http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_05.htm


'Budak pantai' terus cetus kontroversi di Bali

     
      Gambar yang diambil pada 27 April, 2010 merakamkan seorang budak pantai 
sedang bercakap kepada salah seorang pelancong asing wanita yang berehat di 
pantai Kuta, pulau peranginan Bali. - AFP 

--------------------------------------------------------------------------
     


KUTA 29 April - 'Budak pantai' tempatan merupakan teman dan bagi sesetengah 
wanita, mereka merupakan tarikan Bali dengan gelagat bersantai dan bermain 
luncur air, namun semuanya mungkin berubah berikutan tayangan sebuah 
dokumentari.

Dokumentari tersebut, Cowboys in Paradise yang dihasilkan oleh penulis dan 
pengarah berpangkalan di Singapura, Amit Virmani mencetuskan panik di kalangan 
pegawai pelancongan di Bali apabila ditayangkan di sebuah festival filem di 
Korea Selatan awal bulan ini.

''Temu bual dengan budak pantai yang mengurat dan menggoda pelancong asing 
dalam dokumentari tersebut telah menjejas teruk imej Bali. 

''Sudah pasti ia merisaukan. Kami akan ambil tindakan agar imej Bali sebagai 
sebuah pulau peranginan tidak tercalar,'' kata Gobenor Bali, Made Mangku 
Pastika.

Polis telah menahan hampir 30 orang yang digelar 'koboi pantai' dalam usaha 
mengekang pelacuran, kata jurucakap polis Bali, Gede Sugianyar.

Bagaimanapun katanya, adalah sukar untuk membuktikan tuduhan mereka terlibat 
dengan pelacuran kerana pantai hanya merupakan tempat pertemuan dan hubungan 
seks tidak dilakukan di situ.

Beberapa lelaki di tengah-tengah kancah berkenaan berkata, mereka tertekan dan 
marah dilabel sebagai gigolo dan menafikan sama sekali menawarkan khidmat seks 
untuk wang.

''Saya bimbang mungkin pihak berkuasa akan menangkap saya selepas ini.

''Saya amat marah kerana penerbit dokumentari itu memutar belit perkara 
sebenar. Kami diberitahu ia adalah berkenaan cinta dan hubungan warga tempatan 
dengan orang asing,'' kata jurulatih luncur air, Rosnan Efendi.

Bertubuh tegap, segak dengan rambut keriting mencecah bahu, Efendi berkata, dia 
bertemu teman wanitanya dari Jerman di pantai di sini setahun lalu dan jatuh 
cinta.

''Kami bersama kerana cinta bukan kerana wang, Kami berkongsi perbelanjaan, dia 
tidak membayar untuk saya.

''Dokumentari berkenaan adalah satu pembohongan. Tidak wujud 'koboi Kuta atau 
gigolo Bali,'' katanya.

Seorang lagi budak pantai berkata, tidak salah untuk saling mengurut, gelak dan 
ketawa selepas seharian meluncur air.

Penerbit dokumentari itu, Virmani berkata, beliau amat sedih dengan penangkapan 
tersebut dan menjelaskan penghasilan dokumentari tersebut bertujuan 
menghapuskan imej buruk gigolo pantai.

Seorang wanita Amerika yang ditemu bual dalam dokumentari tersebut yang 
tersebar luas di Internet berkata, budak pantai berkenaan amat suka berhibur.

''Wanita yang berkunjung ke sini merasa selamat dengan budak pantai. Mereka 
menyanyi, menari, berjenaka dan melibatkan anda dalam segalanya,'' katanya.

Seorang pelancong Autralia pula berkata, terdapat ramai wanita kesepian di luar 
sana.

''Saya faham mengapa mereka ke sini. Mereka mencari sesuatu dan tiba-tiba 
persekitaran di sini menawarkannya,'' katanya yang berpendapat budak pantai 
bukan gigolo. - AFP


[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke