Berita Utusam Malaysia
ARKIB : 28/10/2008
Mogok di seluruh Kashmir - Mogok di seluruh Kashmir
SRINAGAR, India 27 Okt. – India hari ini mengerah beribu-ribu
anggota tentera berkawal di Kashmir bagi menghalang rancangan untuk
mengadakan tunjuk perasaan besarbesaran sempena ulang tahun ke-61
pemerintahan New Delhi ke atas wilayah ini.
Di Srinagar, tentera telah berkawal di sepanjang jalan selain
membuat sekatan jalan raya menuju ke pejabat Kumpulan Tentera Pemerhati
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNMOGIP).
UNMOGIP yang merupakan antara misi tertua PBB, telah memantau
gencatan senjata di wilayah Kashmir yang memisahkan India dan Pakistan
sejak 1949.
Semua premis perniagaan dan sekolah ditutup sejak semalam sebagai pernyataan
bantahan ke atas pemerintahan India di sini.
Sementara itu, Pengerusi Parti Bersatu Hurriyat, Umar Farooq telah
diletakkan dalam tahanan rumah bagi menghalang beliau mengetuai
demonstrasi itu.
“Tarikh 27 Oktober merupakan hari hitam dalam sejarah Kashmir,” kata
Umar merujuk kepada tarikh tersebut pada 1947 apabila tentera India
menawan wilayah ini dalam tempoh dua bulan selepas India dan Pakistan
mendapat kemerdekaan daripada Britain.
Pada 26 Oktober 1947, pemerintah Hindu Kashmir menetapkan, wilayah
berpenduduk majoriti Islam itu akan bersatu dengan India dan bukannya
Pakistan.
Kawalan hari ini diperketat selepas seorang pelajar terbunuh
manakala berpuluh-puluh yang lain cedera dalam tunjuk perasaan
anti-India, semalam.
Kashmir telah menjadi rebutan antara India dan Pakistan di mana
pertempuran membabitkan puak militan dari kedua-dua negara dilaporkan
sering berlaku.
Setakat ini lebih 43,000 orang telah terbunuh dalam keganasan tersebut.
Bagaimanapun, kumpulan hak asasi manusia meletakkan angka korban kepada 60,000
orang.
– Reuters