dari http://utusan.com.my
Dunia Islam hilang keterampilan idealisme perjuangan
Oleh Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin

INSAN ini bukan mesin atau robot yang hanya berpada dengan perisian yang 
diprogramkan untuknya. Insan mempunyai kehidupan dan perasaan. Dia ingin 
dihargai dan ingin melakukan sesuatu yang membuktikan keinsanannya.

Insan bukan juga haiwan ternakan yang hanya diam dan selesa dengan rumput yang 
enak dan air yang mencukupi. Sebaliknya insan mempunyai roh atau perasaan yang 
mendesak agar diisi dengan sesuatu yang dapat melangsaikan runtunannya. Jika 
tidak dilangsaikan ia akan memberontak atau mencari jalan keluar yang dapat 
meredakannya.

Sebab itu kita lihat, bukan sedikit manusia yang melakukan aktiviti berbahaya 
seperti terjun atau panjat bangunan dan gunung, atau memandu secara yang 
berbahaya dan seumpamanya. Mereka ini bukan kerana miskin harta, atau putus asa 
dalam hidup.

Tidak juga kerana tidak puas hati dengan sesiapa. Cuma mereka ingin mencari 
kepuasan. Harta atau kemewahan gagal mengisi ruangan dalam jiwa yang mereka 
tercari-cari bagaikan kehilangan sesuatu. Mereka menjangkakan dengan melakukan 
aktiviti yang luar biasa, sesuatu yang ekstrem atau yang dapat menarik 
perhatian ramai maka kekosongan jiwa dapat diisi.

Jika kita membaca sejarah komunisme, kita akan lihat bagaimana mereka cuba 
membuang kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan mereka. Namun akhirnya mereka 
melantik tuhan baru mengisi kekosongan jiwa dengan memuja Lenin dan 
kesesatannya. Sehingga mayatnya diawet agar tidak rosak lalu dipamerkan untuk 
dilawati oleh rakyatnya.

Maka penganut komunisme akan memberikan penghormatan yang luar biasa semasa 
menziarahi mayat tersebut. Ini seakan serupa dengan upacara keagamaan yang 
telah mereka buang itu. Demikian akhirnya pemimpin komunis pula cuba menjadi 
tuhan bagi mengisi kehendak pengikut yang inginkan pendampingan dengan tuhan 
yang sebenar.

Sebab itu sesiapa yang menolak tuhan yang sebenar, maka tuhan-tuhan palsu akan 
mengisi ruang hidup. Nafsu pun boleh bertukar menjadi tuhan palsu jika ia 
ditaati seperti ditaati tuhan yang sebenar. Firman Allah dalam surah 
al-Jathiah, ayat 23: (maksudnya): Bagaimana fikiranmu (Wahai Muhammad) terhadap 
orang yang menjadikan hawa nafsunya tuhan (yang dipatuhinya), dan dia pula 
disesatkan oleh Allah kerana pengetahuan-Nya (tentang kekufuran mereka), dan 
ditutup pula atas pendengarannya dan jantungnya, serta diadakan lapisan penutup 
atas penglihatannya? maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk 
kepadanya sesudah Allah (menjadikannya berkeadaan demikian)? oleh itu, mengapa 
kamu tidak mengingati?

Apa yang ingin dijelaskan adalah jiwa insan ini jika tidak diisi dengan betul, 
maka kefahaman atau perkara yang salah akan mengambil tempat. Ini seperti 
cerita-cerita fiksyen dan hantu yang membanjiri filem moden disebabkan tipisnya 
ruang kepercayaan kepada tauhid yang sebenar. Atau penglibatan sesetengah 
remaja atau dewasa dalam aktiviti buruk disebabkan gagal dipenuhi aktiviti yang 
baik dan bermanfaat.

Masyarakat

Demikian, jika jiwa sesuatu masyarakat atau individu yang gagal dipenuhi 
semangat perjuangan yang bermanfaat lagi benar maka ruang jiwa mereka akan 
diisi dengan idealisme kebatilan dan perjuangan yang karut. Mereka mungkin 
menyertai berbagai-bagai kumpulan yang pelik dengan slogan-slogan yang karut 
dan perjuangan yang 'entah apa-apa'.

Semuanya hanya bagi menggerakkan emosi insani mereka. Sehingga sebahagian anak 
muda yang menyertai perhimpunan atau tunjuk perasaan tertentu juga bukan kerana 
menyokong atau menghayati slogan yang ditempikkan. Sebaliknya, mereka hanya 
ingin mencari pengisian jiwa yang memberontak mahukan sesuatu perjuangan. Maka 
apa sahaja yang dilihat dapat melunasi perasaan ingin berjuang, akan mereka 
sertai.

Malangnya, kadangkala golongan yang berusaha memulihkan mereka pula gagal 
mencari alternatif perjuangan yang lebih diyakini bagi jiwa mereka. Mereka akan 
merasakan jika mereka meninggalkan perjuangan mereka - jika sekalipun songsang- 
mereka akan keluar ke daerah kontang yang membosankan.

Maka negara-negara umat Islam wajar dipersalahkan jika majoriti kaum muslimin 
hanyut tanpa arah dengan tidak mengetahui sebagai muslim apakah yang patut dia 
sumbangkan untuk perjuangan umat. Lebih malang lagi, jika dia tidak tahu apa 
yang hendak diperjuangkan. Apatah lagi keterampilan sebahagian kepimpinan dunia 
Islam termasuk di dunia Arab gagal untuk memperlihat idealisme perjuangan yang 
jelas. 

Justeru, yang menjadi masalah kepada dunia Islam secara umumnya adalah kita 
kehilangan keterampilan idealisme perjuangan yang membolehkan umat berdiri 
dengan gagah atau bersemangat jujur mempertahankannya. Idealisme itu mungkin 
ada, tetapi tidak terampil. Lebih dukacitalah jika ianya tidak ada. Sedangkan 
umat ini dalam sejarahnya adalah umat pejuang. Bukan soal kekurangan makanan 
atau pakaian atau tempat tinggal. Namun masyarakat kita khususnya golongan muda 
kekosongan jiwa perjuangan yang membolehnya menjadi salah satu agenda hidup 
yang berbaloi. Apatah lagi bagi yang bersemangat Islam.

Dalam erti kata lain, umat memerlukan satu perjuangan yang jelas dan ikhlas 
dari sudut matlamat dan pelaksanaan di bawah kepimpinan dunia Islam yang ada. 
Tokoh-tokoh dunia Islam pula hendaklah dapat meyakinkan umat ini bahawa 
perjuangan itu berlangsung dengan penuh makna dan erti. Perjuangan yang terarah 
dengan kepimpinan yang menghayatinya dan bukan sekadar berfalsafah di atas 
pentas.

Perjuangan yang akan dapat membentuk masyarakat Islam bersemangat dan setia di 
belakang kepimpinannya. Kehilangan perkara seperti ini menyebabkan masyarakat 
Islam hilang kawalan. Bahkan juga mungkin kecintaan kepada negara sehingga 
ancaman luar atau dalam yang datang terhadap negara-negara Islam kelihatan umat 
Islam begitu lembap untuk bertindak balas. Sama ada mereka menjadi 'lembu 
kenyang' yang tidak berupaya bergerak atau 'itik buta' yang tidak tahu denai 
yang hendak diikut.

Dunia Islam mungkin ada pemimpin dan slogan perjuangan. Namun jika rakyat 
muslim yang berdiri di belakang slogan itu gagal merasai bahang idealisme 
perjuangan maka jiwa perjuangan itu seakan kosong. Atau jika sesuatu kepimpinan 
gagal menampilkan karisma diri sebagai pejuang umat dalam sesuatu arus maka 
perjuangan dan slogan perjuangan itu juga akan hambar. 

Dahulu umat Islam bersemangat berjuang di belakang Rasulullah s.a.w. Selepas 
ketiadaan baginda, umat berdiri megah di balakang para khulafa seperti 
al-Khulafa al-Rasyidun, 'Umar bin Abdul Aziz dan selain mereka. Demikian 
panglima-panglima Islam yang gagah berani seperti Khalid al-Walid, Abu 'Ubaidah 
al-Jarrah, 'Uqbah bin Nafi', Salahuddin al-Ayubi dan ramai lagi. Demikian para 
ulama yang tangkas memimpin umat ke arah perjuangan ketulenan ilmu seperti 
Abdullah bin al-Mubarak, para imam yang empat, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, 
Muhammad bin Abdul Wahhab, Rasyid Ridha dan ramai yang lain. Mereka menjadi 
idola dan memayung perjuangan untuk mengembalikan umat cemerlang dengan panduan 
al-Quran dan al-Sunah. Tampil gagah berani membetul keadaan umat luaran dan 
dalaman. Slogan dan pelaksanaan mereka jelas dan seiras. Mereka memimpin arus 
pembaikan atau perubahan atau tajdid pada zaman mereka. Mereka menjadikan umat 
terarah. Umat mengenang mereka disebabkan keikhlasan dan kejujuran mereka 
terhadap perjuangan.

Memang ada yang menentang sekalipun daripada kalangan umat Islam sendiri 
disebabkan kepentingan diri atau hasad dengki. Namun akhirnya yang dikenang 
oleh sejarah adalah yang jujur dan ikhlas yang telah dipersembahkan.

Malangnya, dunia Islam hari ini seakan kontang dari wira atau pejuang yang 
boleh melunaskan kehendak jiwa insan muslim yang ingin berjuang. Apatah lagi 
dalam keadaan umat yang ditindas serta kemunduran minda dan benda yang sedang 
terjadi dalam tubuh umat ini. Terpinga-pingalah umat ini mencari wira. Maka 
sesiapa sahaja yang muncul sebagai wira sekalipun atas pencalonan media Barat 
akan dipuja walaupun mereka tidak kenal pasti wira-wira itu. Maka tidak hairan 
jika ada yang memuja Bin Ladin, Saddam Hussain atau Ahmadinejad. Sehingga 
gambar mereka ditampal di baju walaupun si pemakainya apabila ditanya hanya 
tahu menjawab 'dia lawan Amerika'.

Sementara yang berperwatakan bacul tidak dianggap wira sekalipun berada di 
puncak kuasa, hartanya mewah dan mukanya lawa atau gambarnya dikempen 
merata-rata. Keadaan ini akan berterusan selagi agenda perjuangan umat tidak 
disusun dan garis panduan langkah perjuangan umat tidak diatur agar jelas dan 
mampu membangunkan semangat.

Ketandusan

Sebenarnya, dunia Islam ketandusan pemimpin yang dicintai bukan kerana harta 
dan kuasanya tetapi kerana kewibawaan, pemikiran, kepimpinan, amanah, ketulusan 
jiwa dan segala ciri kepemimpinan yang dimilikinya. Sedangkan hanya sifat-sifat 
ini yang mampu membentuk pengikut yang setia, jujur, terurus dan terarah.

Seperti acuan, begitulah hasilnya. Demikian Allah sifatkan ciri-ciri kemuliaan 
Nabi Muhammad s.a.w. yang melunakkan jiwa para pengikut baginda: (maksudnya) 
Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari golongan kamu sendiri 
(iaitu Nabi Muhammad s.a.w.), yang sangat berat kepadanya sebarang kesusahan 
yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) dia 
pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang 
beriman (surah al-Taubah, 128).

Namun, jika kepimpinan itu hanya berteraskan kuasa dan harta maka yang muncul 
hanyalah manusia bermuka-muka lagi munafik. Mengampu kerana harta dan kuasa, 
dan menghina apabila segalanya hilang. Pengikut bagaikan buih di air yang tidak 
mempunyai pendirian. Allah mencerita Ashab al-Kahf yang lari ke gua kerana 
memikul beban perjuangan dengan firmanNya: Kami ceritakan kepadamu (Wahai 
Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu para pemuda yang 
beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. 
Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka 
bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta 
dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan 
yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lain bermakna kami 
memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran. Inilah golongan 
muda. Inilah umat hakiki. Mereka sentiasa bersemangat, namun terarah disebabkan 
matlamat yang jelas dan hubungan erat antara perjuangan di bumi dan amanah dari 
langit.

Justeru, kepimpinan dunia Islam perlu meletakkan asas dan contoh yang amat 
jelas bagi perjuangan Islam. Cita-cita Islam hendaklah jelas pada slogan, 
huraian dan pelaksanaan. Bukan nama Islam yang penting, tetapi kejelasan 
matlamat bagi umat yang beriman. Sehingga umat secara umum sedar bahawa 
memperjuang cita-cita bersama kepimpinan dunia Islam adalah ibadah yang 
dituntut, jihad yang mendapat pahala.

Kejayaan mencapai cita-cita tersebut bererti memuliakan ajaran Allah dan 
Rasul-Nya. Jika asas ini gagal diletakkan secara jelas, bererti matlamat 
cita-cita Islam yang sebenar gagal dimiliki oleh masyarakat Islam. Jika 
matlamat asas gagal, penampilan Islam yang merupakan terjemahan hati nurani 
kepimpinan juga akan kelihatan samar dan kurang jelas. Lantas, rakyat muslim 
tiada hala tuju sebenar berkaitan agama. Maka tidak mustahil jika mereka 
tertarik dengan pelbagai kempen perjuangan Islam yang lain, tanpa mereka mampu 
menilai benar atau salah. Bahkan sebahagian perjuangan itu jelas mencemarkan 
Islam akhirnya.

Ini kerana kempen kebatilan yang tersusun dan berketerampilan itu lebih menarik 
perhatian manusia dari kempen yang benar namun samar-samar dan tidak tertonjol 
arah panduannya. Maka tidak pelik jika dalam dunia Islam ramai golongan 
agamawan atau rakyat yang mendekati agama kurang berdamping dengan para 
pemerintah.

Sebaliknya, ramai lebih suka persatuan atau jemaah yang tidak bersama 
pemerintah atau kurang mesra dengan pemerintah disebabkan kegagalan kebanyakan 
para pemerintah dalam dunia Islam meletakkan idealisme yang jelas. Bagi mereka 
kebersamaan dengan pemerintah seakan hanya memudarkan idealisme perjuangan.

Selagi pemerintah dunia Islam tidak menyembuhkan diri dengan suntikan idealisme 
Islam yang jelas dan kukuh maka selagi itulah semangat Islam umat gagal untuk 
ditawan. Para ulama yang matang dan mantap hendaklah membantu para pemerintah 
muslim meletakkan kejelasan idealisme ini. Tokoh-tokoh Islam yang berkarisma 
hendaklah memandu para pemerintah dunia Islam. Kewujudan sebahagian tokoh agama 
pemerintah yang tidak berpotensi, bahkan sekadar memenuhi jawatan hanya 
menggelapkan lagi idealisme Islam yang patut ditonjolkan. Jika para pemerintah 
telus dengan cita-cita Islam, maka proses membangunkan wajah perjuangan Islam 
di dunia Islam akan kembali segar, maka suara umat akan terarah dan kesetiaan 
mereka pula akan terserlah.

* Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis. 

E-mel: [EMAIL PROTECTED]



mediacare
http://www.mediacare.biz


[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke