http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm
Suspek pengganas dibicara
Mohammed Jibril Abdurahman bersalaman dengan bapanya,, Abu Jibril semasa
tiba di kamar mahkamah di Jakarta, semalam untuk menghadapi tuduhan membiayai
serangan pengganas ke atas dua hotel mewah di Jakarta tahun lalu. - AFP
--------------------------------------------------------------------------
JAKARTA 23 Feb. - Seorang lelaki Indonesia yang dituduh menaiki penerbangan ke
Arab Saudi bagi memungut wang untuk membiayai serangan berani mati di dua buah
hotel mewah di sini mendakwa kes terhadapnya telah 'diada-adakan'.
Pendakwa raya berkata, Mohammad Jibriell Abdul Rahman menjalin hubungan dengan
ketua militan, Noordin Mat Top dan cuba memungut wang untuk membiayai
serangan-serangan bom di Hotel J.W. Marriott dan Ritz Carlton pada 17 Julai,
2009.
Tujuh orang terbunuh dan lebih 50 lagi cedera dalam serangan pengebom berani
mati itu.
Mohammad, 25, yang dituduh melanggar Undang-undang Antikeganasan negara ini,
mendakwa dia tidak bersalah ketika tiba di Mahkamah Daerah Jakarta Selatan
untuk dibicarakan.
"Saya anggap kes ini diada-adakan. Saya tidak melakukan sebarang kesalahan,"
kata Mohammad kepada wartawan di luar mahkamah, sejurus sebelum perbicaraan
bermula.
Dia boleh dijatuhi hukuman penjara 15 tahun jika sabit kesalahan.
Menurut kertas pendakwaan, Mohammad menemui Noordin yang didakwa mendalangi
beberapa serangan bom di Indonesia sebelum dia terbunuh dalam pertempuran
dengan polis pada tahun lepas, kira-kira setahun sebelum serangan bom di
kedua-dua hotel mewah tersebut.
Pada pertemuan itu, Mohammad didakwa mengirim e-mel kepada saudara lelakinya,
Ahmad Isrofil Mardhotillah yang berada di kota suci Mekah.
"Saya sudah menemui N, kami berbincang lama di dalam kereta. N memerlukan 100
juta rupiah (RM36,618)...," kata Mohammad dalam e-mel itu.
Mohammad dan seorang lagi suspek serangan, Syaefudin Zuhrithen kemudian
berlepas ke Mekah untuk mendapatkan pembiayaan bagi serangan tersebut, kata
pendakwa. Syaefudin kemudian terbunuh dalam satu serbuan polis.
Kertas pendakwaan tidak menyatakan jumlah wang yang dipungut dan sama ada wang
itu sampai ke tangan Noordin atau tidak.
Pendakwa raya berkata, Mohammad menemui Noordin buat kali pertama pada 1998
sewaktu dia belajar di sebuah sekolah agama di Malaysia dan Noordin menjadi
guru di situ.
Polis telah membunuh enam orang dan menangkap lebih 12 suspek dalam siasatan
mengenai letupan bom di hotel-hotel mewah tersebut. - AP
++++++
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_06.htm
Indonesia tahan 4 suspek pengganas JI
BANDA ACEH 23 Feb. - Polis Indonesia menahan empat orang dalam satu serbuan ke
atas fasiliti latihan pengganas di kawasan pedalaman wilayah Aceh.
"Kami menahan empat orang yang disyaki terlibat dalam latihan pengganas. Mereka
dikhuatiri adalah sebahagian daripada kumpulan Jemaah Islamiah (JI). Kami masih
menyiasat perkara ini," kata ketua polis Aceh, Aditya Warman kepada pemberita.
Lebih 100 anggota polis bersenjata berat mengambil bahagian dalam serbuan itu
sebelum tengah malam tadi di kawasan hutan daerah Aceh Besar, kira-kira 70
kilometer di utara Banda Aceh.
Warman berkata, kira-kira 50 militan dipercayai berada di kawasan sekitar untuk
menjalani latihan ala-tentera termasuk penggunaan senjata api. Hanya empat
berjaya ditangkap dalam serbuan itu, manakala yang lain berjaya melarikan diri
ke dalam hutan.
Polis menemui senapang, pakaian seragam angkatan tentera Malaysia dan
propaganda pengganas seperti video pengeboman Bali pada 2002 yang meragut lebih
200 nyawa, kebanyakannya pelancong Barat.
"Kami menerima maklumat latihan ini disertai 50 orang dari kumpulan yang
disyaki mempunyai kaitan dengan JI. Mereka menukar lokasi bagi mengelak dari
dikesan dan telah bergerak ke empat daerah.
"Kami menemui buku mengenai jihad, cakera padat pengeboman Bali dan beberapa
kawasan lain, uniform tentera Malaysia, jaket dengan perkataan 'Jemaah' dan
beberapa benda lain," kata Warman lagi.
Ketua polis itu berkata, operasi akan diteruskan bagi mengesan suspek-suspek
lain.
Ini bukan kali pertama kawasan pedalaman Aceh digunakan oleh pengganas untuk
berlatih dan bersembunyi namun wilayah paling konservatif Indonesia tidak
dikenali sebagai sarang ekstremis.
Kebanyakan aktiviti JI tertumpu di sekitar masjid dan pesantren radikal di
Jawa. - AFP
[Non-text portions of this message have been removed]