat Harun pula menyanyikan lagu puisi Hari-hari
Adalah Assyura, Mana-mana Adalah Karbala dan Blues Naik Minyak manakala
Haris Zulkapli pula membaca esei The World According to Rock Star dan
sebuah lagi esei tentang kritik sosial.
Pada majlis tersebut, Ted Mahsun membaca sebuah cerpen berbahasa
Inggeris yang mengangkat tema kedai kopi dan Sungai Rokam, Perak.
A. Samad Said menutup majlis tersebut dengan membaca puisinya Suara
Dari Dinding Madrasah yang mengangkat tema tentang isu sekolah-sekolah
agama di negara ini.
Sumber: Utusan Malaysia Online
Kreatif Hasyuda Abadi
---------------------------------
Never miss a thing. Make Yahoo your homepage.
[Non-text portions of this message have been removed]
Laman Web Ikatan Penulis Sabah:
http://webips.tripod.com
Terima kasih.
Yahoo! Groups Links