Daya kreatif Melayu lahirkan peradaban
Oleh Zin Mahmud
(WARTAWAN UTUSAN)
Kertas kerja pertama yang dibentangkan dalam Persidangan Peradaban Melayu Antarabangsa di kuala Lumpur semalam, menumpukan perhatian kepada seni bina Melayu.
Dengan tajuk Seni bina Melayu sebagai gambaran kediaman aman damai: Satu pandangan terhadap rumah Melayu dari segi kejuruteraan awam, pembentangnya, meletakkan usaha mewujudkan kediaman aman damai sebagai faktor asas. Walaupun kertas kerja ini memaparkan tentang soal-soal teknik dan struktural rumah tetapi mesejnya dalam kajian peradaban Melayu adalah jelas.
Bagi orang Melayu yang semakin ramai sudah tidak tinggal dalam rumah Melayu, kepentingannya menjadi bertambah ketara. Nostalgia terhadap rumah ibu bapa atau datuk nenek menunjukkan betapa orang Melayu kehilangan sesuatu kerana sudah tidak tinggal dalam rumah tradisinya. Pembentang kertas kerja ini ialah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Ir. Dr. Mohammad Noor Salleh.
Beliau menyatakan sememangnya rumah Melayu diwujudkan pada era pertanian dan memenuhi keperluan mereka pada zaman itu. Sedangkan zaman kini sudah berubah kepada industri dan pengetahuan dengan banyak orang hidup didalam rumah moden seperti banglo, teres dan kondominium. Tetapi keperluan sosiobudaya Melayu masih tidak berubah. Mereka masih memilih untuk memiliki ruang luas, kebebasan bergerak, hubungan kekeluargaan yang berlanjutan yang mana tidak dapat disediakan oleh kebanyakan rumah moden.
Ada semacam bayangan oleh pembentang kertas kerja supaya orang Melayu kembali tinggal dalam rumah seni bina Melayu untuk memenuhi keperluan sosiobudaya bangsa ini.
Dari sudut lain dapat dilihat bahawa perhatian terhadap soal hidup aman damai dan selesa melalui seni bina menunjukkan ia sebagai hasil daripada peradaban Melayu. Seni bina Melayu merupakan hasil kreatif peradaban bangsa yang lahir daripada interaksi orang Melayu untuk hidup dalam suasana persekitaran tropika yang tenteram.
Memang kena pada tempatnya bagi penganjur seminar ini meletakkan soal seni bina rumah Melayu sebagai tajuk kertas kerja pertamanya kerana mesej ketenteraman yang menjadi sifat kehidupan masyarakat Melayu.
Persidangan Antarabangsa Peradaban Melayu pertama ini dianjurkan oleh UPSI sempena perayaan ulang tahunnya ke-80 dan penubuhan Institut Peradaban Melayu. UPSI yang terletak di Tanjung Malim, Perak ditubuhkan sebagai Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) pada tahun 1922.
Institut Peradaban Melayu yang diketuai oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Asmah Omar melakukan kajian terhadap peradaban Melayu yang meliputi bahasa, kesusasteraan dan kebudyaaan.
Kertas kerja beliau bertajuk Geolinguistik dan penyebaran bahasa Melayu. Bahasa adalah satu lagi hasil daya kreatif Melayu yang merupakan sebahagian daripada peradaban.
Beliau cuba mengemukakan kerangka kerja teoritikal tentang penyebaran bahasa dalam sesuatu kawasan geografi.
Baginya, konsep dunia Melayu tidak semestinya berlandaskan kepada bahasa. Tetapi ia tetap merupakan suatu ciri peradaban. Namun begitu, seorang lagi pembentang kertas kerja, Datuk Dr. Adi Taha menggambarkan bahawa bahasa seperti alat-alat lain yang diciptakan oleh sesuatu kumpulan manusia untuk melangsungkan kehidupan mereka turun-temurun.
Beliau yang meletakkan peradaban sebagai usaha kreatif sesuatu kumpulan manusia untuk hidup dengan mengikut rentak alam persekitaran masing-masing.
Beliau yang merupakan Ketua Pengarah Jabatan Muzium dan Antikuiti membentangkan kertas kerja bertajuk Peradaban yang hilang di Malaysia.
Dengan menggunakan slaid, beliau menunjukkan usaha-usaha mencari peradaban prasejarah yang wujud di negara ini. Daripada gua-gua di Kelantan hinggalah kepada Tasik Chini di Pahang. Semuanya menunjukkan wujudnya peradaban yang silam di negara ini.
Mungkin penduduk negara ini tidak memiliki bangunan mercu tanda sejarah silam seperti Borobudur di Indonesia dan Angkor Wat di Kemboja tetapi itu tidak bermakna bahawa peradaban tidak wujud. Hasil daripada kajian arkeologi ini menunjukkan betapa penduduk awal negara ini menghasilkan daya kreatif yang membentuk peradaban dalam usaha untuk melangsungkan kehidupan.
Mungkin kajian bertaraf dunia yang berpusat di Barat melihat tamadun-tamadun besar di China, India, Mesopotamia dan Mesir tetapi menganggap Asia Tenggara khususnya dunia Melayu sebagai ketandusan peradaban.
Namun begitu, jika diambil keseluruhan dunia Melayu, akan dapat dikesan bahawa wujud peradaban yang setanding dengan apa yang berlaku di bahagian-bahagian dunia lain kerana ia merupakan proses usaha manusia melahirkan daya kreatifnya untuk hidup.
Tiga kertas kerja lain yang dibentangkan semalam ialah Perbankan Islam dan Titik Pertemuannya Dengan Tradisi Ekonomi Melayu yang dibentangkan oleh Datuk Dr. Abdul Halim Ismail, Dimensi Intelektual Revolusi Indonesia oleh Profesor Dr. Taufik Abdullah dan Pemikiran Melayu Tradisional dan Globalisasi oleh Profesor Datuk Dr. Osman Abu Bakar.
Dr. Abdul Halim menunjukkan betapa perbankan Islam yang dihasilkan oleh Malaysia merupakan usaha kreatif penduduk negara ini, dan ia boleh disifatkan sebagai salah satu komponen peradaban Melayu. Di sinilah dilihat bagaimana suatu sistem perbankan Islam dicipta bagi memenuhi keperluan orang Melayu untuk menyertai sistem kewangan moden tetapi selaras dengan kepercayaan agama.
Akhirnya kini sistem itu diterima oleh masyarakat perbankan dunia, termasuk bukan Islam. Malah, seperti kata Dr. Abdul Halim, orang Melayu sendiri harus malu kerana ada antaranya yang masih tidak mahu menyertai perbankan Islam walaupun sistem ini telah digunakan dengan jayanya termasuk dalam pembiayaan Lapangan Lumpur Antarabangsa Terbang Kuala (KLIA).
Perbankan Islam lebih-lebih lagi dalam era pasca 11 September ini berkaitan juga dengan globalisasi. Bagi Dr. Osman pula gelombang globalisasi pada masa akan datang, kedudukan orang Melayu Islam hanya akan menjadi bertambah buruk.
Baginya, telah berlaku tiga gelombang globalisasi yang dihadapi oleh orang Melayu. Gelombang pertama ialah ketika Islam datang ke rantau ini. Ia merupakan perkembangan positif dengan Melayu mencapai kedudukan peradaban tinggi melalui kesultanan Melaka dan lain-lain kerajaan Islam ketika itu.
Gelombang kedua globalisasi berbentuk penjajahan Barat dan mengenakan pukulan kepada orang Melayu. Walaupun kemudian penjajahan ini berakhir dengan penjajahan, tetapi gelombang ketiga globalisasi yang sedang berlaku merupakan ancaman yang tidak dapat dijangka natijahnya terhadap orang Melayu.
Di sini ada baiknya dirujuk kertas kerja Taufik yang menumpukan perhatian tentang daya kreatif intelektual yang wujud sekitar Revolusi Indonesia.
Revolusi Indonesia bukan sekadar perjuangan menuntut kemerdekaan. Tetapi ia merupakan satu ciri usaha intelektual penduduk Indonesia untuk merubah kehidupan mereka. Apa yang berlaku pada tahun-tahun 1940-an itu dipaparkan oleh Taufik. Tetapi mesej di sebaliknya ialah inti pati revolusi yang melahirkan gagasan Indonesia. Indonesia kini mungkin hanya sebuah negara seperti banyak lagi negara lain. Tetapi revolusi yang mencetuskannya itu mengandungi idealisme tersendiri untuk mewujudkan satu dimensi peradaban baru.
Dalam hal ini, pengerusi semasa sesi pembentangan kertas kerja beliau itu, Profesor Datuk Dr. Shaharil Taib memberikan ulasan yang menerjah fikiran.
Beliau menyebut betapa bendera Indonesia berwarna merah putih. Tetapi itu jugalah warna bendera Singapura dan UMNO. Secara tidak langsung, ia menujukkan kesan besar pemikiran revolusioner itu terhadap rantau ini.
Tetapi dalam pada itu bukan saja UMNO yang mempunyai bendera merah putih. Parti-parti politik Melayu lain iaitu Pas, Parti Rakyat Malaysia dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB).
Kalau hendak dikenang, pemikiran Revolusi Indonesia pasti mencorak pemikiran penuntut-penuntut SITC hingga ada antara mereka yang menceburkan diri dalam perjuangan menuntut kemerdekaan melalui Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya.
Dr Shaharil yang merupakan Pengarah Eksekutif Institut Asia-Eropah (AEI) Universiti Malaya (UM) juga menyebut tentang gugusan kepulauan Melayu yang merupakan `saluran darah' bagi Barat.
Amerika Syarikat (AS) dan Eropah akan sentiasa melihat Asia Tenggara ini sebagai pembekal keperluan mereka. Apa yang menjadi perkiraan adalah semata-mata bahan-bahan mentah bagi keperluan peradaban Barat, baik semasa penjajahan mahupun sekarang.
Gambaran yang beliau berikan ialah Barat tidak begitu mengambil berat tentang manusia, budaya dan peradaban rantau ini berbanding dengan perhatian mereka terhadap minyak dan sumber alam lainnya.
utusan 1 oktober 2002- 24 rejab 1423
Chat with friends online, try MSN Messenger: Click Here
RantauNet http://www.rantaunet.com Isikan data keanggotaan anda di http://www.rantaunet.com/register.php3 =============================================== Tanpa mengembalikan KETERANGAN PENDAFTAR ketika subscribe, anda tidak dapat posting ke Palanta RantauNet ini. Mendaftar atau berhenti menerima RantauNet Mailing List di: http://www.rantaunet.com/subscribe.php3 ===============================================

