rencana

Perpaduan kunci kejayaan

Oleh:INDRAWAN MD. YATIM
SEKALI lagi sejarah mengajar orang Melayu untuk lebih dewasa dan matang, setelah berkurun-kurun disepakterajang oleh bangsa lain.

Bangsa Melayu kini tidak sanggup ada watak lagi seperti Sultan Abdullah ( Sultan Kedah ) yang terlalu percaya kepada Francis Light sehingga terperdaya menyebabkan Pulau Pinang ( 1786 ) jatuh ke tangan Inggeris.

Kita juga tidak sanggup ada watak seperti Raja Abdullah kerana sikapnya yang tidak berhati-hati dan tidak mengambil iktibar sejarah, telah mengulangi kesilapan Sultan Kedah.

Tindakan Raja Abdullah meminta pertolongan Inggeris, telah menyebabkan Perak terpaksa tunduk kepada Inggeris.

Dan kesan yang lebih besar melalui Perjanjian Pangkor 1874, bermulalah dasar campur tangan Inggeris secara lebih teratur dilakukan ke atas Tanah Melayu dan menjadikan orang Melayu hamba di rumah sendiri.

Dua peristiwa ini mengajar kita untuk jangan terlalu percaya kepada kuasa asing yang sememangnya akan sentiasa mengintai dan mengambil peluang untuk menjahanamkan bangsa kita.

Oleh itu kepimpinan Melayu kini mesti berhati-hati dalam berurusan dengan bangsa asing yang lain.

Kelicikan mereka tidak dapat dinafikan sehingga dalam konteks negeri Johor, Inggeris begitu licik telah memaksa Sultan Johor untuk memecat Datuk Abdul Rahman Andak, ( pembesar Johor yang bijak menghalang dasar campur tangan Inggeris ) dan menawarkan pinjaman untuk membina kereta api sebagai umpan bagi membolehkan Inggeris dapat meletakkan pengaruhnya di Johor.

Jelas sekali kuasa asing bijak menggunakan pelbagai taktik dan teknik untuk memperdayakan bangsa kita, ia masih terus berlaku sehingga hari ini, cuma nama dan watak sahaja yang berubah.

Mujurlah negara kita sedar topeng-topeng yang memakai nama kemanusiaan ini, sebenarnya serigala lapar yang menerkam negara-negara yang lemah.

Namun begitu orang Melayu yang asyik dibuli dan ditipu oleh Inggeris, mula matang menentukan masa depan negara selepas Perang Dunia Kedua.

Malah Perang Dunia Kedua juga memberi banyak pengajaran kepada bangsa Melayu. Mereka mula berdikari dan tidak mahu bergantung kepada janji manis bangsa lain atau pihak lain.

Jepun yang meniupkan slogan Asia Untuk Orang Asia telah menyebabkan orang Melayu tertipu.

Orang Melayu yang inginkan perubahan, mempercayai bahawa kedatangan Jepun akan menamatkan penderitaan mereka tetapi Jepun menambahkan lagi penderitaan kepada orang Melayu. Orang Melayu mula sedar tidak semua perubahan pemerintahan akan manis rasanya.

Selepas Jepun menyerah kalah ( 1945 ), Parti Komunis Malaya melalui Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya ( MPAJA) dan Bintang Tiga yang memiliki senjata cuba mengambil kesempatan mengisi kekosongan kerajaan di Tanah Melayu dan kemudian cuba membalas dendam kepada pihak yang pro kepada Jepun yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu.

Sekali lagi orang Melayu dilanyak oleh mereka yang cuba menunjuk taring kerana lebih berkuasa dan bersenjata.

Peristiwa ini menyebabkan orang Melayu pada waktu itu semakin rancak bercakap konsep bersatu.

Kedatangan konsep Malayan Union telah membakar semangat kemelayuan yang tadi bersifat Hang Tuah kini bertukar menjadi Hang Jebat.

Konsep Malayan Union yang mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu dan menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu, melalui konsep Jus Soli, telah menyebabkan orang Melayu yang terkenal sifat sopan-santunnya dan lemah lembutnya, kini berdiri seperti singa lapar.

Hal ini diakui oleh L.D Gammans dan Rees William yang kemudiannya menasihatkan Inggeris membubarkan Malayan Union untuk mengelakkan banjir darah akibat amukan 'Hang Jebat yang berwajah singa lapar'.

Ada pihak yang tidak faham mengenai kedudukan orang Melayu mula mempersoalkan kedudukan orang Melayu sebagai penduduk peribumi. Mereka mengatakan nenek moyang orang Melayu berasal dari Indonesia dan bukan penduduk asal di Tanah Melayu, menyebabkan mereka tidak layak dinobatkan sebagai putera peribumi.

Ini merupakan satu kekeliruan, sebelum kedatangan kuasa Barat di timur, kawasan kepulauan Indonesia dan Malaysia dikenali sebagai Kepulauan Melayu atau Nusantara.

Oleh itu pada waktu dulu sebarang bentuk perpindahan penduduk di kawasan tersebut, masih lagi dianggap sebagai dalam satu negara. Oleh itu,tidak timbul persoalan tersebut.

Akhirnya Malayan Union yang mengugut hak orang Melayu dan cuba melemahkan agama Islam secara tidak langsung, telah dapat dikalahkan, melalui sikap bersatu dan perpaduan yang kukuh di kalangan orang Melayu.

Orang Melayu sememangnya layak berbangga kerana berjaya menundukkan Camelot Barat ini.

Di sinilah manisnya perjuangan orang Melayu, hal ini akan terus menjadi kebanggaan generasi Melayu yang akan datang, bagaimana datuk nenek moyang mereka berjaya menundukkan Inggeris.

Peristiwa ini akan terus menjadi peristiwa keramat, bagi membakar semangat Melayu, peristiwa ini akan terus menjadi benteng dan ikatan yang kuat untuk memperkukuhkan bangsa Melayu.

Jika dulu datuk nenek mereka boleh bersatu menghadapi bala tentera yang cuba merompak mahkota orang Melayu di buminya sendiri, sudah tentu orang Melayu pada bila-bila masa boleh bersatu lagi, untuk mempertahankan mahkota ini daripada cuba diganggugugat oleh pihak-pihak yang cuba untuk menguji kekukuhan benteng orang Melayu.

Orang Melayu harus berpegang kepada prinsip perjuangan ini _ dahulukan kepentingan agama, bangsa dan negara dan ketepikan kepentingan peribadi.

Jika prinsip ini yang dipegang, pasti musuh akan pasti ketakutan seperti peristiwa Fatah Mekah, musuh tidak berani mengangkat muka, mereka akan tunduk sahaja melihat bangsa Melayu membawa bendera kemenangan. Kunci kemenangan adalah perpaduan.

* INDRAWAN MD YATIM, pakar motivasi.



Chat with friends online, try MSN Messenger: Click Here
RantauNet http://www.rantaunet.com Isikan data keanggotaan anda di http://www.rantaunet.com/register.php3 =============================================== Tanpa mengembalikan KETERANGAN PENDAFTAR ketika subscribe, anda tidak dapat posting ke Palanta RantauNet ini. Mendaftar atau berhenti menerima RantauNet Mailing List di: http://www.rantaunet.com/subscribe.php3 ===============================================

Kirim email ke