Annan kecam sikap Bush -- ‘AS tidak boleh korban prinsip demokrasi serang 
negara lain’  INDEPENDENCE, Amerika Syarikat (AS) 12 Dis. – Setiausaha Agung 
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan dalam ucapan perpisahannya 
membidas kepimpinan dan dasar pentadbiran Presiden AS, George W. Bush di arena 
antarabangsa.
  Annan turut memberi amaran AS tidak boleh mengorbankan prinsip-prinsip 
demokrasinya semasa melancarkan perang.
  Di bandar kelahiran bekas Presiden AS, Harry Truman yang membantu menubuhkan 
PBB, Annan berkata, “hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang amat 
penting bagi keselamatan dan kemakmuran sejagat.”
  “Apabila AS kelihatan membelakangkan prinsip dan objektifnya sendiri, 
rakan-rakannya di luar negara sudah tentunya bimbang dan keliru,” kata Annan 
kepada hadirin yang memenuhi Muzium dan Perpustakaan Presiden Truman semalam.
  Annan juga berkata, Majlis Keselamatan PBB perlu diperluaskan bagi 
mencerminkan realiti dunia sekarang dengan lebih baik.
  Beliau yang semakin lantang mengkritik Perang Iraq meninggalkan PBB pada 31 
Disember ini selepas 10 tahun sebagai Setiausaha Agung.
  Semasa menjawab soalan selepas ucapannya, Annan berkata, beliau meminta 
kerjasama dan kepimpinan dan bukan mengkritik AS.
  “Yang hendak saya nyatakan ialah apabila AS bekerjasama dengan negara lain 
mengikut sistem multilateral, kita mencapai keputusan yang sangat baik,” jelas 
Annan.
  Setiausaha Negara AS, Condoleezza Rice menyuarakan rasa kesal dengan ucapan 
Annan yang mengkritik dasar luar AS itu sambil menyifatkannya sebagai “peluang 
yang terlepas.”
  Rice berkata, Annan gagal membangkitkan peranan positif Washington di PBB 
sejak dua tahun lalu. 
  – Agensi
  
 
  Rancang kebumi Saddam di lokasi rahsia  BAGHDAD 12 Dis. – Bekas Presiden 
Iraq, Saddam Hussein dan dua pegawai kanannya akan menjalani hukuman mati 
sejurus selepas mahkamah rayuan mengesahkan hukuman mati ke atas mereka.
  Kemungkinan mereka juga akan dikebumikan secara rahsia, kata seorang pegawai 
kanan Iraq hari ini.
  Pegawai itu menyatakan, panel kehakiman yang menimbangkan rayuan Saddam 
dijangka mengesahkan hukuman mati ke atas bekas Presiden itu, adik lelakinya 
Barzan Al-Tikriti dan seorang bekas hakim, Awad Ahmed Al-Bandar.
  “Kami menimbangkan kemungkinan menjalankan hukuman mati ke atas mereka 
bertiga sekali gus pada hari yang sama,” kata pegawai yang enggan namanya 
disiarkan kerana mahkamah sepatutnya bebas.
  – AFP
   
  Manusia tertua meninggal dunia  MEMPHIS, Tennessee 12 Dis. – Wanita yang 
diiktiraf sebagai individu tertua di dunia, Elizabeth ‘Lizzie’ Bolden, 
meninggal dunia di Pusat Pemulihan dan Kesihatan Mid-South semalam ketika 
berusia 116 tahun.
  Bolden lahir pada 15 Ogos 1890.
  Pada Ogos lalu, Guinness World of Records telah mengiktiraf Bolden sebagai 
individu tertua di dunia selepas kematian Maria Esther de Capovilla dari 
Ecuador yang berusia 116 tahun.
  Berikutan kematian Bolden, Emiliano Mercado del Toro, 115, dari Puerto Rico 
dijangka diiktiraf sebagai individu tertua di dunia, kata Penyelidik Guinness 
World of Records, Robert Young.
  Toro lahir pada 21 Ogos 1891.
  – AP

 
---------------------------------
Need a quick answer? Get one in minutes from people who know. Ask your question 
on Yahoo! Answers.

Kirim email ke