Mei bulan unik P. Ramlee, Piala Dunia

Ruang & WaktuM oleh Adam A. Kadir
Bulan Mei yang akan tiba beberapa hari lagi merupakan bulan yang bukan sahaja bersejarah malah yang paling sibuk. Biasanya di Malaysia bulan Mei dikaitkan dengan Hari Buruh dan ulang tahun tragedi 13 Mei, 1969, juga meninggalnya P. Ramlee. Bagi tahun ini terdapat pula dua lagi peristiwa besar: Piala Dunia dan Piala Thomas.

Pada 29 Mei nanti, genaplah ulang tahun ke-29 meninggalnya P. Ramlee. Untuk pertama kali angka 29 berganda. Ulangan begini tidak akan berlaku lagi. Justeru, saya perkatakan sedikit tentang manusia istimewa ini. Ada tiga orang manusia yang terlintas dalam fikiran saya apabila terkenangkan P. Ramlee. Mereka ialah Jurid Harun, Jamil Sulong dan Tengku Ahmad Rithauddin.

Jurid ialah sepupu P. Ramlee; Jamil, rakan sejawat; Tengku Rithauddin, bekas menteri (Ku Din), kawan sedarjah. Kalau masih ada, P. Ramlee kini masuk usia 73 tahun, sama dengan umur Ku Din. Mereka adalah rakan sedarjah ketika menuntut di Penang Free School 60 tahun dahulu.

Ramlee masuk Penang Free School dari Francis Light School, kata Ku Din. ``Ramlee memang menarik. Seronok apabila bersama dia. Dia sibuk main biola dan mandolin sejak darjah enam lagi. Sebab itu dia tak maju dalam pelajaran.''

Ku Din menambah, apabila beliau berkunjung ke Lhoksumawe, Acheh, beliau nampak gambar P. Ramlee memenuhi dinding sebuah rumah di sana. Tidak hairanlah, kata Ku Din, bapa Ramlee, Teuku Puteh, berasal dari situ.

Arwah Jurid berhijrah ke Kuala Terengganu dari Pulau Pinang apabila P. Ramlee pergi ke Singapura memasuki dunia filem dalam tahun 1948. Ibu Jurid dan ibu P. Ramlee adalah adik-beradik. Sebuah gambar yang dipamerkan di Muzium Negara dan disiarkan dalam buku Seniman Agung karya Zakiah Hanum menunjukkan mereka berdua duduk bersila di kalangan 24 orang kawan sama sekolah sebagai juara kriket 1939, Francis Light School.

Dalam tahun 1966, saya menyertai keluarga Jurid mengunjungi P. Ramlee di Jalan Bunga Dedap, Setapak. Ketika itu ibu dan abang Ramlee (dari bapa lain) ada sama. Beliau mengulangi cerita tahun 1962 bagaimana ketika beliau berada di rumah Jurid di Kuala Terengganu, ramai yang memanjat pokok di sekitar rumah untuk melihatnya.

Jamil Sulong pula menyimpulkan dalam bukunya Kaca Permata bahawa Ramlee lahir lebih awal daripada tahun 1929, tetapi kesimpulan ini tinggal kesimpulan. Jamil, isterinya Rosnani dan anaknya Anwardi beranggapan Ramlee bukan terbaik, tetapi seorang yang boleh melakukan banyak perkara. Namun, anggapan itu tidak berapa tepat kerana Ramlee terbukti terbaik dalam banyak aspek: pelakon terbaik Asia 1957 dalam filem Anakku Sazali, penggubah lagu terbaik Asia untuk filem Hang Tuah, 1956, seniman serba boleh The most versatile talent dalam filem Ibu Mertuaku, 1962, dan pengarah beberapa buah filem komedi, belum lagi dikira cinematography.

Sayangnya tidak ada rakannya yang lain yang memenangi walau salah satu aspek yang dimenangi Ramlee di peringkat Asia sebegitu. Bagaimanapun, Jamil berperanan penting di sebalik kejayaan senikata beberapa lagu ciptaan Ramlee. Lagu-lagu yang masih evergreen, yang saya nyanyikan menurut mood yang sesuai, ialah Berkorban, Tiada Kata Secantik Bahasa dan Bulan Dan Juga Angin. Senikatanya datang dari bakat seni Jamil Sulong.

Untuk dunia sejagat, kejuaraan badminton dunia yang berlambangkan Piala Thomas tidak begitu penting berbanding dengan Piala Dunia sebagai lambang keagungan bola sepak yang dijangka akan ditonton oleh lebih dua bilion manusia, atau sepertiga daripada jumlah penduduk dunia. Dengan kata-kata lain, kalau dahulu Ummi Kalsum dari Mesir menyatukan bangsa Arab apabila beliau menyanyi, begitu juga Piala Dunia kini menyatukan tumpuan minat penduduk dunia, kecuali penduduk Amerika Syarikat (AS).

Pernah dikatakan orang, kalau awal-awal lagi kejuaraan Piala Thomas dan Piala Dunia diserahkan kepada AS, tentunya kedua-dua permainan ini akan menarik wang berlipat ganda lebih lumayan. Sayangnya, apabila Piala Thomas mula-mula diadakan di England dalam tahun 1949, Malaya (sebelum Malaysia) memenanginya, sedangkan pemain terbaik dunia ketika itu ialah Dave Freeman dari AS yang mengalahkan kedua-dua pemain utama Malaya, Wong Peng Soon dan Ooi Teck Hock.

Kiranya Piala Thomas dibawa pulang oleh AS pada tahun itu, ditambah pula dengan kehadiran pemain terbaik dunia itu, saya percaya pasti badminton berkembang rancak di sana, taraf profesionalnya sudah lama bermula, justeru menjanjikan pendapatan lumayan untuk pemain-pemain, seperti yang dinikmati oleh pemain-pemain profesional tenis sekarang ini.

Satu budaya AS ialah ia tidak tahan melihat pihak yang kalah. Sikap begini juga ditunjukkan terhadap bola sepak. Walaupun Piala Dunia 1994 yang diadakan di sana merupakan suatu kejayaan besar, namun sambutan yang diterima terbatas kepada dua juta penduduknya daripada jumlah 265 juta, tidak sampai satu peratus. Kejayaan kewangan datangnya daripada siaran TV ke seluruh dunia.

Kalaulah AS menang Piala Dunia dalam tahun 1930 dan 1934 (kejuaraan pertama dan kedua yang disertainya) sudah tentu permainan ini menjadi permainan utama, mungkin kini mengatasi American football, baseball dan bola keranjang.

Sebaliknya, percubaan yang bersungguh-sungguh untuk mempopularkan badminton di AS nampaknya tidak begitu berkesan. Mengadakan kejuaraan dunia di sana beberapa kali, juga tidak meninggalkan kesan positif. Dalam Olimpik 1996 di Atlanta, AS, apa yang boleh dianggap menggalakkan ialah adanya bintang filem terkenal, Paul Newman, yang sentiasa kelihatan menonton acara badminton ini. Selain daripada itu, badminton bagaikan tidak bermaya lagi.

Liga bola sepaknya yang dipanggil Major League Soccer (MLS), walaupun hidup, namun tumpuan minat terhadap liga-liga ini jauh lebih terbatas daripada minat yang ditunjukkan untuk permainan lain yang disebutkan di atas.

Oleh itu apabila dikatakan dunia demam kerana Piala Dunia yang bermula di Seoul, Korea, pada 31 Mei nanti, maka demam itu tentunya tidak meliputi sebahagian besar penduduk AS, kuasa nombor satu dunia.

Sebaliknya, badminton dan Piala Thomas pun sudah semakin kurang diminati di Malaysia. Dirasakan seolah-olah tidak ada demamnya lagi bagi orang Malaysia menghadapi kemungkinan skuadnya memenangi piala ini pada minggu kedua bulan Mei di Guangzhou, China, nanti. Ini mungkin disebabkan oleh tarikan permainan lain yang tiap-tiap hari mendapat liputan TV menerusi pelbagai saluran.

Contohnya, kehadiran pemain-pemain penting dunia dari Indonesia, China, Denmark, India dan England tidak berjaya menarik penonton untuk memenuhi stadium tertutup di Shah Alam, tidak seperti 10 tahun dahulu, apabila Stadium Negara sentiasa full house.

Di Bangkok dalam bulan November 2001, saya menonton pertandingan akhir Terbuka Thailand antara Yong Hock Kin dari Malaysia dengan juara Thailand, yang dimenangi oleh Hock Kin.

Kegembiraan terhadap kemenangan pemain Malaysia ini diatasi oleh rasa sedih saya kerana mengenangkan betapa berkurangnya kini minat orang Thai terhadap badminton.

Memandangkan kurangnya kehadiran, penonton diberi masuk percuma. Itupun, jumlahnya tidak lebih seribu orang. Bandingkan pula ketika pusingan akhir Piala Thomas diadakan di Bangkok dalam tahun 1976. Ketika itu saya dapati orang Thai sangat berminat.

Stadium Hua Mak tiap-tiap malam penuh. Tiket yang berharga RM25 (menurut nilai wang Malaysia) adalah yang paling mahal untuk era itu bagi acara badminton di sebelah sini. Wajah Encik Khir Johari (kini Tan Sri) sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia terpampang di TV Malaysia tiap-tiap malam.

Seorang pemain Thai, Chanarong Rattanasengsuang, adalah salah seorang daripada tiga orang pemain terkemuka dunia apabila Tan Aik Huang menjuarai perseorangan All-England dalam tahun 1966 (pemain Malaysia terakhir memenanginya). Pemain yang seorang lagi ialah Erland Kops dari Denmark. Hakikatnya, kini Denmark masih tegap menyaingi Malaysia, sedangkan Thailand sudah jauh menurun.

Dengan adanya Piala Dunia dan Piala Thomas, dan gandaan angka 29 meninggalnya P. Ramlee, maka Mei 2002 adalah paling panjang rasanya dan paling unik.



MSN Photos is the easiest way to share and print your photos: Click Here
RantauNet http://www.rantaunet.com Isikan data keanggotaan anda di http://www.rantaunet.com/register.php3 =============================================== Mendaftar atau berhenti menerima RantauNet Mailing List di http://www.rantaunet.com/subscribe.php3 ATAU Kirimkan email Ke/To: [EMAIL PROTECTED] Isi email/Messages, ketik pada baris/kolom pertama: -mendaftar--> subscribe rantau-net [email_anda] -berhenti----> unsubscribe rantau-net [email_anda] Keterangan: [email_anda] = isikan alamat email anda tanpa tanda kurung ===============================================

Kirim email ke