BERITA HARIAN
Bakti tokoh pewaris bangsa diiktiraf negara
Oleh Rohaniza Idris
[EMAIL PROTECTED]
Pak Ali menunjuk ajar anak muridnya Mohd Rezlan Abdul Wahid.
Kepakaran dan kemahiran dalam seni budaya tempatan tiada tandingan
SABAN tahun kerajaan melalui Kementerian Kebudayaan Kesenian
dan Warisan (KeKKWa) memberi pengiktirafan buat anak seni yang berjaya
dan berjasa.
Namun, ramai yang tidak tahu, selain seniman, kerajaan turut
mengiktiraf tokoh yang terbabit dalam seni budaya sebagai salah satu
cara menghargai jasa dan kepakaran mereka memartabatkan kesenian dan
kebudayaan negara.
Pada 25 Julai lalu, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan
Warisan, Datuk Mohd Shafie Apdal mengumumkan lima tokoh seni budaya
tokoh sebagai Warisan Orang Hidup.
Mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005, ada empat kategori
dalam Daftar Warisan Kebangsaan iaitu Tapak Warisan, Objek Warisan,
Warisan Orang Hidup dan Warisan Bawah Air.
Mengikut akta itu, “Pesuruhjaya hendaklah mewujudkan dan
menyenggarakan suatu daftar yang dikenali sebagai Daftar Warisan
Kebangsaan seperti ditetapkan mengandungi senarai butiran warisan yang
didaftarkan.”
Setiap warisan yang tersenarai di dalam Daftar Warisan Kebangsaan
disebut sebagai "butiran warisan". Butiran warisan yang tersenarai
mempunyai dua status berbeza, iaitu Warisan atau Warisan Kebangsaan.
Lima tokoh yang diberikan pengiktirafan sebagai Warisan
Orang Hidup 2008 adalah penglipur lara, Ali Badron Sabor, atau Pak Ali
Badron; penggiat boria terkenal, Abu Bakar Jaafar atau Pak Kan dari
Pulau Pinang; bobohizan' atau pawang wanita masyarakat Kadazan Dusun
terkenal di Sabah, Losimin Majanil; bapa gendang Malaysia, Tan Hoo
Song, dan penari serta pereka tari tarian klasik India, Bharathanatyam,
Vatsala Sivadas.
Namun, Tan yang dikenali sebagai ‘Bapa Gendang Tradisi’
meninggal dunia pada 26 Julai lalu sehari selepas namanya diumumkan
sebagai Warisan Orang Hidup.
Sebelum ini, seorang tokoh turut menerima pengiktirafan yang
sama tahun lalu, iaitu tokoh bangsawan, boria, ronggeng dan kebudayaan
Baba dan Nyonya, Mohd Bahroodin Ahmad. Namun, beliau yang lebih
dikenali sebagai Cikgu Baha meninggal dunia 28 Jun lalu.
Cikgu Baha berpeluang merasai keistimewaan kepada Warisan Orang Hidup
dengan mendapat rawatan di wad kelas pertama, Hospital Pulau Pinang
sepanjang beliau dirawat di sana.
Semua tokoh Warisan Orang Hidup diberikan sijil
pengiktirafan, bayaran honorarium selain keistimewaan lain seperti
layanan kelas pertama di hospital kerajaan.
Apakah yang menyebabkan kelima-lima tokoh itu mendapat
pengiktirafan berkenaan? Jabatan Warisan menyatakan pengiktirafan itu
berdasarkan pencapaian dan sumbangan mereka kepada seni dan budaya
masyarakat tempatan.
Pak Ali Badron, 66, berpengalaman dalam bidang sastera lisan
sejak 1960-an adalah penglipur lara terkenal yang menjadi rujukan
penuntut dan ahli akademik dalam sastera lisan.
Beliau adalah seorang pesara guru dan aktif sebagai
penceramah dalam bengkel khusus mengenai sastera lisan di pusat
pengajian tinggi, maktab perguruan serta majlis anjuran Majlis
Kebudayaan Negeri.
Selain menjadi ahli Jawatankuasa Kebudayaan Negeri Johor, Pak
Ali Badron juga menjadi Pengerusi kumpulan Teater Sri Penggaram. Beliau
terkenal di selatan tanah air terutama Johor dengan sastera lisan
klasik ‘Surat Kapal’.
Keunikan Pak Ali kerana beliau bercerita sambil memukul
gendang mewarisi kebolehan gurunya Pak Arab. Masih aktif sebagai
penglipur lara, beliau kini mewariskan bakatnya kepada anak muridnya
yang menjadi juara kebangsaan penglipur lara yang diadakan di Perlis
baru-baru ini.
Mengulas pengiktirafan itu, Pak Ali mengucapkan terima kasih
kepada kerajaan yang memberikan anugerah berkenaan kepadanya yang
disifatkannya hadiah bermakna kerjaya seninya yang tidak pernah
difikirkannya.
“Saya melakukan ini (penglipur lara) bukannya kerana mahu
mendapatkan pengiktirafan tetapi minat mendalam dalam seni dan budaya,”
katanya.
Sementara itu, Losimin, 83 pula diberikan pengiktirafan
berkenaan kerana beliau adalah satu-satunya bobohizan wanita tertua dan
mampu merawat penyakit misteri mengikut kepercayaan kaumnya.
Dikenali kerana mempunyai ilmu yang cukup hebat, mewarisi
tradisi ritual pribumi Kadazan Dusun sejak berusia 16 tahun. Losimin
masih aktif dan menjadi bobohizan mengetuai ritual Kaamatan peringkat
negeri dan kebangsaan.
Malah, beliau amat memahami rejang, resa, simbol dan firasat
tradisional kaumnya serta mahir dalam bidang nyanyian dan ritual yang
sudah tiada lagi pada orang lain selain, mampu menggerakkan segala
ragam dalam tarian Sumazau, simbol jati masyarakatnya.
Seorang lagi tokoh, Abu Bakar Jaafar, 84 tahun yang kini uzur
dan menerima rawatan di hospital. Dikenali sebagai Pak Kan, dipilih
kerana satu-satunya tukang karang boria yang masih hidup.
Bergiat dalam boria sejak berusia 12 tahun, Pak Kan mewarisi
bakat bapa dan abangnya yang turut menjadi tukang karang boria
terkenal.
Pernah menyertai dan memenangi pertandingan Dendang Rakyat
peringkat Pulau Pinang dan Kebangsaan sebanyak lapan kali. Malah, Pak
Kan turut menerima Anugerah Seni Pulau Pinang dan Tokoh Budaya Pulau
Pinang pada 2003.
Tan dipilih kerana beliau diberi pengiktirafan masyarakat
Cina Malaysia sebagai ‘Bapa Gendang Tradisi’. Beliau menerima
pengiktirafan itu kerana berjaya mencipta kesenian gendang yang
mempunyai ciri-ciri istimewa Malaysia, dinamakan ‘24 Gendang Perayaan’.
Beliau juga menjadi orang pertama melagukan Puisi Mahua
(Sastera Cina Malaysia) yang pertama kali diperkenalkan kepada
masyarakat Cina Malaysia pada 70-an.
Pernah menerima Tokoh Puisi Lagu Mahua dan Tokoh Penggalakkan Muzik Tradisi
oleh beberapa pertubuhan Cina.
Sementara itu, Vatsala Sivadas dipilih menerima pengiktirafan
itu kerana sumbangan besarnya dalam seni tarian klasik India dikenali
sebagai Bharatanatyam.
Vatsala mempunyai akademi tarian sendiri yang menerapkan
nilai Malaysia dikenali sebagai Temple Fine Arts. Malah, Shakuntala,
karya lagenda klasik Kalidasa digarap dengan variasi tempatan apabila
lagu Melayu melatari persembahannya untuk Perdana Menteri India, Indra
Ghani.
Apa yang pasti kepakaran dan kemahiran yang dimiliki
kelima-lima tokoh berkenaan memang tiada tandingannya dan selayaknya
mereka menerima pengiktirafan berkenaan.
INFO
18 Tapak Warisan
Bangunan Dewan Bandaraya dan Panggung Bandaraya
Bangunan Ibu Pejabat Keretapi ( Ibu Pejabat KTMB)
Bangunan Jabatan Kerja Raya (PWD)
Bangunan Parlimen
Bangunan Pejabat Pos Besar (GPO)
Bangunan Residensi (Kediaman Rasmi Perdana Menteri Malaysia Pertama)
Bangunan Stesen Keretapi Kuala Lumpur
Bangunan Sultan Abdul Samad
Batu Caves dan Kuil Sri Subramaniar Swamy Devasthanam
Carcosa dan King's House (Seri Negara)
Dewan Perhimpunan Cina Selangor
Gereja St. George
Istana Negara
Masjid Negara dan Makam Pahlawan
Taman Negara Kinabalu
Taman Negara Mulu
Tapak Tiang Bendera Negara Dinaikkan Buat Pertama Kali
Tugu Negara
32 Objek Warisan
Bangsawan
Bunga Raya (Hibiscus Rosa-sinensis)
Cogan Agama
Cogan Alam
Cokmar
Cokmar Dewan Negara
Cokmar Dewan Rakyat
Dondang Sayang
Gandik Diraja
Hukum Kanun Melaka
Jalur Gemilang
Jata Negara
Joget Melayu
Kalung Diraja
Keris Panjang Diraja
Keris Pendek Diraja
Mak Yong
Manuskrip Hikayat Hang Tuah
Manuskrip Sejarah Melayu
Negaraku
Ngajat
Panji-Panji Diraja
Pending Diraja
Perak Man
Rumah Terbuka Malaysia
Seni Persilatan Melayu
Sewang
Sumazau
Tarian Singa Atas Tiang
Tengkolok Diraja
Watikah Pengisytiharan Kemerdekaan
Wayang Kulit
Cetak artikel |
Hant
___________________________________________________________________________
Yahoo! Toolbar kini dilengkapi dengan Search Assist. Download sekarang juga.
http://id.toolbar.yahoo.com/