Pembangunan simbol kemerdekaan tidak ternilai
MENYUSURI perkembangan sejarah tanah air membuatkan kita termenung sejenak memikirkan apakah sumbangan yang diberikan untuk mengisi kemerdekaan?
Tarikh keramat 31 Ogos 1957 merupakan titik permulaan negara membentuk imejnya yang tersendiri bebas dari belenggu penjajahan.
Usaha memerdekakan Malaysia bukanlah satu pekara yang mudah, penjajahan negara mahupun penjajahan minda harus dilontar sejauh mungkin.
Laungan merdeka! merdeka! merdeka! oleh Bapa Kemerdekaan Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj masih segar dalam ingatan. Rakyat dari jauh dan dekat bersama-sama membanjiri Stadium Merdeka untuk menyaksikan detik bersejarah penurunan bendera Union Jack.
Kini setelah 42 tahun merasai nikmat kemerdekaan, pelbagai pembangunan dan perubahan dapat dikecapi hasil kebijaksanaan pemimpin yang menerajuinya.
Semangat patriotik di masa lampau mengingatkan kita betapa besarnya pengorbanan generasi terdahulu semata-mata kerana inginkan kebebasan.
Menara Kuala Lumpur, Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA), Menara Berkembar Petronas adalah antara mercu tanda kejayaan rakyat Malaysia.
Dalam memartabatkannya, kita harus mempertingkatkan usaha memajukan diri dalam apa juga bidang yang diceburi seiring dengan kemajuan pembangunan negara agar dikenali di mata dunia.
Demikian menurut Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Moehamad Izat Emir mengenai kesungguhan mengekalkan kemerdekaan supaya bangsa Melayu dikenali di peringkat antarabangsa.
Kemerdekaan dalam erti kata lain menunjukkan negara yang bebas dari segala bentuk penaklukan di mana kita sebagai rakyat harus mempunyai peranan dalam menentukan hala tuju masing-masing.
Oleh itu, individu yang bertanggungjawab harus berkemampuan dalam semua bidang.
Kemelut ekonomi yang melanda negara baru-baru ini memberi kesedaran kepada rakyat untuk sama-sama mencari jalan menyelesaikannya sejajar dengan tema Hari Kemerdekaan iaitu 'Bersatu Ke Alaf Baru'. Bukan setakat itu sahaja, Izat mengakui golongan profesional sentiasa mencari pelbagai alternatif supaya pembangunan negara dapat diisi sepenuhnya.
Pengusaha Melayu, tidak harus berdiam diri apabila negara menghadapi krisis ekonomi sebaliknya bangkit sama-sama menujukkan komitmen mereka agar tidak ketinggalan.
Melihat pada temanya, Izat berkata detik menuju ke alaf baru sesungguhnya adalah satu amaran bagaimana bangsa Melayu harus berperanan menggerakkan apa yang boleh untuk sama-sama mengejar kemajuan.
Multimedia Super Coridor (MSC) adalah contoh terbaik negara untuk mendahalui alam teknologi terkini.
"Dengan MSC, kita mampu melakukan apa sahaja. Buktikan pada dunia bahawa bangsa Melayu adalah bangsa terulung dan moden sejajar statusnya sebagai bangsa yang merdeka,'' katanya.
Izat yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Pelindung Pengguna Kebangsaan (MPPPK) mengakui, rakyat Malaysia mampu memajukan diri sebagai seorang usahawan dalam apa jua keadaan sekalipun.
Pengarah Urusan Securityforce, Datuk Maznah Hamid berkata, pengertian kemerdekaan akan hilang begitu sahaja tanpa adanya kuasa ekonomi.
Sejak negara mencapai kemerdekaan semua lapisan rakyat dapat mengecap hasil pembangunan yang turut membantu rakyat biasa mencapai kejayaan
Tidak kira sama ada seseorang itu kaya atau miskin, pembangunan negara merupakan simbol kemerdekaan yang tidak ternilai kerana ia berjaya mempengaruhi minda setiap individu untuk terus meningkatkan taraf hidup.
Rata-rata rakyat menunjukkan keprihatinan mereka terhadap krisis ekonomi yang melanda negara, secara tidak langsung menurut Maznah, adalah satu tanda bahawa erti kemerdekaan itu difahami oleh semua peringkat.
Oleh itu, kemerdekaan bukan hanya terletak pada kestabilan ekonomi dan pemikiran sahaja tetapi pada aspek keilmuan dalam berkongsi idea ke arah menyumbangkan sesuatu kepada negara.
Untuk mencapai alaf baru, Maznah mengatakan cara pemikiran lama harus dikikis dan digantikan dengan semangat inginkan pembaharuan supaya tenaga kerja dapat diiktiraf di peringkat yang lebih tinggi.
Untuk itu, individu seharusnya mempunyai jadual perancangan mengenai apa yang dilakukan untuk mengembangkan kemahiran diri di alaf akan datang.
"Tanpa mempunyai kemahiran dan kuasa ekonomi dalam diri, siapalah kita. Hapuskan segala fahaman fanatik dalam diri.
"Kita kena berhijrah dari cara lama untuk mendapatkan ilmu pengetahuan baru sekali gus bersaing dengan dunia luar,'' katanya.
Untuk menjadi sebahagian daripadanya, Maznah yang merupakan Pengarah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) berkata masyarakat umumnya tidak boleh terlalu bergantung kepada orang lain untuk mencapai kejayaan.
Sebaliknya, perlu bergantung kepada diri sendiri kerana semangat kemerdekaan adalah kombinasi keberanian, perjuangan, kemahiran dan kepakaran untuk mencipta sesuatu kejayaan itu.
"Bangsa Melayu adalah sehebat kemerdekaan itu sendiri, jika kita tidak memperjuangkannya ke mata dunia, siapa lagi yang akan melaksanakannya,'' katanya.
Maznah yang lebih dikenali sebagai 'wanita besi' mengatakan, kelompok pelajar adalah penyambung warisan generasi akan datang.
Mereka perlu didedahkan dengan kemahiran khas khususnya dalam aliran teknologi supaya setanding dengan negara maju.
Chat with friends online, try MSN Messenger: Click Here
RantauNet http://www.rantaunet.com Isikan data keanggotaan anda di http://www.rantaunet.com/register.php3 =============================================== Tanpa mengembalikan KETERANGAN PENDAFTAR ketika subscribe, anda tidak dapat posting ke Palanta RantauNet ini. Mendaftar atau berhenti menerima RantauNet Mailing List di: http://www.rantaunet.com/subscribe.php3 ===============================================

