Ratusan pelarian hadapi kebuluran Apr 11, 08 5:24pm
kemaskini 11:05pm Beratus-ratus pelarian menghadapi masalah makanan dan
mungkin mengalami kebuluran selepas lari semakin jauh ke dalam hutan susulan
siri serbuah pihak Rela akhir-akhir ini, dakwa Tenaganita.
"Wanita dan kanak-kanak pelarian kini meninggalkan rumah masing-masing dan
berpindah semakin jauh ke dalam hutan bagi mengelakkan tangkapan dan penahanan
oleh Rela dan jabatan Imigresen," kata pengarahnya Dr. Irene Fernandez
"Dalam keadaan penuh ketakutan dan tidak pasti, beratus-ratus orang pelarian
sedang menghadapi risiko kurang makanan dan terdedah kepada penyakit di hutan."
Menurut badan pembela hak-hak buruh asing itu, sejak beberapa minggu
kebelakangan, pihak berkuasa Malaysia sedang meningkatkan serbuah di
kawasan-kawasan yang dikenal pasti mempunyai kepadatan orang pelarian dan
pencari perlindungan.
"Serbuan ini cukup tersusun dan dirancang rapi. Ia dijalankan di siang hari,
dini hari dan tengah malam, ketika pihak berkuasa telah pasti orang-orang
pelarian berada di dalam rumah atau pulang dari kerja," katanya dalam satu
notis tindakan segera kepada pihak-pihak berkenaan semalam.
Irene berkata, turut terlibat dalam perpindahan tergesa-gesa ini bayi dan
anak-anak kecil, sementara orang dewasa yang cuba mengelak tangkapan mengalami
kecederaan sewaktu cuba memboloskan diri.
Rumah ditinggalkan kosong dan barang-barang mereka tidak sempat diambil
bersama, tambahnya.
"Laporan-laporan daripada anggota masyarakat pelarian yang terlepas tangkapan
menyebut, kanak-kanak yang berada di rumah ketika serbuan turut ditangkap,"
katanya.
Beliau bimbang tangkapan besar-besaran sejak beberapa minggu ini boleh
menyebabkan kem tahanan bertambah padat dan memburukkan lagi keadaan di kem.
"Kanak-kanak juga terpisah daripada ibu bapa, khususnya jika dia ditangkap
tanpa ibunya.
"Menurut seorang wanita Rohingya, anak lelakinya, 2, kini berada dalam kem
tahanan, ketika anak itu bersama bapanya ditangkap dalam suatu serbuan.
"Kami sangat bimbang penahanan bayi dan anak kecil tanpa ibu mereka kerana
selalunya mereka tidak terurus dengan baik selayaknya perhatian yang wajar
untuk budak-budak kecil," kata Irene.
"Ibu bapa mungkin tidak bertemu kembali dengan anak-anak mereka."
Selain tangkapan, mereka juga boleh dikenakan hukuman, katanya.
"Terdapat satu kes remaja lelaki, 15, dikenakan hukuman rotan atas kesalahan
tersebut."
"Akibat serbuan yang sedang dijalankan, kini semakin susah menyalurkan bantuan
kemanusiaan kerana orang pelarian tidak boleh terlibat. Mereka seolah-olah
hilang dan sukar dihubungi, maka menjadi semakin lemah," katanya.
Melalui notis itu, Tenaganita menggesa orang ramai menulis surat keprihatian
kepada pihak-pihak berkuasa Malaysia menyatakan bantahan dan perasaan ambil
berat, serta menyeru kepada kerajaan, masyarakat antarabangsa dan Suruhanjaya
Tinggi Pelarian PBB untuk memastikan hak pelarian diiktiraf dan tangakapan
tidak wajar dihentikan serta-merta.
Sumber: http://www.malaysiakini.com/news/81247
---------------------------------
Alt i ett. Få Yahoo! Mail med adressekartotek, kalender og notisblokk.