AKU MASIH TERMANGGU
Ediramle,
Pada kesekian kalinya
kita masih cuba mengimbau
pada lampaunya ingatan
bait-bait puisi yang tercicir
tak berdaya untuk kupungut....
Di maya keasingan ini
terasa gamitan tangan-tangan itu
suara yang menerobos semangat
tapi...
aku masih termanggu
tanpa harapan yang nyata
bolehkah aku berpuisi lagi?
Zakaria BS, Selangor Jun 2000.
********************************************8
KEINDAHAN YANG MENDAMAIKAN
Sekiranya diriku bertapa di sini
mahukah sang unggas menemani mimpi tidurku
atau suara margastua menjaring malam
dalam kelambu sutera kasih
mungkinkah peta hati walang
terjun bermain salju air dingin di kali itu lagi.
Pada maya yang telah membelah alam
gemakan gemersik rindumu pada Illahi
atau hati itu mengalir di celahan sungai diri
membelah halangan batu-batu
dan apa sahaja
kerana dalam kolam yang jernih itu
bukan lagi alunan tangkai mimpi
yang nyata ianya tempat permainan
anak-anak ikan dan dewa kepada pari-pari.
Sekiranya aku jatuh di sini
kalian pimpinkan tanganku
daripada kelalaian pesona keindahan itu
kerana kedamaian rohani dan qalbun itu
adalah satu-satunya dalam firasatku.
Eziz Shukman,
Penjara Kajang,
Selangor.
***********************************8
AMAN
Bila dendam telah diratakan,
bila marah telah dipadamkan,
bila dengki telah ditimbus
hiduplah kita aman bahagia
di taman indah impian
yang kita bina bersama.
Ediramle Ismail,
Kok Pasir, Tumpat, Kelantan