Ajaran Sesat - Awasi Ciri Dan Tipu Daya 
Oleh Mohd Nizam Sahad 

Pencemaran akidah suci umat Islam bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia. 
Malah, pencemaran dan resapan ajaran sesat ke dalam sistem kepercayaan umat 
Islam di nusantara ini, telah pun berlaku sejak pengIslaman rantau ini lagi. 

Menurut H.O.K. Rahmat S.H. dalam bukunya Pencemaran Akidah Di Nusantara, 
pengaruh dalaman seperti kebudayaan dan kepercayaan asal pribumi seperti 
dinamisme dan animisme serta pengaruh luaran seperti unsur Hindu-Buddha, 
Yahudi, Kristian, Yunani Purba menjadi punca pencemaran kepada akidah umat 
Islam dewasa ini. 

Malahan dari sudut awal sejarah Islam juga, ajaran yang menyeleweng dari 
landasan Islam sebenar telah wujud pada zaman sahabat dan tabi`in dengan 
munculnya kumpulan-kumpulan seperti Khawarij, Syiah, Murjiah, Qadariyah, 
Jabbariyah, Muktazilah sebagaimana yang dinukilkan di dalam kitab al-Milal wa 
an-Nihal karangan as-Syahrastani. 

Pada masa kini, negara kita juga yang mengamalkan ajaran Ahli Sunnah wa 
al-Jamaah sejak sekian lama, tidak dapat lari daripada menghadapi masalah yang 
sama dan mula dicemari dengan pelbagai ajaran sesat yang kebanyakannya 
bertopengkan ajaran tarekat-tarekat. 

Sebahagian kumpulan ajaran sesat yang wujud di Malaysia ini, ada yang masih 
aktif dan sebahagiannya ada yang telah berkubur, akibat tertangkapnya ketua 
mereka mahupun ditolak oleh masyarakat. 

Menurut Wan Mohd. Azam dalam bukunya Ajaran Sesat, antara kumpulan ajaran sesat 
yang masih aktif ialah seperti Qadiani, Taslim, Bahai, Anti Hadis, Tarekat 
Naqsyabandiyyah Kadirun Yahya, Tarekat Samaniah Ibrahim Bonjol dan sebagainya. 
Kumpulan-kumpulan ini bergerak secara rahsia untuk mengembangkan ajaran mereka 
kepada orang awam. 

Fenomena ini perlu diberi perhatian oleh pihak-pihak berkuasa terutamanya 
Jabatan Agama Islam Negeri dengan kadar segera, agar ia tidak menjadi barah 
yang sukar diubati kelak. Peristiwa penangkapan sekumpulan pengikut tarekat 
Samaniah Ibrahim Bonjol pada di Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor jelas 
menunjukkan bahawa pegangan akidah Ahli Sunnah wa al-Jamaah di Malaysia sedang 
cuba dicemari oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. 

Antara ciri-ciri ajaran sesat yang wujud di Malaysia, ialah wujudnya budaya 
memuja dan mendewa-dewakan ketua kumpulan sehingga sanggup menganggap ketua 
mereka sebagai orang suci atau wakil Tuhan yang maksum. Segala perintah ketua 
mereka wajib dipatuhi walaupun perintah itu bertentangan dengan akhlak, akidah 
dan syariat Islam yang sebenar. Mereka percaya bahawa jika arahan ketua mereka 
tidak dipatuhi, malapetaka dan kesusahan akan menimpa mereka. 

Ciri lain yang membolehkan kita mengenali sesuatu ajaran atau amalan itu 
dianggap sesat atau menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar, ialah 
apabila guru atau murid satu-satu ajaran atau tarekat tersebut membuat 
pengakuan menerima wahyu daripada Allah s.w.t. atau guru sesuatu ajaran itu 
membuat pengakuan bahawa dia memegang kunci syurga, atau murid sesuatu ajaran 
itu mendakwa bahawa gurunya adalah nabi atau malaikat atau setanding dengannya. 

Kriteria yang lain, pembawa ajaran itu mendakwa amalan dan tindakan mereka 
seperti zikir yang diajarkan kepada muridnya boleh menggagalkan kiamat. Kaedah 
berzikir yang dilakukan mereka haruslah menggambarkan wajah guru dalam fikiran 
mereka. Mereka juga harus menyerah diri secara rohani dan jasmani kepada guru 
melalui nikah batin dan sebagainya. 

Mereka juga mendakwa hanya pengikut tarekat yang diamalkan oleh golongan mereka 
sahaja yang dijamin masuk syurga. Mereka turut mempercayai bahawa semua agama 
adalah sama dan mempercayai bahawa guru mereka boleh menebus dosa mereka dengan 
membayar wang atau harta kepadanya. 

Guru ajaran sesat juga mengaku bahawa Allah menjelma dalam dirinya, mendakwa 
atau mengaku dirinya sebagai wakil nabi yang boleh memberi syafaat kepada murid 
atau pengikutnya. Ia juga mendakwa mengetahui tafsiran batin bagi ayat-ayat 
suci al-Quran yang jelas menyimpang. Mereka turut menterjemah atau menafsir 
ayat-ayat al-Quran dengan lambang yang direka sendiri tetapi tidak ada dalam 
nas al-Quran atau hadis. 

Selain itu, adanya unsur mempercayai bahawa orang yang telah mati boleh memberi 
pertolongan apabila diseru namanya, mempercayai bahawa orang tertentu tidak 
mati dan akan lahir semula menjadi manusia istimewa seperti Imam Mahdi dan 
sebagainya, mengaku dan mempercayai adanya kemasukan roh orang yang telah mati 
ke dalam diri seseorang lain sebagaimana upacara menurun yang dilakukan oleh 
bomoh. 

Ciri-ciri lain ajaran sesat adalah golongan ini sanggup mengkafirkan setiap 
orang yang berada di luar gerakan mereka dan menghalalkan darahnya. Mereka juga 
menetapkan setiap pelanggaran dosa dan maksiat yang dilakukan anggotanya dapat 
ditebus dengan wang dalam jumlah tertentu kepada guru mereka. 

Tidak hanya itu, ciri yang paling menonjol daripada gerakan mereka adalah 
menghalalkan segala cara untuk membiayai gerakan mereka, seperti merompak, 
mencuri, menipu dan sebagainya. 

Selain ciri di atas termasuklah tindakan yang berupa perbuatan atau percakapan 
yang seolah-olah memansuhkan syariat-syariat Islam seperti sembahyang, puasa, 
haji dan sebagainya. Mereka mendakwa, tidak perlu lagi melakukan ibadah kalau 
telah merasa yakin atau sampai ke makam tertentu. Ada juga di kalangan mereka 
yang mendakwa bahawa ibadat haji tidak semestinya ditunaikan di Mekah tetapi 
boleh dikerjakan di tempat-tempat lain. Ajaran mereka cuba untuk meremehkan 
syariat dan dalam masa yang sama cuba untuk menghalalkan yang haram. 

Berdasarkan sebahagian ciri-ciri ajaran sesat yang dipaparkan ini, umat Islam 
terutamanya orang awam harus berwaspada dalam menyertai mana-mana kumpulan 
ajaran agama demi memelihara kesucian dan keutuhan akidah dan syariat Islam. 
Elakkan diri daripada sebarang kumpulan yang mempunyai ciri-ciri tersebut. 
Janganlah terpengaruh dan terikut-ikut sesuatu ajaran yang kita tidak ada ilmu 
tentangnya kerana dibimbangi ia akan merugikan diri dan kita akan dimurkai oleh 
Allah s.w.t. sebagaimana firman-Nya : 

Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan 
mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota 
itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya (Al-Isra: 36) 

Larangan Allah dalam ayat di atas adalah menjadi undang-undang yang meliputi 
segala soal dalam alam kehidupan ini. Kita tidak boleh memperkatakan atau 
melakukan sesuatu yang kita tidak mengetahuinya. Kita tidak boleh menjadi saksi 
melainkan terhadap perkara yang telah dilihat oleh mata, di dengar oleh telinga 
dan diketahui oleh hati. 

Dalam soal akidah pula, kita tidak boleh mempercayainya melainkan dengan dalil 
sah yang membuktikan kebenarannya. Larangan Allah ini hendaklah dipatuhi kerana 
mata, hati dan telinga akan ditanya oleh Allah s.w.t. pada Hari Kiamat nanti 
tentang apa yang telah dilakukan oleh kita semua. 

Menurut al-Baghdadi dalam kitabnya al-Farq baina al-Firaq, antara kaedah yang 
diguna pakai oleh kumpulan ajaran sesat seperti Batiniyah misalnya, ialah 
dengan memperdayakan mangsa yang menjadi sasaran dengan sembilan langkah. 

1. AT-TAFARRUS iaitu menilik mangsa sama ada mampu dipengaruhi atau tidak. 
Dalam hal ini, pemangsa kepada mangsa harus pandai menimbulkan kekeliruan dan 
keraguan kepada mangsa terhadap apa yang diyakininya dan mengetahui tafsiran 
batin terhadap nas-nas yang zahir. 

2. AL-TA'NIS, iaitu pemangsa akan cuba memperlihatkan kebaikan ajarannya dengan 
bersikap ramah mesra, menunjukkan watak seperti zuhud dan warak bagi menarik 
minat mangsa. Pada tahap ini, sikap pemangsa akan disesuaikan menurut cita rasa 
dan kesukaan mangsa. Kalau bangsa seorang peminum arak, pemangsa juga akan 
turut serta dengan perlakuan tersebut. 

3. AT-TASYKIK, iaitu cuba menimbulkan keraguan dengan cuba bertanya perkara 
yang bukan-bukan dalam hal syariat seperti kenapa sembahyang Zuhur empat 
rakaat, Subuh dua rakaat? Apabila mangsa tidak dapat menjawab, pemangsa tidak 
terus memberi jawapannya, sebaliknya menangguhkan jawapan dengan alasan pada 
masa ini jawapannya adalah rahsia. 

4. AT-TA'LIQ, iaitu menggantung sementara jawapan rahsia tersebut sebagaimana 
yang diterangkan di atas tadi. 

5. AR-RABT, sekiranya mangsa ingin tahu juga tentang ilmu rahsia itu, mereka 
diminta melakukan ikatan perjanjian. Sekiranya diberitahu tentang rahsia 
tersebut mereka tidak akan membuka rahsia ajaran itu kepada orang lain. 
Kemudian diajarkan kepada mereka rahsia batin daripada taklifan syariat. 
Apabila telah mendapat ilmu batin, maka yang zahir tidak perlu dilaksanakan 
lagi. Sebab itulah ada di antara mereka yang tidak sembahyang, tidak puasa dan 
sebagainya tetapi sebaliknya menghalalkan pula yang haram seperti minum arak 
dan berzina. 

6. AT-TADLIS, iaitu pemangsa akan terus berhujah dengan dalil-dalil al-Quran 
dan hadis dengan tafsiran yang berbeza dengan ulama muktabar Ahli Sunnah Wa 
Al-Jamaah. Mereka mengatakan bahawa yang zahir itu azab dan yang batin itu 
rahmat. 

7. AT-TA'SIS, iaitu meletakkan asas ajaran yang menyeleweng ke dalam fikiran 
mangsa. 

8. MAWATHIQ BI AL-IMAN WA `UHUD, pemangsa akan terus mengukuhkan kepercayaan 
dan keyakinan mangsa terhadap ajaran dan perjanjian yang termeterai antara 
mangsa dan kumpulan ajaran atau ketua mereka. 

9. AL-KHALA' WA AL-SALAKH, tahap terakhir dengan sendirinya mangsa akan 
terlucut dan terkeluar daripada ajaran Islam sebenar dan masuk ke dalam aliran 
yang sesat tanpa disedarinya. 

Sebagai kesimpulannya untuk mengatasi masalah ini, umat Islam hendaklah 
sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan agama dan sentiasa bertindak atas dasar 
ilmu yang benar. Jika merasakan sesuatu ajaran agama itu mempunyai unsur dan 
ciri-ciri yang terseleweng, maka hendaklah segera dijauhi dan merujuk kepada 
pihak yang berkuasa khasnya pihak berkuasa agama. 

Laporkan gerakan kumpulan ajaran sesat kepada pihak berkuasa bagi menunjukkan 
rasa keprihatinan kita dalam mempertahankan akidah Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah 
yang diakui benar oleh majoriti umat Islam di seluruh dunia. Sama-samalah kita 
berperanan dalam memelihara kesucian akidah, syariat dan maruah umat Islam 
sejagat daripada terus dicemari. 

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2004&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm


                
---------------------------------
Do you Yahoo!?
 Yahoo! Mail - You care about security. So do we.

[Non-text portions of this message have been removed]



------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Help save the life of a child.  Support St. Jude Children's Research Hospital's
'Thanks & Giving.'
http://us.click.yahoo.com/mGEjbB/5WnJAA/E2hLAA/BRUplB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

***************************************************************************
Berdikusi dg Santun & Elegan, dg Semangat Persahabatan. Menuju Indonesia yg 
Lebih Baik, in Commonality & Shared Destiny. www.ppi-india.uni.cc
***************************************************************************
__________________________________________________________________________
Mohon Perhatian:

1. Harap tdk. memposting/reply yg menyinggung SARA (kecuali sbg otokritik)
2. Pesan yg akan direply harap dihapus, kecuali yg akan dikomentari.
3. Lihat arsip sebelumnya, www.ppi-india.da.ru; 
4. Forum IT PPI-India: http://www.ppiindia.shyper.com/itforum/
5. Satu email perhari: [EMAIL PROTECTED]
6. No-email/web only: [EMAIL PROTECTED]
7. kembali menerima email: [EMAIL PROTECTED]
 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/ppiindia/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke