Tulisan Jawi: Khazanah Pendidikan al Quran Di Tanah Melayu
Posted on Tuesday, July 24 @ 21:34:59 MYT by greenboc  

"Tulisan  Arab  yang diadaptasikan ke bahasa Melayu untuk pengejaannya
dinamakan   sebagai   tulisan   Jawi.   Tulisan   inilah  yang  pernah
membangunkan  tamadun  Melayu  dan  pernah mencorak ketuanan Melayu di
zaman  pra-kemerdekaan.  Tulisan Jawi mempunyai signifikan yang sangat
besar  dalam sejarah bangsa dan negara, di mana dahulunya ia merupakan
lapangan  interaksi  intelek  Melayu  dengan  masyarakat  awam. Namun,
akhir-akhir  ini  ia  mula  dimamah  zaman  yang semakin global kerana
muncul  segelintir  dalam hieraki masyarakat Melayu sendiri yang tidak
meyakinkan  bangsanya  untuk menghormati warisan ini. Malah rasa jelak
mereka terhadap tulisan Jawi, secara tidak langsung telah menghasilkan
generasi  Melayu  'anglophile' iaitu manusia dua kerat, sekerat Melayu
dan  sekerat  keBaratan. Generasi seperti inilah yang akhirnya menjadi
penyumbang kepada fahaman melampau hedonisme sehingga menyebabkan daya
tahan umat menjadi tiris.

Berdasarkan   berita   yang   bertarikh  5  Julai  2007,  Harakahdaily
melaporkan  Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengisytiharkan
bahawa  tulisan Jawi bukan satu mata pelajaran bahkan tidak diwajibkan
kepada  pelajar  sekolah  menengah.  Sudah  pasti  pengisytiharan  ini
merupakan  kecaman  terhadap  khazanah warisan Islam kepada masa depan
pelajar-pelajar   Melayu   Islam.  Sikap  tidak  memberikan  penekanan
terhadap  tulisan  Jawi hinggakan seolah-olah tulisan ini tidak pernah
berjasa   di  dalam  negara  kita,  merupakan  perbuatan  yang  sangat
memalukan  bangsa  sendiri. Sepatutnya KPM memberikan persepsi positif
terhadap  keupayaan  Jawi  sebagai  seni  luhur  masyarakat Melayu dan
bukannya meremehkan peranan tulisan Jawi.

Jika  pemerkasaan  terhadap  tulisan  Jawi  tidak  lakukan, barangkali
tulisan  Jawi  menerima  nasib  yang  sama  sebagaimana mata pelajaran
Tajwid  yang  menjadi subjek agama yang hanya diajar sewaktu peringkat
sekolah  rendah,  kemudian  diabaikan  ketika  di  peringkat menengah.
Akhirnya  ilmu  Tajwid hanya dikuasai oleh generasi-generasi agamawan,
sedangkan  mengamalkan  ilmu  Tajwid ketika membaca al Quran merupakan
tuntutan  Islam  bertaraf  fardhu  ain  buat seluruh umat Islam. Lebih
malang lagi jika Jawi diberikan kedudukan yang sama, tidak mustahil ia
akan  tenggelam  di  arus  kemodenan  dan  terus  kehilangan khalayak.
Akhirnya  tulisan Jawi sudah tidak lagi relevan kerana tidak mempunyai
nilai komersial di kalangan pembaca. Ia sekadar dikenali dalam lipatan
sejarah  sebagaimana  pada  catatan  rahsia batu Rosetta di Mesir yang
akhirnya  diungkap oleh arkeologi Perancis, Jean Francois Champollion.
Jika  masyarakat  Melayu  kehilangan qudrat untuk membaca tulisan Jawi
saat  ini, adakah kita mahu meminta Champollion 2 membaca tulisan Jawi
pada masa akan datang?

Senario  ini  jika  tidak  diambil  peduli  memungkinkan  catatan batu
bersurat  (prasasti)  di  Kuala  Berang,  Terengganu mempunyai potensi
besar  menjadi bahan sejarah yang ditinggalkan, bukannya bahan sejarah
yang  dibanggakan.  Hal yang sama juga bakal terjadi kepada penggunaan
Bahasa  Melayu  jika  tiada  tindakan  konkrit  pihak  berwajib  untuk
menanganinya  setelah  kerajaan  mewajibkan  pengajaran Inggeris dalam
Matematik   dan   Sains.   Penulis  sebenarnya  tidak  memiliki  nilai
sentimental  yang  tinggi  untuk bermati-matian mempertahankan tulisan
Jawi, jika kehilangannya hanya memberi impak kepada warisan budaya dan
bangsa.  Menginsafi  tulisan  Jawi  mempunyai jasa yang besar terhadap
kemerdekaan   bangsa  Melayu  ketika  dahulu,  ia  membangkitkan  rasa
tanggungjawab  agar  terus  dipelihara  dan  terakam  dalam pendidikan
negara.

Cukup  memelikkan, ketika pendirian akomodatif pihak kerajaan terhadap
bangsa-bangsa  lain  dipuja  sebagai  lambang keterbukaan negara, dari
sudut  lain  mereka  tampil tanpa segan silu menidakkan warisan bangsa
sendiri  yang  wajar  dikecapi  oleh  generasi  akan  datang.  Hal ini
memperlihatkan   agenda  politik  yang  gemar  menjahilkan  masyarakat
Melayu,  menjadikan  mereka  bebal, kurang kesedaran terhadap sejarah,
tradisi  dan  sumbangan  yang  tidak ternilai pada tulisan Jawi. Sikap
yang  beranggapan bahawa tulisan jawi adalah semata-mata tulisan untuk
unsur-unsur  keagamaan  perlu  dipupuskan,  kerana  dahulunya ia turut
diaplikasikan  secara  meluas oleh semua kaum di tanah Melayu. Hal ini
dibuktikan  melalui pengalaman ilmu yang dimiliki oleh V. Kamala Devi,
bangsa  India  yang  mahir  membaca dan menulis Jawi (Ruj: Kamala Devi
Masters  Jawi  Despite  Dropping  Out Of School, Bernama.com. June 16,
2007).

Tulisan  Jawi  perlu dipertahankan walaupun peredaran masa amat pantas
sebagai  tanda  penghargaan  terhadap  pahlawan-pahlawan yang berjuang
menerusi mata pena di zaman pra-kemerdekaan. Sebelum pengetahuan moden
dengan  perbendaharaan  yang  sofistikated diperkenalkan, tulisan Jawi
digunakan  oleh  pihak  istana dalam bidang persuratan, perjanjian dan
undang-undang.   Jika  diamati,  sejarah  ke'genius'an  dan  pemikiran
akademik  bangsa Melayu ia mula digagahi apabila wujudnya tulisan Jawi
dan  bukannya  tulisan  sanskrit. Oleh sebab itu, istilah 'Kitab Jawi'
pernah berkembang menjadi subjek pengajian dan pembelajaran masyarakat
Melayu  agar  ia  ditekuni  di  sekolah-sekolah.  Tokoh ulama  seperti
Mohamad Idris b Abdul Rauf al Marbawi, bukanlah tokoh yang asing dalam
dunia  penulisan  Jawi.  Penulisan  Jawinya  yang  menghasilkan  kitab
 Bahrul  Mazi ,  Tafsir Quran al Marbawi ,  Tafsir Surah Yassin  masih
kekal  diulang  cetak  di  luar  negara.  Sebenarnya, kebanyakan kitab
berbahasa   Arab   yang   dihasilkan  oleh  Sheikh  al  Marbawi  telah
diterjemahkan  olehnya  sendiri  ke  dalam  bahasa  Melayu.  Sekalipun
terjemahan  tokoh  ulama  ini  menggunakan versi bahasa Melayu lama di
dalam  tulisan Jawi, namun ia telah melahirkan ramai ilmuan Islam yang
responsif di negara Malaysia.

Tidak  dinafikan,  Islam adalah ajaran yang mudah dan boleh dipelajari
melalui  pelbagai aksara dan ia bukannya kayu pengukur tahap keIslaman
seseorang.  Namun,  oleh kerana kedatangan tulisan Jawi bersama dengan
dakwah  Islam,  ianya  lebih  berkesan  dan mudah terutamanya di dalam
mempelajari  al Quran dan hadith. Sistem ejaan Jawi sangat terpengaruh
dengan  sistem  ejaan  bahasa Arab yang menggunakan sistem baris dalam
pengejaan  suku  kata.  Oleh  sebab itu, sistem Jawi menjadi pendorong
kepada  bangsa Melayu mengenali huruf Arab dan seterusnya secara tidak
langsung  berkemahiran  menyebut  ayat-ayat  al Quran. Ibn Khaldun ada
menyebutkan ;

 Ketahuilah bahawa pengajaran al Quran terhadap kanak-kanak termasuk
daripada  syiar-syiar  agama  yang  dipegang oleh para pendokong agama
kerana  dalam pengajaran al Quran terdapat beberapa perkara yang cepat
meresap  ke dalam hati seperti keteguhan iman dan aqidah iman daripada
ayat-ayat  al  Quran  ]. (Ruj:Abdullah al Amin al Na'miy, 1994. Kaedah
Dan Teknik Pengajaran Menurut Ibn Khaldun & al Qabisi, terj.Mohd Ramzi
Omar, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka).

Dalam  bahasa  Melayu  sendiri  terdapat  perkataan yang dipinjam dari
bahasa  Arab,  sudah  pasti  sebutan tersebut tidak tepat jika ditulis
dengan  huruf  rumi.  Demikian  juga halnya jika bahasa Cina dan Tamil
ditulis   dengan  ejaan  rumi,  sudah  pasti  berlaku  kesilapan  pada
pertuturan  mereka  yang sebenar. Kerana itu, penulis yakin kebanyakan
masyarakat  Melayu  menyebut  perkataan  'tarikh'  yang  dipinjam dari
bahasa  Arab, tidak tepat sebagaimana sebutan bangsa Arab. Begitu juga
pemahaman  Melayu terhadap perkataan 'muhrim' sebagai orang yang haram
dinikahi,  sedangkan  sebutan  ejaannya yang sebenar pada kalimah Arab
adalah 'mahram'. Dalam konteks ini jelas memperlihatkan bahawa tulisan
Jawi  memainkan  peranan  penting  dalam pendidikan negara, di mana ia
dijadikan  sebagai suatu alat memudahkan sebutan Arab yang sahih dalam
bahasa Melayu.

Dalam keresahan meninjau hayat Jawi di tanah Melayu saat ini, ada juga
berita yang boleh dianggap positif antaranya pengangkatan seni khat di
persada  dunia.  Namun,  memartabatkan  seni  khat tidak memadai untuk
mengangkat  semula  penulisan  Jawi  sebagai satu elemen menjadikan ia
subur  dalam  jiwa  masyarakat  dan dipergunakan secara meluas. Benar,
seni  khat  berjaya  memperlihatkan kalimah-kalimah unik al Quran yang
tersusun mengikut kaedah, kemas berseni dijual beli. Tetapi kita perlu
memikirkan  bahawa  majoriti  umat  Melayu  tidak  lagi mampu memahami
maksud  tulisan  tersebut  sekalipun  diukir  indah.  Inilah akibatnya
apabila   tulisan   Jawi  dipinggirkan  oleh  bangsa  Melayu  sendiri.
Ketahuilah, tulisan Jawi adalah tulisan bagi sebuah tamadun dunia yang
tinggi  dan  pernah  diakui di peringkat antarabangsa. Jika orang Iraq
Kufah  dengan  khat  Kufinya, Iran dengan khat Farsinya, tidak diragui
bahawa umat Melayu merupakan pelopor kepada seni khat Jawi.

Sebenarnya  di sebalik krisis ini, tersembunyi agenda globalisation of
American  culture  (globalisasi  budaya Amerika). Memang tamadun Barat
semakin  mendominasi  semangat  bangsa-bangsa lain ketika ini, di saat
Melayu  belum  pulih  untuk  membangunkan generasi sendiri. Tidak syak
lagi,  penggantian  jawi dengan rumi adalah sebahagian daripada proses
pembaratan  dan  pendangkalan  Islam  yang tentu sahaja didalangi oleh
penjajah.  Hal  ini  sama berlaku sebagaimana pertukaran garisan musim
bagi  kiraan kalender yang pada asalnya terletak di Qatar, United Arab
Emirates  (UAE) kepada kedudukan Greenwich di London. Namun, perenggan
ini   bukanlah  pilihan  terbaik  untuk  masyarakat  Melayu  melakukan
revolusi   terhadap   huruf-huruf   Rumi  agar  ditukar  kepada  Jawi.
Sebaiknya,  masyarakat  Melayu  sedar  betapa mustahaknya tulisan Jawi
agar  ia tidak disisihkan dalam pendidikan negara dan diberikan fungsi
semula.

Oleh : Mohd Azmir Hj. Maideen
Sumber : http://thaqafah.coconia.net/
" 




--~--~---------~--~----~------------~-------~--~----~
=============================================================== 
Website: http://www.rantaunet.org 
=============================================================== 
UNTUK SELALU DIPERHATIKAN: 
- Hapus footer dan bagian yang tidak perlu, jika melakukan reply. 
- Posting email besar dari >200KB akan di banned, sampai yang bersangkutan 
menyampaikan komitmen akan mematuhi Tata Tertib yang berlaku. 
- Email attachment, DILARANG! Tawarkan kepada yang berminat dan kirim melalui 
jalur pribadi.
=============================================================== 
Berhenti (unsubscribe), kirim email kosong ke: [EMAIL PROTECTED] 

Webmail Mailing List dan Konfigurasi keanggotaan lihat di: 
http://groups.google.com/group/RantauNet/subscribe 
Dengan terlebih dahulu mendaftarkan email anda pada Google Account di: 
https://www.google.com/accounts/NewAccount 
===============================================================
-~----------~----~----~----~------~----~------~--~---

Kirim email ke