http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_08.htm

Jurucakap al-Qaeda ditangkap

KARACHI 8 Mac - Ejen keselamatan Pakistan menangkap seorang jurucakap al-Qaeda 
warga Amerika Syarikat (AS) yang dikehendaki atas tuduhan mengkhianat di AS 
kerana mengancam untuk melancarkan serangan jika tuntutan rangkaian militan 
tersebut tidak dipenuhi.

Penangkapan Adam Gadahn, lelaki kelahiran California yang memeluk Islam, 
diumumkan oleh pegawai keselamatan Pakistan semalam, sehari selepas dia 
menyiarkan rakaman video menyeru umat Islam di AS supaya melancarkan serangan 
bagi merosakkan ekonomi kuasa besar itu.

Gadahn, awal 30-an, adalah anggota terbaru di kalangan beberapa militan yang 
ditangkap di Pakistan, sekutu penting AS dalam kempen memerangi keganasan.

Penangkapannya meningkatkan harapan agar tindakan lebih bersepadu dapat diambil 
terhadap pejuang Taliban dan al-Qaeda di Afghanistan ketika tentera AS dan 
sekutunya memerangi militan di kawasan sempadan negara itu.

Gadahn ditangkap di pinggir selatan Karachi bersama dua rakannya baru-baru ini, 
kata dua ejen keselamatan Pakistan.

Dia terlibat dengan sayap media al-Qaeda yang dikenali sebagai as-Sahab dan 
muncul dalam siaran videonya dengan memakai jubah dan serban untuk memberi 
amaran kepada AS mengenai serangan yang bakal dihadapinya jika tuntutan 
al-Qaeda tidak ditunaikan.

Dalam rakaman video yang disiarkan di laman web militan semalam, Gadahn memuji 
Nidal Hassan iaitu doktor tentera AS yang membunuh 13 orang di pangkalan 
tentera Fort Hood di Texas pada November lalu.

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mahu menyoal siasat Gadahn sejak Mei 2004 dan 
kerajaan AS menawarkan hadiah wang tunai sebanyak AS$1 juta (RM3.4 juta) bagi 
maklumat yang boleh membawa kepada penangkapannya. 

Gadahn yang berasal daripada sebuah keluarga Yahudi-Kristian memeluk Islam 
sewaktu berusia 17 tahun dan berpindah ke Pakistan beberapa tahun kemudian. Dia 
sebelum ini dikenali sebagai Adam Pearlman dan membesar di sebuah ladang 
kambing di luar Los Angeles. - Reuters


[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke