http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_06.htm

Indonesia tahan 4 suspek pengganas JI

BANDA ACEH 23 Feb. - Polis Indonesia menahan empat orang dalam satu serbuan ke 
atas fasiliti latihan pengganas di kawasan pedalaman wilayah Aceh.

"Kami menahan empat orang yang disyaki terlibat dalam latihan pengganas. Mereka 
dikhuatiri adalah sebahagian daripada kumpulan Jemaah Islamiah (JI). Kami masih 
menyiasat perkara ini," kata ketua polis Aceh, Aditya Warman kepada pemberita.

Lebih 100 anggota polis bersenjata berat mengambil bahagian dalam serbuan itu 
sebelum tengah malam tadi di kawasan hutan daerah Aceh Besar, kira-kira 70 
kilometer di utara Banda Aceh.

Warman berkata, kira-kira 50 militan dipercayai berada di kawasan sekitar untuk 
menjalani latihan ala-tentera termasuk penggunaan senjata api. Hanya empat 
berjaya ditangkap dalam serbuan itu, manakala yang lain berjaya melarikan diri 
ke dalam hutan.

Polis menemui senapang, pakaian seragam angkatan tentera Malaysia dan 
propaganda pengganas seperti video pengeboman Bali pada 2002 yang meragut lebih 
200 nyawa, kebanyakannya pelancong Barat. 

"Kami menerima maklumat latihan ini disertai 50 orang dari kumpulan yang 
disyaki mempunyai kaitan dengan JI. Mereka menukar lokasi bagi mengelak dari 
dikesan dan telah bergerak ke empat daerah.

"Kami menemui buku mengenai jihad, cakera padat pengeboman Bali dan beberapa 
kawasan lain, uniform tentera Malaysia, jaket dengan perkataan 'Jemaah' dan 
beberapa benda lain," kata Warman lagi.

Ketua polis itu berkata, operasi akan diteruskan bagi mengesan suspek-suspek 
lain.

Ini bukan kali pertama kawasan pedalaman Aceh digunakan oleh pengganas untuk 
berlatih dan bersembunyi namun wilayah paling konservatif Indonesia tidak 
dikenali sebagai sarang ekstremis.

Kebanyakan aktiviti JI tertumpu di sekitar masjid dan pesantren radikal di 
Jawa. - AFP

Kirim email ke