Melengkapi tulisan yg dikirim saudara Salmi Sarkis,
ambo cubo pulo ikuit sakaki. Iko ambo kirimkan
artikel berkaitan dengan riba. yang manulisnyo seorang
profesor dari Malaysia. Isinyo, bukan BUNGA BANK
saja nan haram melainkan UANG KERTAS pun sebenarnya
juga haram.
Mudah-mudahan artikel ini bermamfaat...
emil
==========================
PERANG RIBA
Abstrak
Krisis kewangan boleh dilihat dari sudut perang riba.
Penyangak mata wang bersama-sama dengan institusi riba
contohnya IMF, begitu mudah �menjajah� mana-mana
negara sekalipun.
Kedaulatan negara sudah seiring dengan �turun-naik�
indeks mata wang. Sudah tentu kita mesti menyedari
kekuatan musuh dan kelemahan kita. Untuk tujuan ini
sistem riba semasa perlu difahami terutamanya yang
berkaitan dengan konsep faedah, sistem mata wang dan
sistem perbankan sekarang.
Alternatif dalam Islam pula mestilah diterokai tetapi
ia mestilah dapat menjamin kuantiti dan kualiti mata
wang. Kaedahnya hendaklah benar-benar bebas dari
institusi riba sekarang. Kita tidak mahu terperangkap
dalam situasi menerima kuda trojan sistem riba di atas
nama Islam.
Pengenalan
Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah
dan tinggalkan sisa riba jika kamu orang-orang yang
beriman. Maka jika kamu tidak melakukannya, maka
ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangi
kamu�
Surah al-Baqarah, 278/279
Allah dan Rasul-Nya s.a.w. telah mengiystiharkan
perang terhadap pengamal riba. Semestinya di mana riba
(dan sistemnya) berleluasa di situlah medan jihad
kita. Jika kita tidak memahami sistem riba semasa,
maka kita tidak akan mengerti tipu helah dalam amalan
riba.
Kita akan terhenti setakat makna riba yang hanya
dikaitkan dengan kadar bunga atau faedah bank sahaja.
Kita tidak akan sedar jika riba terselindung dalam
sistem berlabel baru dan dikatakan pula bermoral.
Ertinya kita tidak akan mengenali �kuda trojan� sistem
riba. Kita juga tidak akan faham bahawa sistem mata
wang antarabangsa telah menjadi asas sistem riba
semasa.
Krisis mata wang sejak Mei 1997 yang kononnya bermula
dengan serangan ke atas baht Thailand menuntut kita
supaya lebih peka mengenai isu mata wang dan kaitannya
dengan riba. Permainan jual beli atau perang mata wang
yang dilakukan oleh George Soros dengan mudah telah
mengakibatkan banyak negara melutut kepada institusi
kewangan (institusi riba) seperti Dana Kewangan
Antarabangsa (IMF).
George Soros juga telah membangkang seruan kerajaan
Malaysia untuk mengharamkan perdagangan mata wang
(Financial Times 1997). Kita juga perlu soal bagaimana
mata wang telah menjadi suatu komoditi kemudian
perniagaannya dijadikan senjata untuk �menawan�
negara.
Kita sedang menyaksikan satu �peperangan�. Perang mata
wang atau perang riba! Ia bukan perang ketenteraan
lazim tetapi akibatnya tetap sama. Sepak mula yang
dibuat oleh George Soros dalam permainan/peperangan
mata wang telah menyaksikan Indonesia �rebah dan
terpaksa menyerah diri� kepada institusi riba iaitu
IMF. Camdessus melengkapkan plot perang riba apabila
Suharto terpaksa �menandatangani surat serah kuasa
kepada IMF�.
Kita bukan lagi berperang dengan bala tentera negara
asing. Jadi siapakah musuh kita dalam peperangan ini?
Apakah persediaan kita dalam peperangan ke atas
pengamal dan sistem riba? Kita mesti cuba memahami
tipu helah sistem kewangan moden termasuk sistem mata
wang mereka. Kita perlu mengetahui erti mata wang
Islam agar mata wang kita terbebas dan tidak lagi
tertambat kepada paksi mata wang dunia iaitu dolar
Amerika. Sudah tentu kita mahukan mata wang yang
�merdeka� dari rejim riba.
Negara gergasi seperti Rusia pun terpaksa tunduk
menyembah institusi riba seperti IMF apabila mata wang
ruble mereka merudum. Kita juga tahu bahawa
negara-negara Islam seperti Kazakhstan, Turkmenistan
dan lain-lain lagi yang dijajah Rusia terbebas bukan
melalui bedilan meriam tetapi kerana kerajaan Rusia
menghadapi masalah mata wang ruble tersebut. Selama
ini kita juga tidak menyangka semudah itu
negara-negara Islam di Selatan Rusia boleh mendapat
kemerdekaan. Sememangnya kegawatan kewangan memberi
pelbagai kemungkinan.
Riba
Secara amnya riba bermaksud lebihan. Ibn Rushd telah
membezakan riba kepada dua bahagian: Riba al-fadhl dan
Riba an-nasiah. Fadhl bermaksud lebihan sementara
Nasiah pula bermaksud penangguhan. Lebihan mungkin
terjadi kerana pertukaran barangan yang tidak sama
nilai. Lebihan juga boleh terjadi apabila terdapat
tambahan dikenakan kerana kelewatan atau penangguhan
membayar hutang. Ini boleh dikaitkan dengan konsep
faedah atau bunga yang umum sedia maklum.
Imran N Hosein, dalam bukunya The Importance of The
Prohibition of Riba in Islam telah menakrifkan riba
sebagai lebihan yang didapati melalui kaedah yang
tidak adil iaitu antara lain seperti melalui penipuan,
rasuah, helah perniagaan dan urus niaga spekulatif.
Riba juga berlaku dalam bentuk �pencurian yang sah�
(legalised theft) seperti terdapat di dalam sistem
perbankan (Imran, 1996). Ini mungkin boleh dijelaskan
kerana wang sebenar (emas dan perak) telah digantikan
secara paksa dengan wang buatan (artificial) yakni
kertas.
Di dalam Islam, pertukaran wang tidak dibenarkan jika
terdapat perbezaan nilai kerana ini melibatkan riba
walaupun dengan bertempoh masa. Wang sekarang telah
terjebak dalam sistem pertukaran yang rumit kerana
nilai wang setiap negara senantiasa berubah. Perubahan
nilai wang menurut masa (hari, jam malahan minit)
menyebabkan kita terperangkap dalam pertukaran wang
yang membolehkan lebihan didapati. Lebihan secara
helah indeks bandingan nilai wang telah menjadi begitu
penting sehinggakan terdapat pasaran mata wang.
Institusi Riba
Kita tidak ada pilihan lain kecuali menyifatkan
keseluruhan sistem kewangan sebagai berriba. Ini
bermakna sistem hubungkait rangkaian bank dan mega
bank (IMF, Bank Dunia dan lain-lain), pasaran saham
dan semua bentuk perniagaan yang dikendalikan oleh
protokol-protokolnya adalah sebenarnya kawalan kuasa
riba yang berselindung memerintah dunia melalui
organisasi-organisasi dan pegawai-pegawainya.
Organisasi-organisasi dan pegawai-pegawai itu tersebar
luas melalui sistem bank yang terkait secara langsung
dengan apa yang dipanggil kerajaan demokrasi dan
agensinya pada suatu pihak dan diktator boneka pada
pihak yang lain��.
Shaykh Abdalqadir (1984)
Musuh dan singgahsana kuasa dalam perang riba sukar
dikenali. Sudah tentu tidak semudah mengenali seorang
raja kerana setiap raja ada bertakhta atau bernegara.
Bicara kita ialah tentang musuh yang dapat merajai
semua raja, sultan, perdana menteri dan presiden.
Walau bagaimanapun tanda-tanda atau aktivitinya dapat
dikesan dari aktiviti institusi kewangan antarabangsa.
Peristiwa �serah negara kepada IMF� apabila Suharto
bersetuju dengan saranan IMF telah memperlihatkan
taring sebenar institusi riba atau rejim kewangan
antarabangsa. Bukan Indonesia sahaja yang
terperangkap. Korea Selatan, Thailand malahan Rusia
pun dalam �dakapan IMF�.
Apa yang ketara di sini ialah pemimpin negara tidak
berkuasa jika polisi-polisi kerajaan boleh ditentukan
oleh IMF, Bank Dunia ataupun institusi kewangan lain.
Urusan institusi riba ini ialah satu sistem
�pemerintahan� tanpa kesetiaan kebangsaan. Urusan
institusi riba seperti IMF dan Bank Dunia sebenarnya
tidak dapat berjalan lancar jika tidak ada antara lain
bank jalanan, bank nasional, konglomerat, mega bank
dan pasaran-pasaran abstrak seperti pasaran mata wang,
pasaran hadapan, pasaran saham dan aktiviti options.
Institusi perbankan selama ini pun memang sering
dikaitkan dengan riba dan dijadikan simbol institusi
penciptaan lebihan. Institusi perbankan mencipta
lebihan kerana dibenarkan mengadakan kredit atau
simbol wang tanpa sandaran harta hakiki seperti emas
dan perak. Institusi ini �menduitkan hutang� atau
mencipta lebihan melalui sistem sewa wang.
Aktiviti IMF dan Bank Dunia semakin jelas menampakkan
dunia ini dikawal oleh jaringan atau rangkaian bank
dan sistem kewangan antarabangsa. Ahli politik
seolah-olah hanyalah pelakon drama nasional yang
mengkaburi hanyutnya harta negara ke tangan rejim
kewangan antarabangsa. Politik dan pergolakan
kepartian menjadi perangkap pemesongan tumpuan kita
terhadap penjajahan oleh institusi riba ini. Akhirnya
negara hanya menjadi kuasa pusat terhad yang
kedaulatannya setakat memperlihatkan bendera negara
untuk arena sukan dan majlis perbarisan kemerdekaan
sahaja.
Ini bukanlah peperangan melawan sesebuah negara atau
menjatuhkan pemimpin negara. Jika salah fokus maka
kita tidak akan berupaya melihat kerenah dan kaedah
institusi riba mencengkam rakyat jelata termasuklah
pemimpin negara.
Bank adalah rumah berhalanya, rumah-rumah sucinya
adalah pasaran saham sedunia, kitab suci palsunya pula
ialah data-data bank, nombor-nombor yang mensihirkan
manusia sejagat. Dengan merekalah perang ini
diiystiharkan!�.
�..Ingat, sistem kawalan akhbar dan media hanyalah
untuk mengorak kamu melangkah ke dalam dialektik palsu
kiri dan kanan, pemerintah dan radikal,�.
��Walau bagaimana berminat sekalipun kamu untuk
memerangi seorang �raja� �(awaslah) ia adalah suatu
tarikan yang membahayakan nyawa kamu. Itu hanyalah
kain merah seorang matador � bukan matadornya.
Shaykh Abdalqadir (1984)
Sistem bank antarabangsa seperti IMF dan Bank Dunia,
bersifat seperti piramid. Kekukuhannya bersandarkan
tapak yang luas iaitu bank-bank lain di semua negara
di dunia. Paling utama untuk disedari ialah ia berdiri
di atas wang rakyat yang didepositkan ke dalamnya.
Jika kita berfikir seseorang itu adalah warak dengan
hanya menolak bayaran faedah maka musuh kita
sebenarnya sudah berjaya kerana itulah kehendak
mereka. Tindakan tersebut juga sebenarnya
memperkukuhkan lagi sistem mereka. Tidak mustahil
dikatakan wang simpanan dan faedahnya dalam akaun
orang Arab di bank-bank Barat boleh �bertukar menjadi
peluru� untuk menembak orang Palestin. Tiada kedudukan
�suci� apabila memperkatakan tentang sistem yang
membenarkan penciptaan kredit.
Mata Wang Riba?
Di suatu seminar Dana Kewangan Antarabangsa, para
ekonomi ternama tidak dapat bersetuju mengenai apakah
wang dan bagaimana bank menciptanya.
Wall Street Journal, Sept 24, 1971 (Kershaw, 1994)
Konsep mata wang dan kaitannya dengan riba perlu
difahami kerana mata wang sekarang telah menjadi
barangan yang dijual beli sambil menguntungkan
institusi riba. Kita perlu mendalaminya kerana mata
wang tidak sepatutnya dijadikan barangan sebenar.
Menurut Dr Mahathir mata wang tidak boleh dijual beli
kerana ia tiada nilai intrinsik (Mahathir, 1998). Wang
sekarang hanyalah kertas yang sah diperlakukan apabila
kerajaan membuat periystiharaan nilainya. Mata wang
sekarang sememangnya tiada nilai sebenar kerana tidak
diikat pada emas mahupun perak.
Sejak Ogos 1971, Presiden Nixon telah memutuskan
hubungan antara emas dengan wang kertas dolar Amerika.
Ketika itu pihak Amerika Syarikat telah mencetak dolar
dengan berlebihan tanpa berdasarkan simpanan emas
mereka kerana hendak membiayai Perang Vietnam (Smith,
1982). Tindakan tersebut sebenarnya satu penipuan
kerana memaksa dolar, iaitu kertas yang mereka cetak,
untuk diterima sebagai wang tanpa sebarang sandaran
lagi. Ini samalah dengan wang palsu yang dibenarkan.
Kesahihan dolar dan seterusnya semua wang yang
berpaksikan dolar mestilah dipersoalkan dari segi
undang-undang.
Kurtzman dalam bukunya The Death of Money berkata
Nixon telah menjadikan wang yang asalnya suatu yang
benar dan nyata kepada suatu abstraksi berbelit
(twisted abstraction) (Kurtzman, 1993). Dahulu wang
kertas adalah suatu nota janji atau resit untuk
tuntutan emas ataupun perak tetapi sekarang ia menjadi
nota janji untuk pembayaran apa kepada siapa? (It is
still a promise to pay. But to pay what to whom?).
Sejak itu pihak Amerika Syarikat bebas mencetak simbol
wang tanpa sandaran emas. Semua simbol wang di dunia
yang mengambil dolar sebagai bandingan pun turut
terapung kerana tiada sandaran hakiki lagi. Secara
efektifnya nilai wang telah menjadi nilai paksaan.
Ketiadaan piawaian sejati telah menyebabkan nilai wang
boleh dispekulasi dan dimanipulasi. Jalan penciptaan
lebihan (riba) mula dibuka dengan lebih luas.
Juenger (1956) telah lebih awal memberi amaran
tentang �kemusnahan wang� atau The Destruction of
Money dalam bukunya The Failure of Technology. Beliau
telah menulis bahawa sistem kewangan dan mata wang
ketika itu (selepas Perang Dunia Kedua) sedang
memasuki era kekeliruan kerana emas dikeluarkan dari
sistem mata wang. Itulah yang terjadi apabila mulanya
rejim kewangan dunia telah mengikat semua mata wang
kepada dolar Amerika menurut piawaian $35 seauns emas.
Akhirnya pada tahun 1971 semua mata wang hanya
berpandukan dolar yang telah terputus ikatannya dengan
emas.
Metamorfosis wang telah bermula dari harta sebenar
seperti emas dan perak menjadi kertas dan signal
elektronik yang disandarkan kepada emas dan akhirnya
menjadi simbol tanpa memerlukan sandaran emas. Wang
telah menjadi suatu sistem kepercayaan terhadap
angka-angka yang tiada realiti. Wang ini bukan milik
sesebuah negara lagi. Ringgit, baht, lira, ruble dan
sebagainya bukan milik mutlak sesebuah negara kerana
nilainya terpaksa menurut kehendak spekulator dan
pemanipulasi mata wang. Menambatkan mata wang kepada
dolar juga tidak bermakna mata wang kita bebas dan
merdeka kerana hakikatnya mata wang itu tetap
merupakan sebahagian dari struktur kewangan yang
dikuasai institusi riba.
Tradisi kewangan Islam tidak pernah mengabaikan emas
dan perak. Emas dan perak menjadi asas dalam zakat
mata wang, hukum hudud dan mas kahwin (Hakimi, 1999).
Simbol wang sekarang tidak ada kaitan dengan emas mahu
pun perak. Apabila tidak ada sandaran hakiki maka
mudahlah nilai wang sesebuah negara dispekulasi dan
dimanipulasi. George Soros dan orang sepertinya adalah
produk sistem mata wang tanpa sandaran ini. Simbol
wang tanpa sandaran meliputi wang kertas, wang
elektronik, saham, bon dan sebagainya. Jika kita
gelarkan simbol-simbol ini sebagai islamik pun kita
masih tidak dapat menjawab persoalan asas yakni
ketiadaan sandaran hakiki pada harta sebenar seperti
emas dan perak.
Institusi riba boleh mencipta/mencetak kredit atau
(simbol) wang lalu menjadikan kita terperangkap dengan
konsep �wang yang bukan wang�. Tanpa sandaran emas,
kita terjerat dalam permainan spekulasi dan manipulasi
institusi riba. Kini dunia wang sudah terbalik kerana
emas pula yang memerlukan sandaran pada wang kertas.
Biro (mata wang Amerika) mencetak anggaran 16 juta
wang kertas setiap hari. Biro ini berkuasa mencipta
wang sebanyak mana sekalipun. Yang membataskannya
ialah kelajuan mesin cetak dan kesediaan orang ramai
untuk menerimanya.
Government Securities, U.S. Bureau of Engraving
(Kershaw, 1994)
Semua mata wang terpaksa berpandukan takrifan
institusi riba. Takrifan ini pula berpandukan
sentimen, herd instinct dan keyakinan semata-mata.
Pada masa yang sama ahli riba seperti Geroge Soros dan
institusi riba seperti IMF dan bank-bank kepunyaan
keluarga Rothschild, Rockefeller, Lazard dan Lehman
turut boleh memanipulasikan nilai mata wang. Ini tidak
menghairankan kerana bank-bank kepunyaan
keluarga-keluarga tersebut adalah pemegang saham yang
berpengaruh dalam Federal Reserve Board (FED) kerajaan
Amerika (Gold-Eagle.com, 1999).
Kini jelas wang sekarang termasuklah wang kertas, wang
elektronik, saham, bon dan sebagainya merupakan
lambang wang semata-mata, yang tidak mempunyai ikatan
emas ataupun perak. Tanpa �sauh emas dan perak� wang
ini menjadi �terapung� dan bersifat spekulatif.
Perubahan nilainya sengaja dinanti-nantikan malahan
boleh dibuat-buat untuk para spekulator dan
pemanipulasi mengambil manfaat atau lebihan. Institusi
riba bertapak di atas ketidakpastian atau perubahan
nilainya. Mungkin boleh kita katakan wang sama ada
dolar atau semua wang yang berpaksikan dolar Amerika
adalah wang yang sesuai dengan sistem riba. Inilah
yang dikatakan �mata wang riba�.
Mata wang menurut tradisi Islam mestilah berasaskan
barangan sejati seperti emas dan perak. Mata wang itu
benar dan nyata (�ayn atau tangible). Lambang wang
sekarang seperti wang kertas, saham, bon dan
sebagainya hanya boleh dianggap sebagai resit hutang
(dayn atau promissary notes). Tetapi hukum Islam tidak
membenarkan hutang dijadikan bahan tukaran. Penggunaan
resit ini mestilah terhad kepada kontrak peribadi. Di
dalam Kitab Al-Muwatta (31.19.44) telah diriwayatkan
tentang resit-resit yang dijual beli di Pasar Al-Jar
sebelum barangan sampai. Marwan ibn al-Hakam telah
menghantar pengawalnya untuk mengambil semula resit
tadi dan mengembalikan resit itu kepada tuan asalnya.
�Umar Vadillo (1996) dalam kajian beliau telah
mendapati bahawa Shaykh Muhammad �Illish (1802-1881)
di Universiti Al-Azhar telah menfatwakan bahawa wang
kertas tidak dizakatkan. Ia hanya dianggap sebagai
fulus yakni wang syiling tembaga ataupun �duit pecah�
sahaja. Ia hanya mewakili wang dan tiada nilai
barangan. Jika hendak dizakatkan ia mesti dihisab
menurut berat kertas dan bukan menurut nilai tertulis
di atasnya. Perlu diingat bahawa ketika itu wang
kertas masih bersandarkan emas.
Untuk membebaskan diri dari mata wang anjuran rejim
riba, kita perlu kembali kepada paksi emas dan perak
menurut tradisi Islam. Mufti Mesir, Dr Nasir Farid
Wasil dalam hal ini pun telah menyeru supaya
ditegakkan kembali kekuatan ekonomi Islam berpaksikan
mata wang emas dan perak bagi menggantikan dolar
Amerika Syarikat (Utusan Malaysia, 1998a). Ibn Khaldun
dalam Kitab Muqaddimah juga telah menghuraikan tentang
emas dan perak sebagai paksi atau ukuran nilai
keuntungan dan harta. Ini bukan bermakna kita menolak
kemajuan dalam bidang teknologi, sebagai contoh sistem
wang elektronik. Apa yang paling penting ialah semua
lambang wang termasuklah wang dalam bentuk elektronik
(E-money) benar-benar berpaksikan emas dan perak dan
bukan cuma melambangkan statistik pertumbuhan negara.
Faedah Yang Tidak Berfaedah
Perbicaraan tentang riba lazimnya akan melibatkan juga
perbahasan tentang faedah ataupun bunga. Perbahasan
mengenai faedah sebenarnya tidak berfaedah. Persoalan
utama bukannya tentang bunga atau pun faedah.
�Persoalan pokok ialah tentang pokok itu sendiri�. Ini
bermaksud persoalan utama ialah tentang nilai simpanan
asal. Wang simpanan kita dikatakan �berbunga� atau
diberi faedah, lazimnya sekitar 10% tetapi apa gunanya
jika nilai wang boleh disusut nilai sehingga 600%
seperti yang berlaku di Indonesia. 2,500 rupiah suatu
ketika dahulu bersamaan dengan satu dolar Amerika
kemudian menjadi 16,000 rupiah apabila IMF campur
tangan di Indonesia (Utusan Malaysia, 1998b). Ini
bermakna setiap wang simpanan asal sebanyak 2500
rupiah hanya bernilai lebih kurang 15 sen Amerika
dalam sekelip mata sahaja. Bukannya bunga yang
didapati malahan �pokok asal telah ditebang� kerana
jika mulanya simpanan bersamaan dengan 1 dolar
Amerika, yang tinggal kini ialah 15 sen Amerika
sahaja.
Wang sekarang tidak bersandarkan nilai hakiki yakni
emas dan perak. Dengan demikian segala perbicaraan
tentang faedah menjadi tidak relevan kerana tiada
piawaian sejati untuk kita membuat bandingan tentang
�pokok dan bunga�. Fatwa Syakh Muhammad Abduh
(1845-1905) tentang halalnya faedah adalah tidak
berfaedah kerana kita terperangkap dalam terus-menerus
membahaskan fatwanya. Namun, fatwa itu tidak
membebaskan kita dari dipermainkan melalui susut nilai
wang oleh para spekulator. Kita berbahas tentang
�bunga� tetapi rejim riba melalui instrumen bank dan
pasaran abstraknya telah �menebang pokok kita�. Faedah
kini tidak bermakna terdapatnya tambahan atau lebihan.
Perbahasan tentang halal/haramnya faedah tanpa
memahami sifat kacau bilau mata wang sekarang hanya
akan memerangkapkan kita dalam perbahasan yang tidak
berkesudahan. Kita perlu kembali kepada hakikat wang
menurut Islam terlebih dahulu.
Bank Islam atau Mata Wang Islam?
Secara amnya tujuan utama sesebuah bank ditubuhkan
ialah untuk menyimpan harta supaya selamat.
Keselamatan ini mestilah dari segi jaminan kuantiti
dan kualiti ke atas barangan yang disimpan. Lazimnya
dahulu orang ramai menyimpan barang berharga mereka
pada tukang emas kerana mereka mempunyai peti besi
untuk tujuan menyimpan dengan selamat. Tukang emas
akan mengeluarkan resit dengan janji akan memulangkan
simpanan tersebut. Menurut Mohammad Muslehuddin (1974)
begitulah caranya tukang emas menjadi pelopor sistem
bank moden di England.
Dahulu emas dan perak digunakan sebagai wang dan
nilainya (beratnya) tidak berubah kerana sifat kimia
dan fizikal logam tersebut yang stabil. Tukang emas
ketika itu dapat menjamin nilai wang kerana berat emas
dan perak tidak akan berubah kecualilah dikikis oleh
tukang emas tersebut. Resit-resit tadi adalah juga
permulaan sistem wang kertas. Tukang emas juga boleh
menipu dengan mengadakan resit berlebihan dari deposit
emas. Begitulah juga cara pihak bank mencetak kertas
berlebihan kemudian meminjamkan kepada orang lain
sambil mengenakan faedah. Mereka mencipta wang dan
mendapat faedah secara percuma.
Dalam sistem perbankan sekarang resit atau wang kertas
sudah diberi realiti dan dianggap sebagai wang (bukan
setakat lambang) malahan dicetak tanpa bersandarkan
emas ataupun perak. Itulah yang terjadi apabila Nixon
memutuskan ikatan emas dengan dolar pada tahun 1971.
Lambang wang sudah menjadi wang. Kualiti wang sudah
tidak terjamin sebagaimana yang kita lihat dalam
fenomena kejatuhan nilai wang sesetengah negara
sehingga beratus-ratus peratus pada tahun 1997.
Perkara asas yang perlu diketengahkan ialah bank lazim
mahupun bank Islam tidak lagi dapat menjamin kualiti
wang. Pihak bank mungkin boleh menjaga kuantiti kerana
institusi tersebut dapat mencetak wang tanpa sandaran.
Jika tidak dapat menjamin kualiti wang, ini bermakna
sistem bank atas nama apapun sebenarnya sudah gagal
berfungsi. Ini seolah-olah peti besi tukang emas
(bank) sudah dicerobohi.
Penceroboh itu mungkin orang luar seperti spekulator
mata wang tetapi pihak bank juga boleh �mengikis�
nilai wang kerana pihak tersebut boleh mencetak wang
dengan berlebihan. Ada yang cuba mengatakan nilai ini
hilang kerana inflasi tetapi Adam Smith (1982) di
dalam bukunya Paper Money mengatakan inflasi bererti
cukai tersirat yang disebabkan oleh lebihan cetakan
wang kertas.
Spekulator mata wang dapat �merompak� nilai wang dalam
sistem bank atau sistem kewangan negara lain kerana
nilai wang sudah tidak dapat dikaitkan dengan barangan
yang nyata lagi. Nilai wang tidak dapat ditetapkan
bahkan manusia melihat lambang wang pula sebagai
barangan yang boleh dijual beli. Akhirnya nilai wang
tidak dapat dikawal oleh kerajaan tetapi dikawal selia
oleh hegemoni perbankan, pencetak wang dan yuppies.
�Matinya Wang dan Bank�
Kurtzman (1993) apabila memerihalkan tentang �kematian
wang� dalam buku The Death of Money berkata bahawa
sekarang wang bukan lagi barangan tetapi telah menjadi
suatu sistem. Wang ialah rangkaian yang terdiri dari
berjuta-juta komputer yang bertaut dengan saham, bond,
kadar faedah, wang kertas, pasaran hadapan, options,
kad kredit, kad untuk fotokopi dan sebagainya.
Perhatikan bahawa wang ini tidak lagi memerlukan peti
simpanan ataupun bank kerana semua �wang� berada di
dalam cakera padat sahaja. Wang ini mudah �meruap� dan
tidak stabil. Inilah wang megabyte atau wang-E
(elektronik). Wang ini hanyalah imej di skrin komputer
dalam bentuk indeks termasuklah indeks Dow Jones dan
BSKL, indeks mata wang, indeks pasaran hadapan dan
pelbagai lagi indeks pasaran abstrak. Berjuta-juta
orang termasuklah pelabur dalam syarikat, ahli bank,
pemegang akaun bank, pemain saham dan pengurus dana
terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam
pergerakan indeks wang ini. Sudah tentu pemain indeks
ternama seperti George Soros dapat �bermain� dengan
selesa. Permainan turun-naik indeks mata wang bukan
sahaja menguntungkan para spekulator ini bahkan boleh
pula menentukan jatuh bangunnya kerajaan.
Jika peti simpanan tidak diperlukan lagi untuk
menyimpan wang maka bank juga tidak diperlukan lagi.
Menurut Kurtzman lagi, era wang-E telah menjadikan
bank sebagai institusi yang outmoded atau ketinggalan
zaman. Matinya wang bermakna matilah juga sistem bank.
Sistem bank hidup pada amnya di atas dasar menyewakan
wang tetapi sekarang riba dalam bentuk sewa wang pun
sudah tidak begitu menguntungkan. Sistem bank menjadi
lapuk kerana pengurus dana seperti George Soros boleh
mempermainkan sistem bank. Mereka dapat menguruskan
dana dan mendapat untung tanpa perlu pelaburan yang
besar. Hanya berbekalkan sebuah supercomputer sahaja
sudah memadai untuk bermain dengan bermacam-macam
jenis indeks dalam pelbagai pasaran abstrak. Pihak
bank pula terpaksa berbelanja untuk mengadakan
antaranya bangunan bank, beribu-ribu pekerja dan
kenderaan sebelum boleh beroperasi dan mengira
untung-ruginya.
Kita perlu pertimbangkan di sini iaitu jika sistem
mata wang Islam tidak wujud maka sistem bank Islam
tidak dapat membebaskan diri dari sistem perbankan
lazim. Oleh kerana semua mata wang dan lambang wang
yang berkaitan sudah terjalin dalam suatu sistem maka
ianya tidak bebas dari spekulasi dan manipulasi.
Sistem itu pula memang sistem yang ditaja oleh rejim
riba. Seperti sistem bank lazim, bank Islam juga tidak
akan berupaya untuk menjamin nilai atau kualiti wang
sekarang. Kualiti wang akan sentiasa ditakrifkan oleh
sistem riba yang berdasarkan dolar Amerika. Rejim riba
akan terus bermaharajalela menakrifkan dan
mempermainkan wang orang lain. IMF; Bank Dunia; FED;
bank-bank kepunyaan keluarga Rothschild, Rockefeller,
Lehman dan sebagainya; bank-bank jalanan, spekulator
dan pemanipulasi mata wang termasuk yuppies sudah
menunjukkan bahawa wang sebenarnya tidak terjamin -
walaupun disimpan di dalam bank. Jika sistem perbankan
Islam tidak cuba memisahkan mata wang dari piawaian
dolar Amerika maka bagaimanakah kita boleh bebas dari
rejim riba? Tanpa mata wang Islam yang merdeka, bank
Islam juga tidak dapat bebas dari pengaruh institusi
riba.
�Umar Vadillo (1998) pernah menyoal iaitu bagaimana
pula ketika dunia sedang mengkritik sistem perbankan,
kita dapat pula bercakap tentang islamisasi sistem
tersebut? Mungkinkah pemikiran islamisasi bank timbul
dari keadaan psikologi yang lemah kerana terpaksa
menurut permainan orang lain sehinggakan mahu
�mengislamkan� permainan palsu mereka? Ketika sistem
perbankan sudah mula kelihatan lapuk kita terpaksa
menilai semula apakah sebenarnya akar umbi sistem
kewangan. Bukankah wang menjadi asas sistem kewangan?
Kita perlu serius memahami erti mata wang menurut
Islam. Jika bank tidak dapat menjaga kualiti wang maka
sebenarnya bank sudah tidak berfungsi lagi. Mungkin
benarlah �matinya wang� membawa kepada �matinya bank�
juga.
Rumusan
Perang riba atau keserabutan krisis kewangan global
sekarang telah memperlihatkan beberapa buah negara
�ditumbangkan� oleh institusi riba seiring dengan
kejatuhan nilai mata wang masing-masing. Untuk
kebebasan bermata wang, kita perlu mencari jawapan
dengan kembali kepada amalan Islam. Sejarah Islam
dengan jelas memperakui emas dan perak sebagai ukuran
wang. Piawaian ini tidak boleh dimakan usia, reput,
susut timbangan atau dicetak. Emas dan perak juga
tidak boleh �dibiakkan� sebagaimana kata Ezra Pound di
Eropah dalam tahun 1937 bahawa �logam tidak boleh
beranak-pinak�. Perlu diingat juga, perjuangan anti
riba oleh beliau seperti terserlah dalam puisinya
Usura Contra Naturam - (riba bertentangan dengan
fitrah) telah menyebabkan beliau ditangkap, dipenjara
dan dituduh gila oleh elit riba Barat (Ahmad Thompson,
1997).
Keperluan kepada piawaian wang yang sejati adalah
penting kerana jika mata wang dapat ditakrifkan atau
menurut sistem mata wang dolar Amerika, ini bermakna
mata wang kita tidak merdeka. Kekukuhan dalam bermata
wang kini sudah sinonim dengan kemerdekaan negara.
Mengadakan sistem perbankan Islam tanpa menegakkan
sistem mata wang Islam masih lagi tidak mencukupi
untuk membebaskan kita dari cengkaman institusi riba.
Sistem tersebut tidak dapat menjamin kualiti mata wang
kerana nilainya masih tertambat pada dolar Amerika.
Dalam keserabutan mata wang, kita lihat pihak bank
juga tidak dapat menjamin bahawa �faedah itu
benar-benar berfaedah�. Dalam mencari alternatif yang
islamik kita harus waspada supaya tidak terperangkap
dalam sistem riba berbentuk �kuda trojan�.
Sememangnya sistem kewangan semasa mempunyai tabiat
mudah dispekulasi dan dimanipulasi kerana ketiadaan
piawaian sejati. Sistem ini berriba dan perlu
diperangi. Walau apapun, kepercayaan kita kepada
sistem mata wang tanpa sandaranlah yang menjadikan
pihak rejim riba berkuasa.
Sungguhpun ada yang berasa selesa jika mata wang
ditambat kepada dolar tetapi dolar itu sendiri tidak
�ditambat� pada �sauh yang hakiki�. Gejala LTCM
sepatutnya mengingatkan kita bahawa dolar juga boleh
�hanyut�. Gejala LTCM juga telah menunjukkan kepada
kita bahawa model ekonomi menurut buku teks sudah
lapuk (Hardev Kaur, 1999). Pendirian menolak emas
kerana dikatakan tidak praktikal juga perlu dikaji
semula kerana sistem sekarang yang kononnya praktikal
telah mempersendakan kedaulatan banyak negara.
Sistem palsu tetap akan runtuh. Tugas kita bukanlah
menyelamatkan atau �mengislamkan� sistem yang palsu
sambil menerima piawaian palsu dolar Amerika. Tugas
kita ialah mentakhtakan piawaian emas dan perak semula
dalam urusan kewangan menurut tradisi Islam. Jika
orang Eropah memulakan mata wang euro kenapa orang
Islam tidak ke hadapan dengan mata wang Islam?
George Soros selain menyusahkan kita sebenarnya telah
membuktikan bahawa sistem kewangan Barat adalah sistem
yang rapuh dan tidak kebal. Sekarang adalah masa untuk
meninggalkan permainan spekulatif Barat dan bukan
untuk bermain dengan lebih islamik. Akhir sekali
inilah masanya untuk memahami helah riba dalam sistem
kewangan semasa dan seterusnya mengorak langkah
kemenangan dalam perang riba.
RUJUKAN
Ahmad Thompson (1997). Dajjal the AntiChrist (revised
edition). London: Ta- Ha Publishers.
Almuwatta (1989). Almuwatta of Imam Malik ibn Anas -
The First Formulation of Islamic Law. Terjemahan oleh
Aisha Bewley. Granada, Spain: Madinah Press.
Financial Times (1997) Asian currency crisis: Soros
hits at Mahathir�s currency trade proposal. 22/9/97.
http://www.ft.com/
Gold-Eagle.com (1999) The Dollar (FED), The Euro and
Gold.
http://www.gold-eagle.com/editorials_99/goldfinger062999.html
Hakimi Ibrahim (1999) Hudud, dinar dan mas kahwin.
Wacana Islam, Utusan Malaysia, 23/4/99
Imran N Hosssein (1996) The Importance of the
Prohibition of Riba in Islam. Kuala Lumpur: Ummavision
Resources.
Juenger, F. (1956) The Failure of Technology (The
Destruction of Money). Chicago: Henry Regnery Company
Kaur, H. (1999) Textbook remedies shown to be
impractical in managing economy.
New Straits Times, 22/7/99.
Kershaw, P. (1994) Economic Solutions. Peter Kershaw
Publication.
Kurtzman, J. (1993) The Death of Money. New York:
Simon and Schuster
Mahathir Mohamad (1998). Stable Ringgit Seen as Key
to Recovery. 2/9/98
Wawancara dengan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di TV,
http://straitstimes.asia1.com.sg/klc/klc7_0902.html
Mohammad Muslehuddin (1974) Urusan Bank dan Hukum
Islam. Terjemahan Izuddin Hj Mohamad 1988. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shaykh Abdalqadir al-Murabit (1984) The Sign of the
Sword. London: Madinah Press.
Smith, A. @ George J.W. Goodman (1982). Paper Money.
London & Sydney: Futura Macdonald & Co.
�Umar Ibrahim Vadillo (1998) Petikan wawancara
peribadi di Kuala Lumpur, 5/5/98
�Umar Ibrahim Vadillo (1996) The Return of The Gold
Dinar. Granada, Spain: Madinah Press.
Utusan Malaysia (1998a) Mata Wang Emas disaran Ganti
Dolar AS. 4/6/98
Utusan Malaysia (1998b) IMF tidak menjamin pemulihan.
15/7/98
__________________________________
Do you Yahoo!?
Yahoo! Finance: Get your refund fast by filing online.
http://taxes.yahoo.com/filing.html
____________________________________________________
Berhenti/mengganti konfigurasi keanggotaan anda, silahkan ke:
http://groups.or.id/mailman/options/rantau-net
____________________________________________________